Pengunjung Cemas Terperangkap Antara Dua Tanah Runtuh Selama Dua Jam Di Bukit Fraser
KUANTAN - Percutian kali pertama Mohd Ariff Amri di Bukit Fraser, Raub, menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan apabila terkandas hampir dua jam dalam kenderaan akibat tanah runtuh di Jalan Bukit Fraser-Raub kira-kira 1.30 tengah hari tadi.
Ariff, 37, yang bekerja sendiri berkata, beliau bersama empat keluarga adik-beradiknya yang menaiki empat kenderaan sedang menuruni Bukit Fraser, sebelum bertembung beberapa kereta lain yang terperangkap akibat tanah runtuh.
“Ini adalah percutian paling menakutkan buat saya. Melihat tanah runtuh di depan mata dan terperangkap pula di tengah-tengah jalan berbukit. Nasib baik talian telefon masih ada untuk saya meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau menganggarkan lebih 20 kereta dan tiga motosikal terperangkap di laluan itu dan hasil perbincangan, mereka sepakat naik semula ke Bukit Fraser dan turun melalui arah Kuala Kubu Bharu, Selangor.
“Bagaimanapun, semasa menaiki jalan ke Bukit Fraser, berlaku satu lagi runtuhan menyebabkan kereta saya dan sembilan lagi terperangkap. Walaupun terkejut, saya bersyukur kerana runtuhan tidak berlaku semasa saya sedang melalui jalan itu atau akibatnya mungkin lebih teruk lagi.
“Kami cuba memeriksa laluan jika masih ada ruang untuk dilalui, namun tiada. Saya menghubungi banyak pihak untuk meminta pertolongan, termasuk polis dan Roadcare (M) Sdn Bhd untuk memaklumkan kami terperangkap.”
Katanya, pihak terlibat mendapatkan maklumat terperinci mengenai jumlah mereka yang terperangkap serta cuba menenangkan beliau sebelum memaklumkan bantuan akan mengambil masa, ekoran tanah runtuh di bahagian bawah Bukit Fraser yang menyebabkan laluan terputus.
Sekurang-kurangnya 40 mangsa terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing dan berjalan kaki selama 15 minit ke seberang kawasan tanah runtuh untuk kembali semula ke Bukit Fraser. (Gambar Bernama)
Beliau berkata, terdapat sekurang-kurangnya 32 orang dewasa dan lapan kanak-kanak daripada semua sembilan kenderaan yang terperangkap itu, dan beliau turut menggunakan media sosialnya untuk memaklumkan kejadian tersebut.
“Alhamdulillah, selepas hampir dua jam, saya dihubungi pihak Roadcare dan polis memaklumkan bantuan dalam perjalanan. Mereka beritahu polis dari Bukit Fraser sedang menghala ke arah kami.
“Bagaimanapun, kami terpaksa berjalan kaki selama 15 minit ke kenderaan yang menunggu di seberang kawasan tanah runtuh untuk kembali semula ke Bukit Fraser. Itu satu-satunya cara dan kami perlu meninggalkan kereta masing-masing.”
Ariff yang berada di destinasi pelancongan itu sejak Jumaat lalu berkata, beliau turut dihubungi Tourism Pahang yang prihatin dengan nasib mangsa terkandas.
Beliau berharap Tourism Pahang dapat membantu mereka mendapatkan tempat penginapan untuk malam ini kerana tidak membuat tempahan awal dan bimbang jika semua hotel di Bukit Fraser sudah penuh. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/01/pengunjung-cemas-terperangkap-antara.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)