Pentadbiran Kelantan Islamik Utama Kebajikan Rakyat
harakahdaily.com
October 20, 2022
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Rata-rata rakyat Kelantan yang ditemui berpuas hati prestasi kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama, kini melewati 32 tahun mentadbir negeri ini.
Kata mereka penekanan arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengundi PAS mendapat pahala tepat memandangkan tiada elemen yang bercanggah dengan agama dilaksanakan kerajaan negeri.
Ruzli Hanafi, 58, dari Kampung Padang Jeman, Salor berkata, pentadbiran
kerajaan negeri dilaksanakan secara Islamik di samping mengutamakan kebajikan rakyat.
Katanya, perkara itu diberi penekanan sejak era almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz sehingga sekarang di bawah Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
“Peringatan Tok Guru mengundi PAS dapat pahala menjadi kenyataan apabila perkara-perkara yang bercanggah dengan agama tidak dilaksanakan kerajaan negeri.
“Contoh lesen premis judi tidak dibenarkan, manakala kedai menjual arak dikawal selaras dengan jumlah penduduk bukan Islam. Ini banyak melegakan rakyat,” katanya di sini.
Kerajaan negeri mengadakan sambutan ulang tahun ke-32 di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI) bermula semalam sehingga Sabtu ini di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.
Aktiviti menarik diadakan termasuk karnival jualan dan pameran, kuliah Maulidur Rasul dan solat hajat serentak di 14 kawasan parlimen malam ini.
Selain itu kuliah khas Pagi Jumaat, festival wanita Kelantan, pentas anak muda dan himpunan Penyatuan Ummah malam esok.
Ruzli juga berkata, paling membanggakan rakyat Kelantan premis judi dan tempat-tempat maksiat tidak ada di negeri terbabit.
Rosnee Mat ZelanRosnee Mat Zelan, 59, dari Tanah Merah pula berkata, kerajaan PAS Kelantan sejak era almarhum Tok Guru memberi keutamaan kepada pendidikan agama Islam kepada rakyat.
“Bagi saya dari segi kemajuan Kelantan sudah banyak berubah sekarang. Rakyat tidak ada masalah untuk mencari rezeki cuma bergantung kepada malas atau sebaliknya.
“Begitu juga kalau hendak cari ilmu agama ada di mana-mana, di masjid, surau, madrasah atau pondok yang banyak terdapat di Kelantan,” ujarnya.
Wan Marina Wan Yunus, 52 dari Pasir Tumboh berkata, situasi di Kelantan lebih tenang apabila kerajaan menjadikan Islam teras dalam pentadbiran kerajaan.
– HARAKAHDAILY 20/10/2022
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/10/pentadbiran-kelantan-islamik-utama.html