Perjuangan Orang Kecil Di Bulan Puasa


 

Puasa itu perjuangan. Ia mengingatkan kita kepada Rasulullah SAW yang bertempur di medan perang pada bulan yang panas ini. Memanglah selamanya tidak akan sama besarnya perjuangan kita yang kerdil ini berbanding kehebatan tokoh agung tersebut namun bagi diri saya, sekecil manapun kita, tetap ada perang kita sendiri dalam menempuh cabaran hidup sehari-hari. Tidak kira sama ada di luar bulan Ramadan atau juga di bulan Ramadan, kita mesti berikhtiar untuk hidup.
Lantaran kos hidup di Lembah Klang yang cukup tinggi bagi seorang guru lepasan diploma seperti saya, dengan gaji kecil, punyai keluarga apatah lagi dua anak perempuan saya pula cacat terlantar tak mampu uruskan diri, maka harus ada mata pencarian lain untuk menampung belanja sekeluarga yang cukup ketat. Bermacam usaha yang kami suami isteri buat waktu itu, maklumlah pada usia tiga puluhan tubuh kita berada pada kekuatan yang maksimum.
Betul tak? Usia tiga puluhan bagi saya adalah zaman gemilang kita kerana pada usia itulah kita gagah bergelut menuju kestabilan. Kalau di usia begitu kita leka, payah rasanya kita hendak bangkit hari kemudiannya. Mengambil semangat tubuh yang kuat, kami berniaga kecil-kecilan tapi maklum sajalah anak-anak kami adakalanya sakit-sakit. Buka kedai pakaian, tutup. Buka kedai makan, tutup. Buat lagi dan lagi dan lagi sehinggalah kami bertemu satu peluang buat duit yang menarik. Kami melihat bulan Ramadan adalah lubuk rezeki bagi kami waktu itu. Peluang ini mesti direbut.
Sebenarnya yang kaki niaga adalah isteri saya, dia yang pandai cari duit dengan berniaga. Saya jenis “on” sahaja. Korek sana sikit sini sikit buat modal, dapatlah kami memulakan perniagaan pada bulan puasa itu. Kami jual kurta dan jubah untuk lelaki. Waktu itu masih tidak ramai yang berniaga barang-barang sebegitu. Kurta dan jubah berpotongan menarik khas untuk lelaki masih belum terkenal lagi. Ia tidaklah selaris berniaga baju Melayu atau baju kurung namun penggemarnya sudah mula ada. Tak mengapalah, kita cuba niaga barang ini, kata isteri saya.
Yang berada di kedai sepenuh masa ialah isteri saya. Saya hanya memasang rak-rak, memasang lampu dan menyusun barang-barang di dalam kedai sahaja, kemudian selepas itu saya balik ke rumah. Isteri sayalah yang menjadi Siti Khadijah, menjalankan perniagaan dari pagi sampai larut malam. Saya ini bukan jenis orang meniaga. Nak-nak pula saya ini jenis cepat panas hati. Ha! Ha! Ha! Saya tak tahan sabar menangani pelanggan yang ada ketika banyak pula songehnya. Atas sebab itu adalah lebih baik saya duduk di rumah sahaja menjaga dua anak perempuan istimewa saya yang terlantar itu. Saya rela jaga makan-minum, mandi-manda Annisa dan An-Nur di rumah. Saya bapa yang tidak ada masalah menguruskan anak-anak. Lewat petangnya barulah saya bawa kedua anak saya ke kedai untuk sama-sama berbuka dengan isteri. Apabila malam pun larut, saya menutup kedai dan sebelum sampai rumah kami singgah dulu di kedai tomyam untuk bersahur. Begitulah rutin Ramadan kami pada waktu Annisa dan An-Nur masih ada. Kalau boleh dianggap perjuangan, itulah perjuangan kami suami isteri membesarkan anak-anak demi persaingan hidup di kota keras ini.
Ada ketika kami terpaksa meninggalkan sebentar anak-anak di rumah untuk mempersiapkan barangan di kedai. Suasana panas waktu siang boleh menjejaskan kesihatan mereka maka setelah mereka kenyang dan siap mandi, dengan doa dan keyakinan yang Allah itu Maha Memerhati, kami tinggalkan sebentar mereka di rumah tanpa pengawasan sesiapa. Sebaik sahaja kerja persiapan di kedai selesai, saya terus bergegas balik ke rumah. Dengan iman yang nipis, saya hanya meminjam semangat Siti Hajar ketika meninggalkan anaknya Nabi Ismail di padang pasir demi mencari rezeki. Perjuangan Siti Hajar itu tentulah lebih besar dalam menghayati erti perjuangan dan tawakal tapi apalah salah bagi kami yang yakin tak yakin ini memohon doa kepada tuhan untuk berbuat perkara yang hampir sama sekejap. Alhamdulillah, tak pernah berlaku apa yang tak diingini. Semuanya baik-baik sahaja.
