Pernah Berdepan Muflis Bapa Tiga Anak Bangkit Jadi Inspirasi Ramai
Pernah Berdepan Muflis, Bapa Tiga Anak Bangkit Jadi Inspirasi Ramai
Mungkin ramai hari ini terpesona dengan kejayaan insan-insan hebat di media sosial.
Ada yang berjaya membina sebuah empayar perniagaan, ada yang bergelar jutawan dan dikenali ramai.
Namun setiap kejayaan ini tidak datang bergolek, melainkan usaha yang menggunung.
Malah ada daripada kalangan mereka ini pernah melalui detik hitam dalam hidup sebelum kembali bangkit.
Begitu juga kisah seorang Jurulatih Kecergasan, Haji Abdul Hanif bin Haji Abdul Hamid, atau lebih dikenali sebagai Coach Loid.
Hari ini, ramai yang mengenalinya sebagai seorang jurulatih kecergasan yang banyak memberikan inspirasi kepada orang ramai mengenai gaya hidup sihat.
Namun, tidak ramai yang tahu di sebalik tubuh sasa dan senyuman tenangnya, tersimpan kisah pengorbanan dan cinta seorang lelaki.
SK hari ini akan berkongsikan kepada anda jatuh bangun seorang jurulatih kecergasan, Hanif Loid dalam segmen Ini Kisah Aku.
Pernah Lalui Detik Hitam Dalam Hidup
Umum mengenali Coach Hanif dalam bidang fitness namun sebenar insan ini bukanlah datang daripada latar belakang sukan atau kesihatan.
Coach Hanif merupakan lulusan Diploma dan Ijazah dalam Seni Halus (Sculpting), namun perjalanan hidupnya membawanya ke arah yang berbeza.
Dalam temu bual bersamanya, Hanif bercerita, dia pernah melalui satu detik penuh gelap, yang menjadi titik tolak dalam hidupnya apabila pernah muflis dalam perniagaannya.
“Sebenarnya sebelum tu, saya dah pernah bankrap dalam business saya masa tu saya buat muamalat. Saya hutang bank, kereta kena tarik, saya hutang banyak,” kongsinya.
@hanifloid
Rekod baru di @REDLINE Fitness Games

2025 untuk category 40 above. Setiap kekuatan saya datang dari kepercayaan mereka, keluarga dan kawan-kawan. Sebelum ini setiap kesukaran dan usaha saya lakukan seorang diri, tetapi hari ini Allah hadirkan saya keluarga dan kawan-kawan yang percaya saya boleh berusaha lebih dari apa yang saya pikerkan. @Fariza Chacha @Capt Raeiz @Sports Paragon #hanifloid #pressiomy
♬ original sound – Hanif Loid – Hanif Loid
Pada awalnya, dia hanya menjalankan perniagaan telefon pintar bagi menampung keluarga ketika awal perkahwinan.
Namun, memikirkan masa depan keluarganya, Hanif nekad meninggalkan pekerjaan itu dan memilih laluan baharu untuk bergelar seorang jurulatih kecergasan selepas mendapat sokongan daripada isteri.
Hanif mengakui isterinya merupakan tulang belakang kejayaannya sehingga hari ini, apatah lagi ketika itu, keadaan kewangan pasangan itu juga terhad.
“Waktu tu saya memang minat fitness. Isteri saya galakkan. Apa kata you buat sesuatu yang ada kena dengan fitness,” kongsinya lagi.
Namun untuk bergelar seorang jurulatih bertauliah, Hanif mengetahui, dia perlu mendapatkan sijil terlebih dahulu.
“Jadi, kita cubalah untuk dapatkan sijil personal trainer waktu tu. Tapi disebabkan saya tiba-tiba buat keputusan untuk keluar daripada business, memang masa tu saya dengan isteri saya duit tak ada.
“Kita orang pun baru je lepas kahwin. Jadi, banyak duit belanja habis dekat kahwin.
“Nak dapatkan sijil personal trainer waktu tu pun cecah RM7,000. Jadi, saya dengan isteri saya cuba seberapa untuk carilah peluang tu. Saya buat grab, isteri saya bekerja dekat kedai baju,” kongsinya.
Kongsinya lagi, dia pernah ditolak sebagai personal trainer di tiga buah gim hanya kerana faktor umur dan tiada pengalaman.

