Penguncupan Dagangan Seluruh Dunia Malaysia Kekal Kukuh
Penguncupan jumlah perdagangan atau eksport negara tahun ini yang berlaku ekoran permintaan rendah di pasaran global merupakan suatu perkara tidak dapat dielakkan.
Ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai menjelaskan penurunan tersebut merupakan perkara yang agak drastik dan berlaku secara global berikutan kenaikan harga bahan api dan perang berterusan antara Rusia – Ukraine.
Bagaimanapun jelas beliau, perkara berkenaan tidak wajar dikhawatirkan kerana Malaysia masih di landasan yang betul untuk mencapai kadar pertumbuhan sebanyak 4% pada tahun ini.
“Permintaan secara menyeluruh, terutamanya eksport mikro semi konduktor menyusut, barangan itu menyusut di pasaran Eropah.
“Ini tidak boleh buat apa kerana kita eksport semi konduktor yang nilai tambah rendah (low value added), produk itu kita import dan pasang di sini,” katanya.
Barjoyai berkata, perkara yang perlu ditonjolkan pada waktu ini adalah dari segi sektor perkhidmatan yang mewakili 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Jelasnya, sektor perkhidmatan pelancongan misalnya yang dahulu turun kepada 10 juta pelancong setahun kini telah kembali meningkat kepada 28 juta berbanding ketika tahun 2019.
Cuma jelas beliau, apa yang merisaukan ialah bagaimana keadaan pada tahun hadapan apabila dibimbangi negara sukar mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 5%.
Dalam hal ini, Barjoyai menyatakan kadar pertumbuhan negara tidak ditentukan oleh pengeluaran produk industri sebaliknya perbelanjaan dan penggunaan.
Jelas beliau, kadar pertumbuhan diukur dari segi sejauh mana rakyat membuat perbelanjaan tinggi.
“Rakyat masih berbelanja dan ini memberikan kestabilan…akan capai KDNK (yang baik),” katanya.
Selain itu kata beliau, ekonomi akan dipacu melalui perbelanjaan yang dilakukan oleh pihak kerajaan seperti melalui pemberian subsidi kepada rakyat.
Terdahulu laporan menyebut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi eksport Malaysia mencatatkan penguncupan pada September 2023 selaras dengan penurunan kedua-dua eksport semula dan eksport domestik.
Eksport semula berjumlah RM27.8 bilion menyusut 17.9 peratus berbanding September 2022 manakala eksport domestik bernilai RM96.7 bilion, menyumbang 77.7 peratus kepada jumlah eksport berkurang 12.4 peratus
Jumlah perdagangan, eksport dan import Malaysia pada September 2023 kekal menguncup untuk bulan ketujuh berturut-turut sejak Mac lalu berikutan permintaan rendah global dan harga komoditi yang rendah.
Jumlah perdagangan berkurang 12.6 peratus kepada RM224.4 bilion dengaan eksport menyusut 13.7 peratus kepada RM124.5 bilion dan import menurun 11.1 peratus kepada RM100.0 bilion tahun ke tahun.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dipetik sebagai berkata di sebalik cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global, kerajaan yakin dapat mencapai unjuran pertumbuhan sebanyak 4 hingga 5 peratus untuk tahun 2023 disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan pelaksanaan langkah Belanjawan 2023.
The post Penguncupan dagangan seluruh dunia, Malaysia kekal kukuh first appeared on Suara Pakatan Daily.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/36968?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=penguncupan-dagangan-seluruh-dunia-malaysia-kekal-kukuh