Pengurusan Kes Rayuan Pendakwaan Terhadap Siti Kasim 2 November
ROSALWANI CHE SOH @ YUSOFF    Siti Kasim KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 2 November  depan untuk pengurusan kes berhubung rayuan pendakwaan terhadap  keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Siti Kasim  atas pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Agama Islam  Wilayah Persekutuan (Jawi) pada satu acara di sebuah hotel pada 2016.
   Perkara  itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Abdul Razak  selaku perayu kepada media di luar mahkamah, selepas pengurusan kes itu  dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd  Saad di sini, hari ini.
 “Pihak perayu hadir ke mahkamah hari ini, bagaimanapun pihak responden (Siti Kasim) tidak hadir.
   “Oleh  yang demikian, mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes yang baharu  pada 2 November ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi  sama untuk kedua-dua pihak hadir semula,” katanya kepada pemberita.
 Pada  21 Ogos lalu, Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan peguam  dan aktivis Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, 57,  daripada pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Agama Islam  Wilayah Persekutuan (Jawi) pada satu acara di sebuah hotel pada 2016.
 Majistret,  Tawfiq Affandy Chin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak  pendakwaan gagal membuktikan unsur-unsur pertuduhan di bawah Seksyen 186  Kanun Keseksaan di akhir kes pendakwaan terhadap Siti Kassim.
 Mengikut  pertuduhan, Siti Kasim didakwa dengan sengaja menghalang pegawai Jawi,  Siti Nor Jihan Saleh @ Md Ghazali, 40, dalam melaksanakan tugasnya di  sebuah hotel, di sini, pada 10.30 malam, 3 April 2016.
 Kesalahan  itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman  penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau  kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, acara tersebut merupakan majlis makan malam tertutup yang melibatkan komuniti transgender di sebuah hotel di sini.
 Seramai  enam saksi pendakwaan termasuk mangsa iaitu pegawai JAWI dipanggil  memberi keterangan semasa perbicaraan yang bermula pada 2017.
 ARTIKEL BERKAITAN: Siti Kasim lepas, bebas tuduhan halang tugas pegawai Jawi
 Halang tugas Jawi, pendakwaan rayu terhadap pembebasan Siti Kasim
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/pengurusan-kes-rayuan-pendakwaan.html