Persatuan Minta K Jaan Timbang Duit Raya Pada Peneroka
Yasmin Ramlan 
    Kerajaan diminta mempertimbang untuk meneruskan pemberian insentif  sempena Hari Raya Aidil Fitri kepada peneroka Felda seperti yang telah  diamalkan sejak 2011.
Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda  (MPNF) Mazlan Aliman berkata, apatah lagi di saat harga komoditi sawit  yang tidak menentu pada masa ini.
Beliau menggambarkan insentif tersebut sama seperti bonus yang diberi kerajaan kepada kakitangan awam.
"Meskipun  kami memahami kekangan kewangan kerajaan, namun mengambil kira  keseluruhan peruntukan seperti tahun-tahun lalu, ia seharusnya bukan isu  besar demi menjaga kepentingan peneroka yang memberi sumbangan besar  kepada produktiviti negara.
“Sambil mengalu-alukan Pelan Pemulihan  Felda seperti yang terkandung dalam Kertas Putih, proses pemulihan ini  masih terlalu awal, sedangkan keperluan duit raya amat mendesak,”  katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 22 Mei lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali membayangkan peneroka mungkin tidak akan menerima peruntukan duit raya daripada kerajaan untuk tahun ini.
Selain  memberi tumpuan kepada rancangan pemulihan lembaga itu yang bernilai  RM6.23 bilion, Azmin berkata kerajaan berhasrat menyalurkan pinjaman  sara hidup dan pendahuluan hasil terlebih dahulu yang menurutnya akan  dibuat sebelum hari raya.
Pengumuman itu dikritik Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang menyifatkan ia "mengecewakan seluruh warga peneroka."
Membandingkannya  dengan BN, Beliau berkata pentadbiran lalu sentiasa mengutamakan warga  Felda - termasuk memberi duit raya RM450/500 dan bonus RM350 - walau apa  kedudukan kewangan Felda.
Mazlan berkata beliau akan menghantar  surat rasmi kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar duit raya  dapat diberi selewat-lewatnya seminggu sebelum hari raya, selepas  menerima banyak respons daripada peneroka.
Untuk rekod, kerajaan PH memberikan insentif raya RM450 kepada peneroka pada tahun lalu.
'Sebagai pendahuluan dividen'
Sentimen  sama turut disuarakan penganalisis ekonomi Prof Barjoyai Bardai yang  berkata satu pemberian khas tetap perlu diberi kepada peneroka.
Beliau  mencadangkan bayaran itu dijadikan sebagai pendahuluan daripada dividen  yang bakal diperolehi pada masa akan datang, hasil proses pemulihan  yang sedang dijalankan.
“Peneroka sebagai kumpulan berpendapatan  rendah mengharapkan sesuatu kerana pada masa ini mereka memang terdesak.  Hari raya sudah dekat, pendapatan daripada jualan kelapa sawit rendah  kerana harga murah.
“Walaupun semua itu bukan kesilapan kerajaan  (sekarang) tapi setengahnya kesilapan kerajaan terdahulu, tetapi  kerajaan tetap perlu mengambil kira semua ini," katanya ketika dihubungi  Malaysiakini.
Pada masa sama, beliau juga mencadangkan  kerajaan meningkatkan penyebaran maklumat berkenaan langkah pemulihan  Felda yang telah dan akan dilakukan kepada semua pihak.
'Tangguh potongan terhadap peneroka'
Sementara  itu, Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Rauzan  Esa menggesa Felda menangguhkan pemotongan seperti bayaran operasi  ladang dan hutang yang dikenakan terhadap peneroka buat sementara waktu.
Katanya, ia membolehkan peneroka mempunyai wang tunai yang lebih terutama di musim perayaan.
“Duit  raya juga boleh diberi daripada insentif Felda Global Ventures (FGV)  seperti daripada dividen dan jualan buah tandan sawit kepada kilang FGV.
“Pengumuman menteri memang agak mengecewakan sebahagian  peneroka, namun ia pasti dibuat berdasarkan keadaan kewangan semasa,”  katanya lagi. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/persatuan-minta-kjaan-timbang-duit-raya.html