Pertama Kali Dalam Sejarah Pakatan Amerika Uk Di Laut China Selatan
1. Tidak sampai sebulan kerajaan United Kingdom (UK) mengisytiharkan rancangan untuk menubuhkan pangkalan tentera di Asia Tenggara, terkini dilaporkan bahawa tentera laut UK telah mengadakan latihan ketenteraan bersama tentera laut Amerika Syarikat buat pertama kalinya di Laut China Selatan.
2. Latihan ketenteraan Amerika-UK di Laut China Selatan ini baru sahaja berlangsung dari Jumaat 11 Januari 2019 dan berakhir semalam, Rabu 16 Januari. Latihan selama enam hari itu melibatkan Kapal Pemusnah berpeluru berpandu USS McCampbell milik Tentera Laut AS dan Kapal Frigate HMS Argyll milik Tentera Laut Diraja UK.
3. Perlu ditekankan bahawa kapal Pemusnah USS McCampbell inilah yang baru-baru ini berlayar melalui 12 batu nautika di Kepulauan Paracel yang dituntut China, Vietnam, dan juga Taiwan dalam operasi kebebasan pelayaran (Freedom of Navigation) mereka. Insiden pada awal tahun 2019 ini tentu sekali telah mengundang penerusan ketidakstabilan di Laut China Selatan dengan reaksi agresif China.
4. Kedua-dua kapal perang Amerika dan UK ini telah menjalankan latihan yang melibatkan komunikasi, taktik-taktik ‘division’, dan juga pertukaran para pegawai yang direkabentuk bagi kesiapsiagaan keutamaan keselamatan maritim serta menambahbaik ‘saling-kendali’ (interoperability).
5. Pada Ogos 2018, satu lagi kapal penyerang amphibious British, iaitu HMS Albion turut berlayar hampir dengan gugusan kepulauan Paracel yang sama dilalui kapal Pemusnah USS McCampbell ini. Kelihatan jelas bahawa pola pakatan Amerika-UK ini akan diluaskan dari semasa ke semasa di Laut China Selatan seperti mana yang saling diakui antara pegawai pemerintah Kapal Pemusnah USS McCampbell, Allison Christy dan juga pegawai pemerintah Kapal Frigate HMS Argyll UK, Toby Shaughnessy.
6. Peningkatan kekerapan pelayaran dan latihan ketenteraan laut Amerika di Laut China Selatan ini menepati ‘grand strategy’ Washington untuk mengekang China. Berbanding UK yang baharu menyertai pakatan Amerika di Laut China Selatan ini, tahun 2018 menyaksikan beberapa kuasa lain turut menyertai kempen Washington seperti Australia, Perancis, dan Jepun.
7. Walau bagaimanapun, ‘kemaraan’ UK ini adalah berbeza dengan kehadiran Jepun, Australia, dan Perancis pada 2018. Berbeza dengan Australia (yang sekadar mengirim dua kapal frigate mengiringi kapal penggantian mereka yang belayar ke Vietnam pada April 2018), Perancis (yang mengirimkan kapal penyerang Dixmude dan sebuah frigate ke Kepulauan Spratly pada Mei 2018), dan Jepun (yang mengadakan latihan ketenteraan melibatkan sebuah kapal selam, dua kapal pemusnah, dan sebuah kapal pengankut helikopter pada September 2018), UK jelas memiliki perancangan jangka panjang yang dijangka tidak membantu ke arah kestabilan di Laut China Selatan.
8. Setiausaha Pertahanan UK Gavin Williamson beberapa minggu lalu dalam temu bual bersama The Sunday Telegraph pada 30 Disember 2018 secara terbuka mengisytiharkan bahawa UK merancang untuk membina pangkalan tentera di Asia Tenggara dan Caribbean – secara khusus beliau menyebut kemungkinan membuka pangkalan berkenaan di Singapura dan Brunei.
9. Laporan tersebut yang bertajuk “Britain to become ‘true global player’ post-Brexit with military bases in South East Asia and Caribbean, says Defence Secretary” ini menjelaskan fokus utama UK pasca-Brexit yang akan berlangsung pada Mac 2019 nanti. Ringkasnya, sebaik sahaja keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), UK ingin ‘kembali menjadi kuasa global’.
10. Adakah China hanya akan berdiam diri dengan kesemua perkembangan rancak pakatan ketenteraan Washington ini? Beberapa kenyataan pemimpin tertinggi kerajaan dan juga angkatan tentera China jelas mencerminkan betapa mereka tidak akan hanya berpeluk tubuh melihat peluasan kuasa mereka dikekang secara besar-besaran di halaman perairan mereka sendiri.
11. Laksamana Lou Yuan beberapa minggu lalu memberi amaran secara terbuka bahawa China boleh menghadang kemaraan Amerika (khusus dalam konteks di Laut China Timur) dengan “menenggelamkan dua buah kapal pengangkut pesawat Amerika”. Laksamana Lou Yuan yang juga merupakan Timbalan ketua Akademi Sains Ketenteraan China itu selanjutnya mengatakan bahawa langkah sedemikian bakal mengorbankan 10,000 kelasi Amerika dan “ketakutan terbesar Amerika adalah berhadapan dengan kematian”.
12. Amaran Laksamana Lou Yuan ini adalah cukup mengejutkan kerana secara konvensionalnya, sebarang tindakan menyerang – apatah lagi menenggelamkan – kapal pengangkut pesawat negara lain ialah isyarat permulaan perang secara besar-besaran. Realiti yang tidak boleh dipandang enteng ialah hakikat bahawa China sememangnya kini memiliki senjata peluru berpandu ‘hypersonic’ yang berupaya diubahsuai menjadi senjata pemusnah kapal (anti-ship weapons) untuk menjalankan serangan sedemikian – meski pun belum pernah teruji di medan peperangan yang sebenar.
