Pendidik Pelajar Perlu Berani Teroka Ruang Digital Titah Raja Muda Perlis
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah teknologi bukan sekadar alat tetapi wahana membentuk pemikiran progresif dan kreatif.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika melawat ke satu pameran di PRiPEx 2025, di Dewan 2020 Kangar.PETALING JAYA: Pendidik dan pelajar perlu berani meneroka ruang digital untuk menzahirkan idea serta imaginasi, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Titahnya, mereka perlu berinisiatif ke arah menyelesaikan masalah sebenar masyarakat.
“Dalam era yang kian berteraskan teknologi, pendidikan tidak lagi terbatas kepada helaian buku teks semata-mata.
“Jadikan teknologi bukan sekadar alat, tetapi wahana yang membentuk pemikiran lebih progresif, kreatif, serta berakhlak tinggi,” titahnya ketika berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Prints and Pixels Expo Perlis (PRiPEx) 2025, di Dewan 2020 Kangar.
PRiPEx yang berlangsung dari 3 hingga 6 Nov merupakan platform pameran interaktif yang menghimpunkan hasil karya bercetak dan digital daripada pelbagai institusi pendidikan.
Program berkenaan bukan sahaja berperanan memperkasa bakat tempatan dalam bidang seni reka dan teknologi digital, malah membuka ruang kolaborasi antara institusi pendidikan, industri, serta masyarakat umum dalam memperkukuh ekosistem kreatif tempatan.
“Usaha murni seperti ini wajar diteruskan dan diperluas agar setiap umat Perlis mampu menjadi peneraju inovasi dan pencetus perubahan,” titahnya.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis serta menyaksikan upacara penyerahan surat niat oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Rose Aza Che Arifin kepada wakil Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), simbolik kerjasama strategik memperkukuh pendidikan digital dan inovasi kreatif di negeri itu. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/11/pendidik-pelajar-perlu-berani-teroka.html