Larangan Merokok Denda Rm500 Bagi Pesalah Kali Pertama
  Bernama     

Lee  Boon Chye berkata, saman itu akan dikeluarkan kepada perokok ingkar,  selepas pendekatan memberi amaran secara lisan selama 6 bulan pertama  berakhir. (Gambar Bernama) CAMERON HIGHLANDS: Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan saman  RM500 kepada pelanggan yang melakukan kesalahan pertama dengan merokok  di premis makanan.
 Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata saman itu akan  dikeluarkan kepada perokok ingkar, selepas pendekatan memberi amaran  secara lisan terlebih dahulu kepada golongan itu berakhir.
 “Bagi kesalahan kali pertama, perokok akan dikenakan saman oleh  penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah di kawasan terbabit dan perlu  membayar saman itu dalam tempoh 2 minggu.
 “Sekiranya saman itu tidak dijelaskan dalam tempoh tersebut  atau perokok yang didapati mengulangi kesalahan sama, mereka akan  dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun,”  katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Hospital Sultanah Hajjah  Kalsom, semalam.
Pada 6 November lalu, Lee berkata, pihaknya menggunakan pendekatan  memberi amaran terlebih dahulu kepada perokok dalam 6 bulan pertama  selepas larangan merokok di semua premis makanan dikuatkuasakan 1  Januari lalu.
 Sementara itu, Lee berkata, pihaknya kesal dengan insiden seorang  pelayan restoran ditampar pelanggan hanya kerana menegur sekumpulan  lelaki merokok di dalam sebuah restoran di Shah Alam, Selangor, Selasa  lalu.
 Beliau menyifatkan tindakan pelanggan menampar pelayan restoran  berusia 25 tahun itu sebagai tidak bertamadun hanya kerana ditegur tidak  merokok di kawasan larangan.
 “Kami serahkan (kes itu) kepada pihak polis untuk melakukan siasatan  dan tindakan lanjut terhadap individu tersebut kerana perkara seperti  itu tidak seharusnya berlaku.”
 Dalam perkembangan lain, Lee berkata, air paip yang diproses menerusi  loji rawatan air Cameron Highlands selamat digunakan kerana pemeriksaan  berkala Bahagian Kejuruteraan Kementerian Kesihatan mendapati ia  mematuhi standard kesihatan ditetapkan.
 “Ada penduduk di sini yang mengadu air di sini keruh, namun air itu  keruh disebabkan rangkaian pengedaran saluran paip air yang tidak  dijamin kebersihannya dan bukan dari loji rawatan air.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/01/larangan-merokok-denda-rm500-bagi.html