Politik Jijik Membinasakan Ummah
Politik Jijik Membinasakan Ummah
===========
1. Media melaporkan bahawa video mirip pemimpin politik telah dimuatnaik dalam laman lucah pula. Bukankah ini akan menarik pembaca untuk membuka laman lucah pula? Nah! Inilah bencana dan musibah politik jijik.
2. Inilah musibah yang amat dibimbangi oleh Rasulullah. Bencana yang lebih dahsyat dari Dajjal. Dalam sebuah hadith, Abu Zar pernah menceritakan bahawa beliau berjalan dengan Rasulullah. Lalu Rasulullah bersabda:
لَغَيْرُ الدَّجَّالِ أَخْوَفُنِي عَلَى أُمَّتِي
“Ada satu fitnah yang lebih menakutkan aku dari fitnah Dajjal.”
3. Rasulullah mengulangi perkara ini sebanyak tiga kali. Lalu Abu Zar pun bertanya:
يَا رَسُولَ اللهِ ، مَا هَذَا الَّذِي غَيْرُ الدَّجَّالِ أَخْوَفُكَ عَلَى أُمَّتِكَ ؟ قَالَ : ( أَئِمَّةً مُضِلِّينَ )
“Wahai Rasulullah, fitnah apakah yang engkau lebih takut dari Dajjal? Rasulullah lalu bersabda: Para pemimpin (atau ulama) menyesatkan!” (HR Ahmad)
4. Biar pun hadith ini dinilai lemah (daif) oleh sebahagian pengkritik hadith, terdapat satu hadith yang hampir sama mengingatkan kita tentang perkara ini. Sabda Rasulullah:
إِنَّمَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِي الْأَئِمَّةَ الْمُضِلِّينَ
“Sesungguhnya aku bimbang ke atas umat aku akan ujian pemimpin (atau ulama) yang menyesatkan.” (HR Abu Daud, dinilai Sahih oleh al-Albani)
5. Ketika menghuraikan hadith ini, Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan al-A’Immah di dalam lafaz ini adalah para pemimpin. Kata beliau:
وقال شيخ الإسلام ابن تيمية رحمه الله :
” فالأئمة المضلون هم الأمراء ”
Dan Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah berkata: Yang dimaksudkan dengan para Imam yang menyesatkan ini adalah para pemimpin. (Majmu Fatawa)
6. al-Imam al-Nawawi pula menyatakan bahawa pemimpin yang menyesatkan itu lebih membimbangkan dari Dajjal. Kata beliau:
أَنَّ الْأَشْيَاءَ الَّتِي أَخَافُهَا عَلَى أُمَّتِي ، أَحَقُّهَا بِأَنْ تُخَافَ : الْأَئِمَّةُ الْمُضِلُّونَ
“Dalam perkara-perkara yang Rasulullah takuti akan menimpa ke atas umatnya adalah yang paling utama sekali pemimpin yang menyesatkan.” (al-Nawawi Sharh Muslim)
7. Sheikh Ibn Uthamin memberikan perincian bahawa pemimpin yang menyesatkan itu termasuklah kumpulan kepimpinan dari penganut Jahmiyyah dan Muktazilah. Hari ini, terdapat juga pemikiran muktazilah yang mirip dengan pemikiran Liberal Sekular yang diangkat oleh Muslim sendiri.
8. Atas dasar itu pemilihan kepimpinan Muslim bukan perkara yang kecil. Ia adalah pemilihan bagi memelihara agama. Tersilap dalam memilih kepimpinan akan membawa fitnah yang lebih dahsyat dari Dajjal.
Moga Allah membimbing kita
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://sihatcergas.net/politik-jijik-membinasakan-ummah/