Porche Itu Memang Atas Nama Saya Tapi Saya Tak Naik Pun Ini Sebabnya
Kereta mewah jenis Porsche Cayman yang didakwa milik Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin adalah kereta yang dibeli anaknya beberapa tahun lalu, bagi tujuan perniagaan kereta terpakai.
Hashim ketika dihubungi berkata, anaknya membeli kereta berkenaan menggunakan Permit Import (AP) yang dimiliki atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Arau ketika itu.
“Saya tidak pernah naik pun kereta itu, anak saya membeli kereta itu untuk perniagaan dengan menggunakan AP saya dan secara automatiknya kereta itu atas nama saya.
“Kereta itu sudah lama dijual dan saya tidak ada duit nak beli kereta dengan harga RM100,000 lebih secara tunai ketika itu.
“Jadi kalau tanya saya, betul kereta itu atas nama saya, tetapi saya tidak memilikinya secara mutlak seperti yang dituduh baru-baru ini,” katanya.
Hashim berkata demikian ketika menjawab dakwaan beliau dan beberapa pemimpin kanan PAS menikmati kemewahan daripada wang pemberian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan disalur ke parti itu.
Mengulas lanjut, Hashim berkata tuduhan itu sengaja ditimbulkan supaya ia memenuhi kehendak kontroversi politik semasa.
“Mereka sudah tidak ada isu, sengaja hendak bangkitkan perkara ini supaya menepati keperluan dan kereta yang dibeli anak saya itu tidak ada kaitan langsung dengan tuduhan wang RM90 juta itu.
“Sejak dahulu sampai sekarang saya bawa Proton Saga sahaja dan rakyat Perlis tahulah kehidupan saya macam mana dan kereta itu (Porsche Cayman) dibeli anak saya mengikut proses undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, tindakan pihak tertentu yang mengaitkan pemimpin tertinggi PAS dalam kehidupan mewah nyata suatu tindakan murahan yang dibuat untuk memenuhi nafsu semata.
Hashim menjadi Ahli Parlimen Arau selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Kecil 1998 apabila menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ismail Kassim.
Pada Pilihan Raya Umum 1999, Hashim tidak mempertahankan kerusi Parlimen itu apabila bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.
The post Porche Itu Memang Atas Nama Saya Tapi Saya Tak Naik Pun…Ini Sebabnya… appeared first on Suara Viral Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suaraviral.org/porche-itu-memang-atas-nama-saya-tapi-saya-tak-naik-pun-ini-sebabnya/