Perlukah Duit Raya Diberikan Semasa Aidilfitri
Satu amalan masyarakat Malaysia adalah pemberian duit raya. Duit raya diberikan terutama kepada kanak-kanak yang hadir berhari raya di rumah atau majlis hari raya. Muktakhir ini pula orang dewasa juga disediakan wang raya oleh majikan atau organisasi untuk perbelanjaan hari raya.
Adakah ia satu keperluan dalam agama atau hanya suatu budaya? Kalau pemberian itu suatu keperluan, maka ia akan menjadi suatu perkara yang rumit bagi golongan yang kurang berkemampuan. Jika amalan tersebut menjadi suatu budaya pula, ditakuti ia hanya tradisi masyarakat atau adat kebiasaan dan bukan dilihat sebagai ibadat bersedekah yang dianjurkan dalam Islam.
Oleh itu, konsep pemberian duit raya seharusnya berpaksikan tujuan dan niat yang jelas bertepatan dengan sepotong hadis Nabi yang menganjurkan umatnya bertukar-tukar hadiah kerana ia mengundang perasaan mahabbah sesama Islam.
Nabi SAW bersabda bermaksud: "Bertukar-tukarlah hadiah atau pemberian, nescaya kamu akan berkasih sayang dan menghilangkan perasaan benci. (Riwayat Baihaqi)
Biarpun hadis itu adalah umum mengenai hadiah dan pemberian yang tidak dikhususkan pada Aidilfitri, namun tidak salah dikaitkan juga dengan duit raya. Hadis itu menyebut mengenai wujud gesaan bertukar hadiah yang boleh mewujudkan perasaan kasih sayang.
Ada juga hadis yang menyebut agar kita dapat mewujudkan atau menimbulkan kegembiraan di hati saudara-saudara kita yang lain.
Maksud sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang menimbulkan kegembiraan di hati mana-mana penghuni rumah, nescaya Allah tidak meredai baginya melainkan diberikan pemberian syurga-Nya. (Hadis riwayat Tabrani)
Lantaran itu, eloklah kita serikan dan meriahkan hari lebaran terutama di kalangan golongan yang kurang bernasib baik, kurang berada atau kanak-kanak. Bagaimanakah pula bagi yang tidak mampu tetapi apabila melihat orang lain memberi duit raya, maka dia terpaksa juga memberinya?
Pemberian duit raya adalah antara amalan-amalan kebajikan atau pemberian ikhlas seseorang yang disunatkan dalam Islam. Justeru, berikanlah sumbangan itu dengan seikhlas dan setulus hati, tanpa dipaksa oleh rasa bersalah sekiranya ia tidak dapat memberikannya. Sekiranya tidak mampu memberikan duit, maka juadah hari raya yang disajikan juga mencapai maksud pemberian yang dianjurkan dalam Islam. Tidak perlu paksakan diri untuk memberi ketika kita tidak mampu melakukannya. Juga, jangan berasa malu dan bersalah jika tidak mampu menyediakan duit raya.
Kepada ibu bapa pula, didiklah anak-anak agar tidak meminta duit raya dengan sesiapapun. Terima dan ambil hanya apabila diberikan. Ibu bapa supaya sentiasa menekankan kepada anak-anak tentang penting amalan ziarah dan bukannya mengharapkan duit raya. Ada kanak-kanak terbiasa meminta duit raya dengan saudara mara. Kalau tidak diberi, mereka akan merayu-rayu dan siap 'memaksa'.
Bagaimanakah sepatutnya penghayatan Ramadan agar tidak berlaku amalan pembaziran? Firman Allah SWT. di dalam surah Al-Isra' ayat 26 dan 27 bermaksud: "Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan adalah syaitan itu kufur terhadap Tuhan-Nya."
Selama sebulan lamanya kita ditarbiah dalam situasi yang sederhana, sama ada dalam aspek pemakanan, minuman, kehidupan seharian dan seumpamanya. Tambahan pula, sebagaimana yang kita semua maklum, bahawa sepanjang kita berpuasa sebenarnya kita bermujahadah melepaskan diri daripada kongkongan syaitan.
Oleh itu, adalah bertentangan dengan roh dan jiwa Ramadan apabila kita yang meninggalkan syaitan pada bulan Ramadan, tiba-tiba menjadi kawan atau sahabat syaitan menjelang Syawal dengan pembaziran yang melampau.
Seorang hukama pernah berkata: "Bukanlah hari raya itu dengan baju yang baru, tetapi hakikat hari raya itu adalah dengan takwa yang semakin jitu." Semangat ketakwaan yang semakin menebal dan kukuh di jiwa setiap calon yang telah berjaya menamatkan latihan Ramadan selama sebulan, itulah makna hari raya sebenarnya yang dikehendaki syarak.
Begitu juga dengan semangat 'kembali baru atau fitrah', itulah manifestasi Aidilfitri yang bermakna kembali (aidil) ke pangkal fitrah (fitri) yang suci dan murni. Suci dari segala kotoran lahiriah dan batiniah serta bersih daripada noda dan dosa adalah hasil yang paling berharga pada hari raya ini.
Dalam pada itu juga, Aidilfitri harus disambut dengan penuh kesyukuran kepada Yang Esa atas nikmat agung berupa Hari Kebesaran yang dihadiahkan Allah kepada sekalian hamba-Nya yang telah menamatkan ibadat puasa pada bulan Ramadan.
Semangat bermaaf-maafan, iaitu buangkan yang keruh, ambil yang jernih adalah semangat yang harus diterapkan sempena hari mulia ini. Janganlah hanya kerana isu memilih kampung untuk beraya contohnya, akhirnya bergaduh suami isteri pada hari mulia ini. Ia tentunya bertentangan dengan roh atau semangat hari raya yang berupa hari perdamaian dan berbaik-baik antara sesama Muslim.
Begitu juga semangat bantu-membantu terutamanya terhadap golongan yang susah, seperti anak-anak yatim, golongan fakir dan miskin, ibu-ibu tunggal, kaum mualaf dan seumpamanya. Mereka juga ingin mengecapi nikmat raya dan kemeriahan Syawal yang menjelang.
Sumbangkanlah sekadar termampu apa jua bantuan bagi mereka yang kurang bernasib baik tersebut. Mereka yang dibantu pula jangan lupa berterima kasih kepada yang menghulurkan bantuan bersesuaian dengan hadis Nabi bermaksud: "Sesiapa yang tidak bersyukur dengan nikmat yang sedikit, pasti tidak bersyukur dengan nikmat yang banyak. Sesiapa yang tidak berterima kasih dengan manusia, sebenarnya, dia tidak bersyukur dengan Allah" (Riwayat Imam Ahmad).
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/05/omh.html