Prk Semenyih Polis Dan Pasangan Undi Awal Esok Spr
THE MALAYSIAN TIMES                                                   

SEMENYIH: Seramai 858 orang daripada keseluruhan 951 pengundi awal bagi Pilihan  Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan menunaikan  kewajipan mereka untuk mengundi esok.
 Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata  kesemua pengundi awal itu terdiri daripada anggota polis Pasukan Gerakan  Am (PGA) dan pasangan yang mana 761 daripada mereka akan mengundi di  Pusat Mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih dan 97 orang  lagi akan mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Kajang.
 “Sebahagian lagi iaitu 93 pengundi awal yang terdiri daripada anggota  polis PGA telah mengundi secara pos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 Azhar berkata pusat mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA  Semenyih akan dibuka pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala Pusat  Mengundi di Discress Room IPD Kajang akan ditutup pada 2.00 petang.
 Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap ejen calon  yang bertanding pada PRK ini dan pemerhati pilihan raya daripada  wakil-wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik  oleh SPR, katanya.
 “SPR juga akan menyiarkan secara langsung menerusi Facebook Live proses pengundian awal itu,” katanya.
 Kertas-kertas undi awal itu tidak akan dikira di tempat mengundi  esok, sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di tempat yang  selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.
 “ Pada 2 Mac (Sabtu ini) nanti, peti-peti undi awal itu akan dibawa  ke pusat pengiraan undi berkelompok yang ditetapkan SPR untuk pengiraan  dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing. Pemerhati pilihan  raya yang dilantik juga akan dibenarkan untuk memerhati proses pengiraan  itu,” katanya.
 Pengundian PRK Semenyih akan diadakan Sabtu ini. PRK DUN Semenyih  menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan  Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional); Nik Aziz Afiq  Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.
 Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/02/prk-semenyih-polis-dan-pasangan-undi.html