Menjadi Kewajipan Bagi Pas Menghadapi Pru 15 Dengan Perpaduan Islam Melayu Kata Presiden Pas
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu wajib menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini.
Justeru katanya, tidak seharusnya wujud sebarang perpecahan bagi menghadapi pilihan raya kali ini supaya tidak menjadi laksana lesung dan alu berlagu, ayam pula yang kenyang (perselisihan sesama sekutu bawa keuntungan kepada pihak lain).
"Sekarang kita sudah tangkap ayam yang makan beras padi yang tumpah dahulu, maka jangan diulang lagi dalam PRU15 sehingga ayam pula terlepas, tangan pula berbau tahi.
"Mari sama kita berakit, kita sambut datang membeli, teguh bersatu laksana bukit, anjing menyalak jangan dipeduli.
"Semestinya menjadi suatu kewajipan, perpaduan yang telah kita bina ini diteguhkan lagi, agar memenuhi syarat-syarat kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada sesiapa yang menegakkan agama-Nya," katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Muktanmar PAS kali ke-66 dengan tema 'Islam memperkukuh perpaduan' di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Sebagai rekod, PAS menyertai pilihan raya secara bersendiri pada PRU14 lalu sebelum melakukan kerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional dan menyertai kerajaan Perikatan Nasional susulan perpecahan yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu, Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang berkata, para ulama fiqh siyasah menegaskan kepimpinan yang paling berpengaruh didukung daripada bangsa yang menganut Islam, dan bangsa yang mendominasi dalam masyarakat pada masa itu ialah bangsa Arab Quraisy.
Maka jelasnya, kepimpinan umat Islam bertukar antara kaum dan bangsa yang menganut Islam secara silih berganti, kerana risalah Islam hendaklah disampaikan kepada seluruh manusia.
"Inilah hukum fiqh politik Islam mengikut mazhab ahli sunnah wal jamaah. Adapun mazhab yang menolak peranan pengaruh bangsa dan kaum pada zaman awal Islam ialah mazhab khawarij dan majoriti daripada kalangan muktazilah yang dianggap ijtihad mereka itu adalah salah, kerana tidak menepati maqasid syariah, siyasah Syar’iyyah serta menyalahi ijtihad para sahabat selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.
"Namun Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam yang merupakan satu-satunya penyelesaian masalah umat yang teguh, anjal dan tidak hanyut, selagi beristiqamah dengan prinsip dan konsep yang berpandukan hidayah (petunjuk), bukannya jibayah (harta cukai)," katanya.
Tambah Abdul Hadi, bangsa yang bersama Islam wajib bangkit supaya tidak dihanyutkan oleh pengaruh bukan Islam yang menghilangkan jati diri sendiri.
"Bangsa itu juga mungkin diselamatkan oleh kaum lain yang menganut dan menerima Islam tanpa membiarkan mereka ditenggelamkan oleh kaum bukan Islam yang haram diizinkan menjadi wali atau pemimpin kepada orang Islam
"Adapun mazhab yang menolak peranan pengaruh bangsa dan kaum pada zaman awal Islam ialah mazhab khawarij dan majoriti daripada kalangan Muktazilah yang dianggap ijtihad mereka itu adalah salah, kerana tidak menepati maqasid syariah, siyasah syar’iyyah serta menyalahi ijtihad para sahabat selepas kewafatan Rasulullah S.A.W," katanya yang juga duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.
MR : Asas perpaduan dan politikIslamperlu diperkukuhkan.
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mindarakyat.net/2020/09/menjadi-kewajipan-bagi-pas-menghadapi.html