Pn Retorik Bela Melayu Islam Semakin Terancam
PN sibuk retorik Melayu terancam, Islam semakin tak terbela
Istilah ‘Melayu terancam’ timbul selepas kekalahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
Retorik ancaman terhadap Melayu itu kemudiannya dipopularkan oleh pembangkang, Umno dan Pas yang bergabung dalam Muafakat Nasional (MN).
Namun bagi ADUN Taman Medan, Ustaz Syamsul Firdaus, ancaman terhadap Melayu sebagaimana didakwa MN sebenarnya tidak jelas. Buktinya, selepas Umno dan Pas menubuhkan kerajaan pun tidak kelihatan apakah pembelaan yang mereka lakukan khusus buat orang Melayu-Islam.
“(Mereka) menggunakan retorik Melayu terancam. Tetapi bila mereka dapat kekuasaan, mereka tidak dapat menyelesaikan (isu-isu Melayu-Islam) dengan baik. Malah kita lihat jelik, umpamanya mahu mengekalkan sokongan ahli Dewan Rakyat (parti Melayu-Islam) diberikan jawatan pengerusi GLC.
“Nak bela Melayu macam mana? Islam bukan semakin terbela (dengan sogokan jawatan).
“Dulu (Umno-Pas) mahu perkasakan RUU 355, bila berkuasa mereka kata terlalu sukar pula. Bila mereka sebut macam itu seolah-olah (perkasakan Melayu-Islam) tidak ada kesungguhan,” katanya dalam sesi forum Gabungan Reformis Malaysia bertajuk ‘Menangani isu semasa Selangor’ baru-baru ini.
Menurut Syamsul lagi, pembelaan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) ke atas semua kaum, sebaliknya telah dilaksanakan dengan cemerlang sejak era Pakatan Rakyat berkuasa di Selangor dan Pulau Pinang.
Malangnya, kata Syamsul, apabila Umno menjadi pembangkang dasar membela semua kaum itu dipropagandakan seolah-olah ancaman kepada Melayu.
“Kita kena lihat banyak polisi yang dibuat oleh PH (sebelum ini) tak membezakan anutan agama dan bangsa. Tetapi ini dipesongkan sebagai Melayu terancam.
“Padahal yang memerima manfaat terbanyak orang Melayu muslim. Dari segi dasar-dasar yang dibuat itu cukup jelas. Bukan seperti Perikatan Nasional (PN), orang-orang yang tidak ada matlamat membela rakyat walaupun atas nama Melayu.
“Umpamanya kerajaan pun dibentuk atas gabungan Ahli Parlimen, bukannya di antara parti-parti yang mengikat mereka. Sebab itu kita tengok ada kelompok MN. Kemudian ada PN, jadi mana satu yang jelas. Ini sesuatu yang rapuh,” katanya.
Ustaz Syamsul menegaskan dasar perkauman yang diperjuangkan oleh Umno, Pas dan PN hari ini merupakan masalah terbesar kepada negara.
Katanya, pembelaan ke atas agama Islam bukan terhad kepada sesebuah kerajaan diperintah oleh orang Islam tetapi sebanyak manakah umat Islam mendapat manfaat dari dasar pemerintahan tersebut.
“Soal martabatkan agama Islam ini tanggungjawab kerajaan. Sebab itu di Pulau Pinang walaupun didominasi parti bukan Islam tetapi kesungguhan memartabatkan Islam lebih terserlah daripada mereka yang melaung-laungkan Islam.
“Bagi saya Islam bukan sekadar menegakkan hukum tetapi kesejahteraan rakyat perlu lebih diutamakan,” katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/29790