13. Kedudukan geografi Taiwan – kepulauan yang menjadi fokus tarik-tali antara China dengan kuasa Barat yang cuba mendukung kedaulatan dan kemerdekaannya – menambah bahang di Laut China Selatan. Taiwan sendiri menguasai satu kepulauan besar di Laut China Selatan iaitu Pulau Itu Aba.
14. Kemuncaknya tentulah amaran keras daripada Presiden China Xi Jinping sendiri dalam ucapan 40 Tahun “Mesej kepada Warga se-Negara di Taiwan” beliau pada 2 Januari lalu bahawa penyatuan Taiwan ke dalam China “mesti dan akan” berlaku. Sekitar Jun 2018, tersebar idea bahawa Taiwan mungkin akan menjemput Amerika untuk mewujudkan pangkalan tentera di Pulau Itu Aba di Laut China Selatan.
15. Bagaimana pula dengan pendirian kita di Malaysia? Kerajaan Pakatan sejak mengambilalih tampuk kekuasaan pada 9 Mei 2018 jelas mengatakan bahawa Laut China Selatan seharusnya dibebaskan daripada kehadiran kapal-kapal tentera. Namun berdasarkan perkembangan ketegangan geopolitik semasa – peningkatan mendadak kehadiran angkatan tentera laut Amerika, UK, Perancis, Jepun, dan Australia di Laut China Selatan di samping pemodenan berterusan angkatan tentera China – pendirian kerajaan ini seolah-olah ‘mencurahkan air ke daun keladi’.
16. Maka Putrajaya perlu mempertimbangkan untuk merelakan – bahkan mungkin meraikan – berlangsungnya konsep ‘pengimbangan kuasa’ (balance of power) dan ‘pengimbangan ancaman’ (balance of threat), lalu tidak lagi mempertahankan retorik Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) kerana dualisme sedemikian akan mengundang pelbagai implikasi ‘inconsistency’ negatif masa depan lalu menggugat kredibiliti negara yang merupakan aset di persada antarabangsa.
17. Kedua, jika benar Putrajaya merancang untuk meraikan keberlangsungan ‘pengimbangan kuasa’ (balance of power) dan ‘pengimbangan ancaman’ (balance of threat) di Laut China Selatan, maka Putrajaya perlu menyeru negara-negara di rantau Laut China Selatan agar tidak selektif membenarkan hanya kuasa pro-Amerika sahaja seperti UK atau Jepun atau Australia atau Perancis untuk hadir sebagai kuasa pengimbang.
18. Langkah sedemikian akan menjerat kita sebagai negara kecil di kaki simpati satu dua kuasa besar sahaja, seperti mana tragedi yang banyak terjadi dalam hubungan negara kecil-negara besar (rujuk karya sarjana seperti Robert Keohane dan juga John J. Mearsheimer). Maka negara kuasa besar dan kuasa pertengahan lain juga perlu diundang – seperti Rusia dan Turki untuk memecah risiko ‘kebergantungan’ ini.
19. Ketiga, dalam keadaan semasa Laut China Selatan yang sudah dipenuhi (overcrowded) kehadiran kuasa-kuasa besar, langkah memesatkan segera integrasi Komuniti ASEAN perlu dijadikan prioriti. Buat masa ini, ASEAN memiliki mekanisme seperti ASEAN Defense Minister Meeting (ADMM) dan juga ADMM Plus bersama lapan ‘rakan dialog’: Amerika, Australia, Jepun, Korea, India, New Zealand, Rusia, dan China.
20. Implikasi kepada negara-negara Asia Tenggara juga tidak kurang hebatnya. Kesatuan ASEAN sama sekali tidak sekuat Kesatuan Eropah (EU). Langkah merelakan pendekatan ‘pengimbangan kuasa’ (balance of power) dan ‘pengimbangan ancaman’ (balance of threat) di rantau Laut China Selatan turut mengundang persaingan sesama negara-negara ASEAN yang memiliki tuntutan bertindih di sana.
21. Situasi hari ini tidak akan selama-lamanya kekal seperti hari ini. Kebangkitan arus populisme haluan kanan di Eropah tidak mustahil menular di Asia Tenggara pula dan tuntutan wilayah di Laut China Selatan – khususnya antara Malaysia, Vietnam, Filipina, dan Brunei – akan berlanjutan menjadi perlumbaan senjata (arms race).
22. Tentulah, pendekatan sebegini jika tidak diurus secara bijaksana, dan jika ASEAN gagal menjadi peneraju, maka semakin banyak negara yang akan hadir dengan aset ketenteraan mereka, maka akan semakin tinggi jugalah risiko ketegangan untuk meningkat. Maka langkah ini – ‘pengimbangan kuasa’ (balance of power) dan ‘pengimbangan ancaman’ (balance of threat) – jika disepakati untuk diterima dan dilaksakana, ia akan meningkatkan – bukan mengurangkan – risiko perang dan pertembungan di Laut China Selatan.
23. Perang pernah meletus di Laut China Selatan antara China dan Vietnam pada 1974 dan 1988, dan banyak korban pernah terjadi dari semasa ke semasa termasuklah dalam pertembungan Amerika-China pada 2001 dan China-Filipina. Maka ia sama sekali tidak mustahil untuk kembali meletus dalam skala yang lebih besar dalam keadaan semakin banyak kuasa asing yang ‘masuk ke gelanggang’ di rantau kita ini pada hari ini.
Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
The post Pertama Kali Dalam Sejarah: Pakatan Amerika – UK Di Laut China Selatan appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/pertama-kali-dalam-sejarah-pakatan-amerika-uk-di-laut-china-selatan/