1. Dengan bantuan seorang pengunjung lain, dapatlah kami berfoto sekeluarga sebelum memulakan pendakian. Kami 13 orang semuanya. Ada lagi empat sekeluarga yang masih dalam perjalanan ke Terengganu dan dua orang anak saudara yang berada di asrama tak dapat turut serta. Paling mengejutkan saya, emak mentua pun bersungguh nak ikut mendaki. Manakala adik ipar seorang lagi pun turut membawa bersama dua orang anak kecil (yang belum sesuai jalan sendiri)
2. Encik suami (memakai topi) bantu dukung anak saudara, manakala adik ipar mendukung seorang lagi anak kecilnya. Anak-anak lain yang sudah boleh berjalan sendiri ada bersama seorang lagi adik ipar di kumpulan hadapan. Saya pula pada kebanyakkan masa berada di posisi tengah antara kumpulan depan dan belakang. Mudahlah saya nak memotret momen pendakian kami sekeluarga
3. Selepas 10 minit mendaki, kami sampai di Check Point 2. Ada pondok untuk kami berkumpul kembali dan melepas lelah seketika. Walaupun cuma 10 minit, tapi terasa lelahnya bila mendaki
4. Monyet dengan ekor panjang seakan warna putih ni menghampiri kumpulan kami apabila terdengar bunyi plastik (saya keluarkan sesuatu dari dalam beg). Segera saya sorokkan risau dirampas oleh monyet. Sebab tu di mana-mana pun kita jangan beri makan kepada monyet liar. Nanti monyet tu terbiasa pula nak dapatkan makanan dari manusia sampai membahayakan kita
5. Kami kembali menyambung perjalanan. Perlu berpaut pada akar dan dahan pokok, juga tali yang disediakan untuk memudahkan pendakian. Bertudung hitam itulah mak mentua saya. Gigih memanjat tanpa bantuan
6. Masya Allah indah sungguh alam ciptaan-Nya 😍
7. Panorama di puncak Bukit Keluang yang mempesona. Terus hilang rasa penat saya, berganti dengan rasa teruja walaupun masa ni cuaca panas terik. Lautan biru kehijauan dan pemandangan pulau-pulau kecil cukup memukau pandangan. Dari sini juga kita boleh nampak pantai indah di bawah sana. Tapi hati-hati ya, jangan berdiri terlalu hampir dengan tebing. Dah ada kes terjatuh sewaktu berfoto di Bukit Keluang ni
8. Foto saya bersama encik suami, anak saudara dan mak mentua yang berusia 71 tahun
9. Tempat tadi sempit dan panas terik. Kami bergerak ke hadapan, ada ruang yang agak redup dan ada sebuah pondok yang agak luas binaannya di situ. Kami merakam memori di sini. Saya tukang potret jadinya tiada dalam foto di atas. Papan tanda ‘Tahniah anda telah berjaya mendaki ke puncak Bukit Keluang’ tu sebenarnya dah jatuh dari tempat asalnya dan diletakkan di tepi tong sampah. Kami ambil dan pegang untuk berfoto
10. Lagi panorama indah yang sempat saya rakam dari puncak bukit. Orang lain dah jalan ke depan, saya beginilah suka berhenti merakam foto itu ini
Bunga Jejarum / Jungle Flame / Ixora Javanica11. Seperti selalunya bila masuk hutan, saya suka mencari flora yang menarik sebagai subjek fotografi. Tapi nampaknya di sini agak sukar saya temui, kecuali ada sedikit bunga-bungaan di puncak. Bunga di atas ditemui oleh seorang anak saudara yang berbaik hati memerhatikan bunga apabila Mak Longnya kata mahu ambil foto bunga tapi tak jumpa. Hehe…
12. Tiba di satu laluan yang ada batang pokok tumbang. Juga cahaya mentari yang menembusi hingga ke lantai hutan. Memang cantik dapat merakam kenangan di sini
13. Bermulanya laluan menurun yang boleh saya katakan agak sukar
14. Menurut saya, ini laluan yang paling sukar kerana kurangnya akar dan batang pokok untuk berpaut. Beberapa tali disediakan, tapi talinya dah jadi licin dipegang ramai orang. Beberapa kali juga saya lihat orang tergelincir sewaktu menuruni laluan ini. Saya lalu di bahagian tepi je sebab nak berpaut pada batang pokok
15. Bila dah nampak tangga begini, itu bermaksud kita dah menghampiri kaki bukit. Tangga ni boleh tahan jauh juga tau, curam dan kecil anak tangganya
16. Alhamdulillah selamat sampai di bawah. Beginilah rupa trailhead pertama, yang saya sebut di awal entri ini. Berhadapan dengan tangga ni ada penjual air kelapa. Apa lagi, terus kami serbu! Nikmat sungguh dapat minum air kelapa sejuk selepas penat mendaki
Data dari Galaxy Watch saya. Dapatlah workout calories - 980 kcal. Saya tak pasti berapa ketinggian sebenar Bukit Keluang, kalau ikut data pada jam saya puncak tertinggi - 154 meter|
Kempen Promosi dan Iklan Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua. Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini |