Poliklinik Diserbu 7 Ditahan Terlibat Keluarkan Sijil Vaksinasi Palsu
 BERNAMA
 Modus operandi poliklinik  itu adalah bagi individu antivaksin, mereka tidak akan disuntik tetapi  hanya dikeluarkan sijil selepas dikenakan bayaran tertentu. 

Seorang wanita melihat  perbandingan dua sijil digital vaksinasi di dalam aplikasi Mysejahtera  pada dua telefon bimbit. Sijil vaksinasi membolehkan penerima vaksin  lengkap menikmati kelonggaran SOP kesihatan Covid-19.      Polis menahan tujuh  individu tempatan termasuk tiga wanita berumur lingkungan 20 hingga 35  tahun yang merupakan pekerja dan pemilik sebuah poliklinik dipercayai  terbabit dalam aktiviti pemalsuan cara memperoleh dan mengeluarkan sijil  vaksinasi secara tidak sah di Selangor.
Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata dalam serbuan di  poliklinik berkenaan, polis turut merampas peralatan komputer yang  dipercayai boleh digunakan untuk mengisi data pesakit ke dalam aplikasi  MySejahtera.
Beliau berkata walaupun poliklinik tersebut menerima vaksin Covid-19  daripada kementerian kesihatan Malaysia (KKM), namun kandungan botol  vaksin dibuang dan dipulangkan kepada KKM sebagai tanda sudah dicucuk  dan sijil vaksinasi dikeluarkan.
  Bercakap  pada sidang media hari ini, Arjunaidi berkata modus operandi poliklinik  itu adalah bagi individu yang tidak mahu menerima vaksin (antivaksin),  mereka tidak akan disuntik tetapi hanya dikeluarkan sijil selepas  dikenakan bayaran tertentu. 
Katanya pada peringkat awal, pelanggan akan dikenakan bayaran  sehingga RM3,000 tetapi kemudiannya berdasarkan laporan yang diterima  harganya turun kepada RM500.
Beliau juga tidak menafikan terdapatnya persaingan harga dari  kumpulan lain yang menawarkan perkhidmatan yang sama dan serbuan itu  dilakukan susulan pesanan ringkas yang tular melalui aplikasi WhatsApp  yang menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi menerusi aplikasi  MySejahtera.
“Hasil penelitian di dalam komputer riba yang dirampas mendapat  terdapat 5,601 pesakit yang telah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi  ke dalam sistem MySejahtera dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi  mengenal pasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan,”  katanya.
Arjunaidi berkata modus operandi yang digunakan dalam kes itu ialah  dengan cara mendapatkan pelanggan melalui sebaran WhatsApp dan juga  kenalan terdekat.
Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 269  Kanun Keseksaan serta 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit  Berjangkit 1988.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/poliklinik-diserbu-7-ditahan-terlibat.html