“Bang, tadi ada orang datang kedai. Nampak gayanya orang dari ‘seberang’. Dia nak jual tangkal pelaris perniagaan. Kata dia, kalau beli tangkalnya tak sampai seminggu barang niaga kita ini habis dijual,” kata isteri saya sepanjang ketiadaan saya di situ. Menurut isteri saya tangkal pelaris tersebut harganya sekitar RM200 juga.
“Beli tak?” tanya saya.
Isteri saya ketawa. “Sepatutnya dia yang nak jual tangkal pelaris itulah yang pakai. Tangkal dia sendiri pun tak laku, macam mana?”
Kami pun ketawa. Macam-macam hal. Benar, peniaga-peniaga macam kami pun ada risikonya. Pencuri banyak berkeliaran di bazar Ramadan ini, tahu? Entah berapalah barang niaga kita kena curi kita pun tak tahu. Itu belum masuk lagi kisah pekerja upahan kita. Ada juga yang “mengkelepet” duit jualan. Kita bukan butik atau gedung besar yang setiap jualan automatik direkodkan di dalam sistem sebaik kod bar diimbas. Jualan kita hanya dicatat pada buku rekod sahaja. Kadang-kadang pun terlupa nak catat. Nasiblah! Kalau dapat pekerja jujur, Alhamdulillah. Kalau pekerja kaki serong, niayalah jawabnya.
Waktu berniaga di tempat sebegitu memberikan saya kesempatan berkenalan dengan kawan-kawan yang sama-sama berniaga. Mereka ini ada yang berniaga kuih dan biskut raya, songkok, baju Melayu, aneka kasut dan capal serta bermacam-macam lagi. Ada antara mereka ini merupakan peniaga sepenuh masa. Setiap hari sepanjang tahun mereka berkelana seluruh negara menjual barangan mereka. Mereka masuk ke ceruk-ceruk kampung dan tanah rancangan menjual kain tudung, telekung dan sebagainya. Seronok melihat anak-anak mereka turut sama membantu. Berniaga adalah darah-daging mereka anak-beranak. Ketika kita bekerja di pejabat dan anak-anak kita tidak terlibat, mereka berkeliling seluruh ceruk rantau berniaga membawa bersama anak-anak kecil mereka di dalam kereta. Anak-anak ini membesar dengan cara hidup begitu. Percayalah cara hidup kita, rutin harian kita tidak pernah akan sama dengan mereka. Yang sama ialah kita masing-masing tetap kena berjuang menghidupkan api dapur rumah kita.
Di bulan ini ada juga peniaga yang mempunyai kerja tetap tetapi mengambil cuti sebulan untuk berniaga. Yang mengejutkan saya ialah ada juga yang datang dari negara jiran. Melalui kenalan dan saudara mereka di sini, mereka tumpang bekerja mencari rezeki.
“Tanah Semenanjung ini di gunungnya, di lautnya, daratannya, di hutannya dan di mana-mana di sini semuanya adalah rezeki,” kata Mas Samad, orang seberang yang membawa songkok rekaannya ke sini untuk diniagakan. Pendek kata masing-masing punya cerita, masing-masing punya perjuangan tersendiri. Biar anak-anak di rumah gembira apabila ayah dan ibu muncul di muka pintu membawa makanan dan pakaian baharu. Biar mak ayah hitam terbakar asalkan anak-anak seronok berhari-raya.
Masih saya ingat tempoh-tempoh itu saya ini kaki politik. Usia tengah sedap, otak tengah panas. Asal ada kesempatan bertemu kenalan baharu saya pun bergebang politik dan melancarkan hasutan. Saya mengeluh tentang sistem, berceramah tentang birokrasi! Apa yang saya perhatikan ada antara mereka tidak tahu pun isu politik semasa seperti hal-hal penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah semua itu. Bila kita cerita kebanyakan mereka hanya mendengar kosong tanpa berasa perlunya mereka masuk ke dalam kancah itu untuk terlibat.
“Entahlah, bang. Saya tak campur politik punya hal,” kata mereka.
