Percepat Infrastruktur Tanam Padi 5 Musim 2 Tahun Kata Anwar
Anwar Ibrahim (lima dari kiri) meninjau petak sawah padi baru dituai selepas pelancaran Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di Kampung Pida 4, Ayer Hitam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengarahkan infrastruktur menyokong program tanaman padi lima musim dalam dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Fasa 1 dilaksanakan segera.
Beliau dipetik Bernama berkata, kerajaan Kedah serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu bekerjasama menyokong inisiatif berterusan kerajaan bagi meningkatkan hasil padi negara.
Antara usaha perlu dijayakan kerajaan negeri ialah mempercepat proses pengambilan tanah bagi menaik taraf infrastruktur sistem pengairan.
“Kerajaan negeri kena percepat pengambilan tanah…semua ini mengambil masa. Kita tidak boleh tolak ansur dah…nanti semua orang ‘lemas’ (petani tidak puas hati),” katanya pada pelancaran Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kampung Pida 4, Ayer Hitam dekat Jerlun.
Anwar turut meminta semua agensi terbabit menyediakan laporan kemajuan projek dari semasa ke semasa kepada kementerian bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual.
Beliau tidak mahu pelaksanaan program itu dianggap remeh kerana peruntukan RM1 bilion untuk sebuah kawasan bukan jumlah kecil.
Katanya, penambahbaikan sistem pengairan ke kawasan sawah perlu dipercepatkan kerana pesawah terpaksa menunggu hingga 40 hari untuk mendapatkan bekalan air.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Okt lalu mengumumkan pelaksanaan projek itu di kawasan Muda Fasa 1 membabitkan peruntukan hampir RM1 bilion dengan keluasan sekitar 11,000 hektar.
Projek itu dijangka dapat meningkatkan hasil padi sebanyak 15% serta melonjakkan pendapatan 6,100 pesawah sebanyak 43%. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/02/percepat-infrastruktur-tanam-padi-5.html