Prn Melaka Pas Bersatu Tak Setuju Hanya Diberi 4 Kerusi Kata Nazri
FMT Reporters
-October 23, 2021 11:24 PM
Nazri Aziz berkata, PAS dan Bersatu perlu menerima hakikat sebarang kerjasama untuk PRN Melaka harus memastikan Umno menjadi ketua kerajaan negeri itu semula.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Aziz berkata, Bersatu dan PAS sepatutnya bersyukur Umno bersetuju mengagihkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kepada dua parti itu untuk ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
Beliau dalam satu perbincangan awal antara Umno, PAS dan Bersatu dimaklumkan dua parti yang membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) itu difahamkan tidak bersetuju dengan cadangan Umno hanya menyerahkan empat kerusi DUN kepada mereka.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, Bersatu dan PAS tidak boleh menyalahkan Umno, sekiranya parti itu memutuskan untuk bertanding solo kerana tawaran agihan kerusi itu adalah adil dan bertimbang rasa.
“Sebelum ini, saya difahamkan Umno bersedia menyerahkan dua kerusi DUN kepada Bersatu dan dua kerusi DUN kepada PAS, tetapi Bersatu tolak kerana mereka mahu mendapatkan tambahan kerusi pilihan raya.
“Memandangkan kekuatan kedua-dua parti berkenaan (PAS dan Bersatu) lemah, dengan Bersatu hampir tiada kekuatan akar umbi bagi menghadapi PRN Melaka, Bersatu dan PAS sepatutnya bersyukur Umno masih sanggup memberikan empat kerusi DUN kepada mereka bagi mengelak pertembungan tiga penjuru.
“Kedua-dua parti itu juga perlu menerima hakikat sebarang kerjasama PRN Melaka harus memastikan Umno menjadi ketua kerajaan negeri itu semula,” katanya dipetik Sinar Harian.
Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian partinya tidak akan bekerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka dan BN yakin mampu menang pada 20 Nov nanti berdasarkan “permasalahan” di “pihak sebelah sana” ketika ini.
Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pula dilaporkan berkata, pihaknya tidak boleh menunggu “rakan di sebelah sana” terlalu lama membuat keputusan sama ada mereka sedia bekerjasama atau tidak, semata-mata untuk mengelakkan pertembungan pada PRN Melaka.
Di sebalik situasi terkini membabitkan hubungan Umno, PAS dan Bersatu, Nazri masih berharap tiga parti itu dapat mencapai kata sepakat bagi menghadapi PRN Melaka.
“Hal ini kerana tanpa kerjasama parti-parti Melayu ini bagi mengelakkan pertembungan tiga atau lebih penjuru, usaha untuk mengekalkan kerajaan di Melaka pastinya berdepan cabaran besar.”
Akhbar itu memetik sumber Umno sebagai berkata, PAS menuntut lima kerusi dan Bersatu mahu lapan kerusi DUN sebagai syarat kerjasama dengan Umno pada PRN Melaka.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2021/10/prn-melaka-pas-bersatu-tak-setuju-hanya.html