Gambar Coach Hanif Loid melatih di gim
“Saya dah pergi cari kerja sebagai personal trainer dekat tiga buah gym dan semuanya menolak sebab mereka kata mungkin sebab umur saya 31 tahun waktu tu dan saya tak ada pengalaman apa-apa. Mengajar pun tak ada apa-apa.
“Jadi, mereka takut nak ambil saya bekerja. Mereka kata takut nanti merugikan mereka kalau mereka bagi peluang kepada saya.
“Tapi saya teruskan juga walaupun saya tak ada sijil waktu tu, saya cuba mengajar secara kecil-kecilan dekat gim yang terdekat dengan rumah saya dan simpan duit untuk dapatkan duit untuk at least dapatkan sijil,” luahnya.
Hanif mengakui, sebagai seorang lelaki dan suami, nak tak nak dia perlu berusaha mencari jalan penyelesaian meskipun berdepan pelbagai kesukaran.

“Waktu tu memang susah, tapi kami cuba dan isteri saya pun bekerja dan dia membantu saya untuk kumpul untuk dapatkan sijil untuk belajar jadikan certified personal trainer.
“Tapi sebab isteri saya nampak minat saya kan sebab saya memang tak kisah apa yang berlaku. Saya boleh bangun awal pagi sebelum solat Subuh, boleh pergi gim, boleh pergi berlari.
“Jadi, sebab isteri saya nampak minat saya tu dan sikap saya yang tak pernah berhenti berusaha. Jadi, isteri saya bersabarlah sepanjang perkahwinan kami di awalnya,” katanya.
BACA JUGA: Dari Kampung Ke Pentas Dunia: Kisah Penebar Roti Canai Terbang ‘Gegar’ Jepun
Tambah bapa tiga anak itu, setiap sen yang dikumpul bukan untuk kemewahan tetapi untuk menjadi seorang yang boleh dibanggakan anaknya suatu hari nanti.
“Saya tak nak bila anak saya besar nanti, orang tanya dia, ‘ayah kamu kerja apa?’ dan dia jawab, ‘ayah saya jual handphone clone.’ Saya tak nak dia malu. Saya nak dia bangga,” katanya.

Isteri, Pengorbanan Terbesar Dalam Hidup
Ditanya mengenai cabaran sepanjang perjalanan bergelar coach, Hanif menjelaskan cabaran terbesar bagi dirinya bukanlah pesaing atau keletihan itu sendiri, tetapi kesihatan isterinya.
Bagi Coach Loid, kejayaannya hari ini bukan miliknya seorang. Ia hasil pengorbanan isteri yang sentiasa di sisinya walaupun ketika di dalam kesusahan.
“Saya selalu cakap, pengorbanan saya biasa je. Tapi pengorbanan isteri saya, luar biasa. Tanpa dia, saya takkan berada di sini,” katanya.
Antara kejayaan Coach Hanif dalam kejohanan disertai;

Rutin Harian Coach Hanif Loid
Dalam dunia ini, beliau memberitahu, disiplin dan konsisten merupakan kunci utama.
“Rutin saya dimulakan dengan tidur pukul 10:00 atau 10:30 malam, bangun pukul 3:30 atau pukul 4:00 pagi, pergi berlari 10 ke 15 km. Lepas tu buat live dekat Facebook.
“Buat kerja semua, pergi gym sekejap, buat weight training. Lepas tu buat live lagi dekat TikTok and then buat kerja sambung. Petang buat live sambil buat endurance training lagi. Ulanglah semua ni Isnin sampai Ahad,” kongsinya.
@hanifloid
Senaman Bakar Lemak dirumah #hanifloid
♬ original sound – Hanif Loid – Hanif Loid
@hanifloid
4 senaman asas untuk beginner @Loid Mobile Gym #hanifloid #brooksrunning #letsrunthere
♬ original sound – Hanif Loid – Hanif Loid
Pesanan Untuk Anak Muda
Sementara itu, dia turut menitipkan pesanan kepada anak muda yang berniat untuk mula berjinak-jinak dalam dunia ini agar tidak muda berputus asa.
“Dalam hidup ni, jangan pernah berhenti berusaha. Tak ada manusia yang gagal cuma ada manusia yang berhenti berusaha.
“Selagi kita boleh bangun pagi, selagi kita masih bernafas, itu tanda Allah masih sayang kita dan mahu kita terus mencuba,” pesannya.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkongsian dan tip kecergasan dan gaya hidup sihat boleh layari laman web dan media sosial mereka di Facebook, Instagram dan TikTok
The post Pernah Berdepan Muflis, Bapa Tiga Anak Bangkit Jadi Inspirasi Ramai appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/10/27/pernah-berdepan-muflis-bapa-tiga-anak-bangkit-jadi-inspirasi-ramai/