Pirake Ayer Kuning Tiada Siapa Dapat Mendabik Dada
ULASAN
PIRAKE – pilihan raya kecil Ayer Kuning Perak sudah pun selesai lebih 48 jam lalu. Keputusan muktamad, calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi. Selain BN berjaya mengekalkan kerusi tradisinya itu, majoriti kali ini juga meningkat, daripada 2,213 yang dicapai dalam pilihan raya umum lalu kepada 5,006 undi pada pirake pada Sabtu lepas meningkat sebanyak 1,977 undi.
Manakala dipihak PN pula pencapaian undi merosot sebanyak 753 undi, apabila hanya mengutip sebanyak 6,059 undi berbanding 6,812 undi dalam pilihan raya sebelum ini.
Bagaimana pun perbezaan undi itu tidak menunjukkan dapatan sebenar kerana peratus pengundi Sabtu lepas menurun sebanyak 58.06 berbanding 74.85 peratus dalam pilihan raya lalu.
Berbagai ulasan dan juga rumusan telah dibuat oleh berbagai pihak mengenai pilihan raya berkenaan. Kedua-dua pihak BN dan PH masing-masing mempertahankan pencapaian masing-masing dengan menyatakan berbagai helah untuk menjustifikasikan pencapaian. PN walaupun gagal untuk merampas kerusi berkenaan, mereka tetap tidak mahu mengakui kekalahan kepada BN.
Begitu juga BN, menjadikan kemenangan itu sebagai petunjuk yang parti itu (Umno) sudah pulih daripada kemusnahan sebelum itu. Pengaruhnya didakwa telah kembali. Kedudukan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno yang dikritik dan diperlekeh telah diukur sebagai sudah menguat. Umno kian pulih daripada kecederaan dan pengkhianatan.
Dalam berbagai ulasan itu ada yang lucu, dan dibuat penuh emosi tanpa melihat kepada fakta. Yang paling menyedihkan ada juga cuba eksploit keputusan dengan tujuan pancingan politik masing-masing. Itu perkara biasa, baik kepada BN dan PN, mesti mempertahankan dan buat ulasan yang memihak kepada diri sendiri walaupun tidak berfakta, lantaran itu kita didedahkan dengan propaganda-propanganda politik.
Demikian sifat politik.
Namun saya mempunyai bacaan tersendiri mengenai pilihan raya tersebut. Dengan mengenepikan apa-apa sentimen dan perasaan bias, saya melihat pilihan raya itu ada kelebihan dan kekurangan di kedua-dua belah pihak. Maksudnya tiada pihak yang menang secara mutlak dari konteks politik, dan dapat mendabik dada.
Dengan melihat secara adil, pilihan raya itu tidak memberi kesan atau impak besar kepada kedua-dua pihak. Bagi PN gabungan Pas – Bersatu itu tidak boleh mengambil apa-apa indikator positif daripada pilihan raya itu. Pas dan Bersatu tidak boleh berbangga dengan pencapaiannya. Jika berdasarkan kepada pencapaian undi mereka, jelas PN gagal menambah jumlah undi diraih sebelum ini.
Demikian juga dengan BN, walaupun majoritinya bertambah sebanyak 1,977 undi, tetapi ia belum boleh dibanggakan jika diambil kira sudah berlaku kerjasama daripada PH dalam pilihan raya itu, majoriti sepatunya lebih tinggi daripada itu.
Sebelum ini dalam perlawanan lima penjuru PH meraih undi sebanyak 6,875 hampir sama dengan PN sebanyak 6,812, manakala BN sebanyak 9,088. Sekiranya diandaikan undi PH mengalir kepada BN, jumlah undi yang sepatutnya dikaut BN ialah sebanyak 15,963. Sebab itu sebelum ini MB Perak Saarani Mohamadmenganggarkan BN akan mendapat 18,000 undi. Namun perkiraan itu tidak boleh dipakai kerana peratus keluar mengundi berbeza.
