Perangai Mahathir Terbukti Berbeza Dengan Dasar Pandang Ke Timur Yang Diperkenalkannya
Semakin dekat tibanya bulan Mei, Tun Mahathir Mohamad kian menampakkan petunjuk yang jelas ke arah mahu memungkiri janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.
Jika sebelum ini beliau hanya selalu berdolak-dalik berkenaan bila mahu melakukan peralihan kuasa, kini beliau membayangkan akan membiarkan Parlimen membuat penentuannya pula.
Perkembangan ini dengan sendirinya memperlihatkan Tun Mahathir tidak mahu isu peralihan kuasa itu diputuskan oleh Majlis Presiden, walaupun itulah yang sepatutnya.
Soal peralihan kuasa sebenarnya adalah isu dalaman PH yang tidak perlu sama sekali melibatkan Parlimen.
Ini kerana banyak peralihan kuasa sebelum ini, misalnya daripada Tun Abdullah Badawi kepada Najib Razak pada 2009, daripada Tun Mahathir kepada Tun Abdullah Badawi pada 2003 dan daripada Tun Hussein Onn kepada Tun Mahathir pada 1981, tidak pun melibatkan Parlimen, sebaliknya hanya melalui serah kuasa yang diumumkan tarikhnya saja.
Jadi, mengapa pula sekarang Tun Mahathir mahu melibatkan Parlimen sebelum mahu melakukan peralihan kuasa kepada Anwar?
Apakah majoriti sedia ada yang dimiliki oleh PH di Parlimen sehingga berjaya membentuk kerajaan tidak cukup lagi sebagai bukti?
Yang lebih penting daripada itu, soal peralihan kuasa ini adalah suatu janji yang bukan saja sudah terikat dalam PH, tetapi juga janji yang telah diberitahu kepada rakyat sejak kempen PRU14 lagi.
Kenapa tiba-tiba sekarang mahu memungkirinya?
Tidakkah Tun Mahathir sedar bahawa memungkiri janji adalah perbuatan terkutuk dalam Islam yang boleh menyulitkan laluan seseorang menuju ke syurga?
Apakah Tun Mahathir mahu kehidupan abadinya nanti berada di tempat lain selain syurga?
Tidak saja dalam agama, bahkan dalam kehidupan masyarakat dunia mana sekali pun, berpegang kepada janji adalah disiplin kehidupan yang sangat penting untuk dipegang serta diamalkan.
Dalam masyarakat Jepun dan Korea contohnya, mereka sangat berpegang kepada janji dan kerana disiplin itulah yang memungkinkan kedua-dua negara itu mencapai kemajuan serta dihormati seperti hari ini.
Kenapakah, dalam memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur dan mengajak rakyat mengkagumi kejayaan orang Jepun serta Korea, Tun Mahathir sendiri nampaknya cuba mengamalkan sikap berbeza dalam soal menepati janji peralihan kuasa?
Apakah ketamakan kepada kuasa membuatkannya lupa tentang disiplin berpegang kepada janji itu?
Tetapi, kiranya dengan cubaan mahu melibatkan Parlimen ini merupakan petunjuk Tun Mahathir enggan menyerahkan kuasa kepada Anwar, beliau seharusnya dapat berterus-terang saja mengenai hasratnya itu.
Denga berterus-terang itu, maka PH dapat mengambil langkah sewajarnya atas perkara itu.
Kenapa Tun Mahathir tidak berani berterus-terang?
Kalau selama ini beliau begitu berani mengecam Amerika Syarikat dan dunia Barat, mengapa pula mesti takut untuk berterus-terang mahu mungkir janji dan ingin memegang jawatan Perdana Menteri sampai ke mati? (ShahbudinHusin 10/02/2020)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/02/perangai-mahathir-terbukti-berbeza.html