Saya mendengus kesal. Mereka tidak nampakkah harga barang semakin naik dan nilai mata wang tak stabil? Orang politik sibuk bergaduh tak berhenti, kita di bawah terjejas! Tidak sensitifkah mereka ini tentang masa depan negara? Saya berkempen bahawa perlunya kita berjuang supaya negara ini tidak runtuh dengan kebobrokan orang di atas sana. Pot-pet pot-pet saya bercerabih.
“Entahlah bang. Yang saya pasti saya kena cari makan sendiri bang untuk belanja dapur dan sekolah anak-anak,” kata mereka.
Aduh! Saya tersudut. Betullah kata mereka itu. Bagi mereka itulah perjuangan sebenar seorang ketua keluarga. Seorang ayah mesti bekerja supaya kebajikan anak tidak terabai. Isteri juga membantu. Orang politik sampai bila-bila pun tak akan berhenti berbalah. Untuk apa mereka berhenti sebab berbalah itu memang kerja hakiki mereka. Politikus ini pun berniaga juga. Modal mereka ialah cerita-cerita ketakutan yang mereka tanam dalam kepala kita untuk meraih sokongan dan mendapat kedudukan. Bila dah dapat, kehidupan siapakah yang kemudian berubah menjadi semakin baik? Kehidupan kitakah yang semakin senang atau gaya hidup merekakah yang semakin mewah? Sedang dunia terus bergerak laju, peniaga-peniaga tak berpremis tetap ini mesti terus bekerja. Naik turun harga barang adalah peperangan di atas sana yakni kompromi antara kerajaan yang membuat dasar dengan tauke-tauke besar. Bagi peniaga jalanan seperti kawan-kawan kami, itu bukan peperangan mereka. Dalam keadaan politik macam mana sekalipun, peniaga-peniaga kecil ini sendirilah yang mesti tentukan nasib mereka sendiri. Sampai masa mengundi, ya…mereka mengundi menurut apa yang mereka percaya.
“Siapa pun naik kita tetap macam ni juga bang,” ulang mereka lagi. Macam itu sahaja mereka mematikan segala hujah sedap saya. Seperti benang yang basah, hujah panjang lebar saya (yang perasan bijak bak seorang pemikir hebat) serta-merta menjadi lembik dan tanyuk, terkulai tak mampu lagi untuk saya tegakkan.
Saya insaf. Saya yang waktu itu sekurang-kurangnya ada kerjaya tetap pun masih hidup menggelupur tetapi konon sibuk hendak bersyarah. Kehidupan makin lama makin senak. Kita tahu pendapatan peniaga-peniaga kecil ini lebih daripada kita yang makan gaji tetap tapi dari segi tenaga memang mereka kena kerja keras. Mereka berhadapan dengan risiko cuaca dan faktor ekonomi. Musim hujan mereka terjejas. Ekonomi lembap mereka terkesan. Jujur saya mengaku tahun-tahun awal kami menjalankan perniagaan di bulan Ramadan ketika itu, untung bersih kami berupaya menampung belanja dapur hingga sampai menjangkau setengah tahun. Namun, tahun berganti tahun ia mula menyusut. Marginnya makin mengecil. Hari ini peniaga-peniaga kecil berdepan dengan kos modal yang tinggi tetapi diberi amaran agar tidak menaikkan harga jualan mereka pula. Apa pilihan mereka? Tak dapat tidak kualiti buatan mereka menurun. Itulah kesan dan akibatnya.
Saya tak tahu hari ini bagaimana keadaan peniaga kecil ini kerana saya sudah tidak berniaga lagi semenjak anak-anak saya sudah meninggal dunia. Saya juga sudah berhenti menjadi guru. Hari ini saya dan isteri membuat kerja-kerja bebas. Isteri meniaga apa sahaja yang boleh dibuat duit, saya pun membantu di samping saya membuat kerja-kerja seperti menulis, melukis dan membuat persembahan pentas. Perjuangan kali ini hanya untuk kami berdua sahaja. Untuk sebuah perjuangan menyara anak-anak, ia sudah berakhir. Tetapi walaupun tinggal berdua, seperti peniaga-peniaga jalanan yang lain, berjuang tetap kena berjuang; untuk terus hidup di arus yang semakin deras ini. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/03/perjuangan-orang-kecil-di-bulan-puasa.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Tips Hilangkan Sakit Gerd Di Bulan Puasa

