Polis Johor Kenalpasti 20 Sindiket Seludup Migran
HARAKAH DAILY

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Khan  Mydin Pitchay memaklumkan pihaknya telah mengenalpasti kira-kira 20  sindiket penyeludupan migran termasuk beberapa pegawai agensi penguat  kuasa yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah itu ke negara ini.
Dalam  satu pengumumannya semalam, Ayob Khan berkata, tindakan tegas akan  diambil tanpa mengira latar belakang dan kedudukan mereka yang  menjadikan Johor sebagai transit.
Katanya lagi, dalang yang dikenal pasti kurang daripada 10 orang, malah mereka ini ada kedudukan dan bersekongkol.
“Bukan terdiri daripada masyarakat awam sahaja tetapi juga di kalangan pegawai agensi penguat kuasa.
    “Jangan terkejut kalau ada tangkapan dibuat, kita tidak akan bertolak  ansur,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen  (IPK) Johor, semalam.
    Kata beliau lagi, polis juga kini memberi tumpuan kepada usaha  menangkap tekong yang memainkan peranan dalam menjalankan kegiatan  jenayah penyeludupan migran ini.
    Sebelum ini kata beliau kebanyakan tangkapan melibatkan migran, tetapi kini kita memberi tumpuan kepada memburu tekong.
    Polis turut memaklumkan penahanan seramai 20 tekong dan 24 migran  menerusi sembilan serbuan yang dijalankan antara 22 April hingga 27  April lalu menerusi Op-Pintas Bersepadu Selatan.
    Katanya lagi, tekong yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki  dan seorang perempuan warga tempatan serta sembilan lelaki dan seorang  perempuan warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.
    “Migran yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan tiga perempuan  warga Indonesia berusia antara 19 hingga 31 tahun,” katanya lagi.
    Kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(C) Akta  Imigresen 1959/63, Seksyen 8 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta  Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit  Berjangkit 2020.
    Pihaknya yakin langkah ini akan dapat menyekat kemasukan migran ke  negara ini, lebih-lebih lagi sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP)  ditamatkan kerajaan.
    Polis juga memberi amaran kepada orang ramai khususnya pemilik  kediaman dan pemandu teksi untuk tidak bersekongkol dengan menyediakan  penginapan dan pengangkutan kepada sindiket terbabit.- HARAKAHDAILY
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/polis-johor-kenalpasti-20-sindiket.html