Prk Chini Cip Sharim Pamer Kempen Sistematik Temui Pengundi Pelbagai Peringkat
UMNO ONLINE

PEKAN – Baru memasuki hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK)  Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, calon Barisan Nasional (BN) Mohd  Sharim Md Zain dilihat mempamerkan gerak kerja kempen yang sistematik  dengan telah bertemu hampir 40 peratus pengundi.
Ketika ditemui sewaktu mengiringi Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan  Rosdy Wan Ismail semasa kempen di sekitar Salong dekat sini, Mohd  Sharim gembira dengan sokongan dan maklum balas positif diterima  sehingga hari ini.
Dikenali dengan gelaran ‘Cip Sharim’ dalam kalangan generasi muda  Gugusan Felda Chini, beliau yang juga generasi kedua Felda Chini 3  berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan penerimaan pengundi di  Felda serta pengundi di kawasan kampung tradisi dan perkampungan Orang  Asli.
Sementara itu, Wan Rosdy selaku Pengarah PRK DUN Chini berkata meskipun  kempen PRK kali ini sangat sunyi dan tenang disebabkan ancaman pandemik  COVID-19, namun calon BN itu akan terus bergerak dan mengikut prosedur  operasi standard (SOP) khas sepertimana dietapkan Suruhanjaya Pilihan  Raya (SPR).
“Kita gerak (dari rumah) ke rumah dengan kadar yang sedikit dan  memanglah keadaan nampak lebih tenang dan aman. Bagi calon BN seharusnya  kena jumpa seramai mungkin (pengundi).
“Kempen berjalan dengan sangat minimum dan tidak seperti dulu (kempen  pilihan raya sebelum ini). Suasana pilihan raya itu tetap ada walaupun  pergerakan agak terhad kerana patuhi SOP dan tidak boleh berkumpul  seperti mana dulu …tetapi dalam keadaan yang agak berbeza,” katanya.
PRK DUN Chini, dengan pengundian 4 Julai ini, menyaksikan  pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas  Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd  Ramli, 49.

Di samping itu, Wan Rosdy berkata pihaknya akan membantu calon BN memperkasakan kempen menerusi media sosial.
“Disebabkan pergerakan kita terhad, semua yang bertanding termasuk BN akan gunakan secara meluas media sosial ini.
“Di samping itu kita akan teruskan kaedah berkempen dan tidak  mengambil mudah, tidak kiralah siapa yang jadi lawan kita. Usaha kita  akan diteruskan bagi memastikan kita dapat majoriti yang lebih daripada  biasa,” katanya.
Ditanya mengenai ‘kehambaran’ perang bendera dan poster meskipun  sudah beberapa hari kempen, Wan Rosdy menjangkakan proses pemasangan  bendera, poster dan kain rentang calon BN akan siap dalam masa terdekat.
Terdapat 20,990 pengundi berdaftar bagi DUN Chini, termasuk 18 pemilih awal.
DUN Chini merupakan kubu BN sejak PRU-11 pada 2004 menerusi  penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat  serangan jantung pada 7 Mei lepas.
Pada PRU-14 lepas, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan  majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS  Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain  daripada PKR (1,065). – BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/prk-chini-cip-sharim-pamer-kempen.html