Dalam pilihan raya Sabtu lalu calon BN mengutip 11,065 undi sahaja berbanding dalam pilihan raya 2022, 9088. Peningkatan undi hanya sebanyak 1,977 undi. Begitu juga dengan PH undi mereka merosot sebanyak 753 undi.
Selain daripada itu, apa juga dapat dilihat kejayaan BN dan kekalahan PN itu bergantung kepada bentuk kempen kedua-dua pihak. PN terus memainkan isu perkauman, agama seperti lazimnya. Apabila ia gagal, menunjukkan isu agama, bangsa dan perkauman sudah tidak relevan lagi, atau tidak berjaya mempesonakan orang Melayu seluruhnya.
Lantaran itu wajar kalau PN khasnya PAS membina naratif atau mencari isu lain dalam pilihan raya akan datang sekiranya mereka mahu menambah undi, khasnya undi bukan Melayu.
Berdasarkan keputusan pilihan raya semalam juga mungkin PN (Pas) boleh mula buat muhasabah semula kerjasama dengan Bersatu menerusi PN itu. Pencapaian calon mereka, Abdul Muhaimin Malik dalam pilihan raya itu menjelaskan Bersatu tidak dapat banyak membantu Pas.
Kegagalan ini bukan sahaja di Ayer Kuning, sahaja tetapi di Nenggiri, Pelangai dan juga Mahkota dimana dalam semua pilihan raya itu calon-calon PN gagal menambah undi memberangsangkan.
Sekiranya Pas bercadang untuk menjadi sebahagian kerajaan selepas pilihan raya ke-16 kelak, lebih baik Pas bertanding bersendirian menggunakan kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada ihsan Bersatu.
Pas sudah mempunyai kekuatan kemuncak walaupun tanpa bersama Bersatu. Pas perlu mengambil kesempatan ini samping memahami dan mengerti Bersatu hanya mahu menunggang mereka tanpa dapat memberi apa-apa manfaat dan benefit.
Kalau sebelum mii Bersatu dapat menyediakan kewangan kepada Pas seperti dalam pilihan raya ke-15 lalu, tetapi tidak lagi untuk pilihan raya akan datang. Banyak aset dan akaun Bersatu telah dibekukan. Pertuduhan ke atas pemimpin Bersatu dengan kes rasuah dan sebagainya menjadikan kekuatan Bersatu bukan seperti sebelum ini lagi. Hakikat ini perlu disedari Pas agar ia tidak tertipu dan mengsia-siakan kekuatan yang ada.
Bagi BN pula kemenangan itu bukan muktamad untuk mengukur kedudukan terkini mengenai pencapaian parti itu. BN tidak boleh menjadikan pencapaian pilihan raya itu sebagai petunjuk. Mereka perlu terus membaiki kekuatan parti, Umno, setidak-tidaknya memulihkan kedudukan yang robek sebelum ini, kalau tidak seluruhnya tetapi cukup ke tahap 80 peratus,
Apa yang perlu disedari, Bersatu itu wujud kerana tindakan ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan dalam Umno, dan bernafsu besar. Hanya berapa peratus saja ia disertai oleh mereka tidak berparti. Justeru Umno kena berusaha menyakinkan ahli dan penyokong mereka yang berhijrah kepada Bersatu kembali semula kepada pangkal jalan.
Tanpa berjaya berbuat demikian BN khasnya Umno tidak boleh merasa yakin mereka akan dapat mengekalkan kedudukannya seperti hari ini, menjadi sebahagian daripada kerajaan. Umno tidak boleh merasa selesa dan mengira mereka akan kekal dalam kerjasama politik dengan PH kini. Ia boleh terlerai bila-bila masa saja, melainkan Umno kuat seperti sedia kala.
Tegasnya kedudukan dan senario politik menjelang pilihan raya ke-16 nanti masih kabur, berbaur dan bersimpang siur. [wm.kl. 9:02 pm 28/04/2025]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://msomelayu.blogspot.com/2025/04/pirake-ayer-kuning-tiada-siapa-dapat.html