Tips Hilangkan Sakit Gerd Di Bulan Puasa

papar berkaitan - pada 24/3/2024 - jumlah : 186 hits
Bagaimana tips hilangkan sakit gerd Sakit gerd adalah sakit yang boleh menyebabkan seseorang itu mampu hilang fokus dan rasa yang pedih di dalam perut Ramai yang mencari tips hilangkan sakit gerd Bahkan ia menjadi mimpi ngeri bagi seorang p...
Belisimo Energy Booster Rahsia Kekuatan Semulajadi Di Bulan Puasa

Belisimo Energy Booster Rahsia Kekuatan Semulajadi Di Bulan Puasa

papar berkaitan - pada 18/3/2024 - jumlah : 213 hits
Belisimo Energy Booster Rahsia Kekuatan Semulajadi Di Bulan Puasa Dalam menyambut bulan yang mulia Belisimo dengan bangga mempersembahkan edisi Ramadan 2024 Belisimo makanan tambahan kesihatan dalam bentuk jeli yang mudah dan ringan kini ha...
Panduan Dan Cara Cepat Kurus Bulan Puasa

Panduan Dan Cara Cepat Kurus Bulan Puasa

papar berkaitan - pada 17/3/2024 - jumlah : 193 hits
Panduan dan Cara Cepat Kurus Bulan Puasa 22 Impian kebanyakan orang adalah untuk tampil kurus dan rampin Memasuki ramadan anda ada peluang untuk cuba cara cepat kurus bulan puasa Dengan kaedah yang betul ia akan dapat membantu anda untuk me...
Cara Hilangkan Gastrik Ketika Bulan Puasa

Cara Hilangkan Gastrik Ketika Bulan Puasa

papar berkaitan - pada 17/3/2024 - jumlah : 211 hits
Persoalan yang banyak timbul oleh mereka yang mempunyai sakit gastrik adalah bagaimana Cara Hilangkan Gastrik Ketika Bulan Puasa Sakit gastrik adalah merupakan sakit yang dirasakan di dalam usus Seseorang boleh merasa terbakar dan pedih apa...
Niat Puasa Di Bulan Ramadan Dalam Pelbagai Bahasa Di Dunia

Niat Puasa Di Bulan Ramadan Dalam Pelbagai Bahasa Di Dunia

papar berkaitan - pada 13/3/2024 - jumlah : 206 hits
Niat puasa untuk Tahun 2024 buat ingatan semua dalam pelbagai bahasa Ada bahasa jawa bahasa inggeris bahasa arab dan lain lainBahasa InggerisI m fasting tomorrow s intention to perform the fard in the month of Ramadan this year because Alla...
Rezeki Melimpah Ketika Bulan Puasa Peniaga Air Balang Raih Keuntungan Rm10k Sehari Berniaga Di Bazar Ramadan

Rezeki Melimpah Ketika Bulan Puasa Peniaga Air Balang Raih Keuntungan Rm10k Sehari Berniaga Di Bazar Ramadan

papar berkaitan - pada 18/3/2024 - jumlah : 201 hits
Bulan puasa adalah bulan di mana bazar Ramazan akan menerima ramai pengunjung yang mencari juadah untuk berbuka mereka Pelbagai makanan dan minuman yang menarik akan dijual di sana termasuklah air balang yang betvariasi Keuntungan RM10 000 ...
Stok Sambal Geprek Untuk Bulan Puasa

Stok Sambal Geprek Untuk Bulan Puasa

papar berkaitan - pada 13/3/2024 - jumlah : 175 hits
Buat sambal geprek bukan bila tiba bulan puasa Ramadan je Memang kena sentiasa kena ada stok dalam peti ais tu Tak ada sambal kurang sikit selera makan Ada sambal laju menyuap Tahu tahu nasi dah nak habis Tapi tak ada lah sampai bocor periu...
Tangkap Ja Dia Ni Bulan Puasa Ni

Tangkap Ja Dia Ni Bulan Puasa Ni

papar berkaitan - pada 19/3/2024 - jumlah : 117 hits
LAIN KALI NAK BERNIAGA DI BANDARAYA MINTA LA LESEN
Makan Steamboat Dapat Henna Free

15 Kafe Di Johor Bahru Instagrammble Muslim Friendly

Suspek Buruan Kes Samun Toreh Dicekup

A Botched Shot

Antara Projek Pungguk Rindu Bulan Tilapia M Sia Pro Hamas

Sarawak And Malaysia Can T Afford Escalating O G Disputes

Isu Calon Perdana Menteri Kembali Menjadi Tegang Di Kalangan Pemimpin Pn

Worldcoin Dan Ai


echo '';
Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Lara Kasih Slot Samarinda TV3

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 2 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 1 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 1 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Dhia Kasyrani Slot Akasia TV3


Resepi Spaghetti Seafood Marinara

Drama Skuad X Lakonan Imran Aqil Yusof Hashim

Enjoy The Rhythm Of Life A Nature Inspired Residence In Hefei China

Hopes Of The Chinese For Pn

Mara Beli Hartanah Terlebih Nilai Di Uk Australia Meskipun Ditolak Mof

Ikut Sop Tampal Lubang Jalan Dalam Tempoh 24 Jam Kkr Seru Syarikat Konsesi