Pemilihan Umno Shahaniza Tawar Diri Tanding Ahli Majlis Kerja Tertinggi
KUANTAN - Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti itu bermula bulan depan.
Beliau turut mengesahkan akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Maran.
Menurutnya, keputusan bertanding MT UMNO dibuat bagi memberi nafas baharu kepada parti tersebut.
“Keputusan ini dibuat selepas saya melihat UMNO pada ketika ini sedang berdepan krisis kepercayaan bukan sahaja dalam kalangan rakyat malah ahli parti ini sendiri.
“Jadi, adalah penting untuk UMNO mempunyai barisan kepimpinan baharu yang boleh memberikan wajah dan nafas baharu serta gerak kerja berbeza berbanding sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini.
UMNO akan mengadakan pemilihan parti bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac depan di semua peringkat bagi mematuhi pindaan perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pemilihan itu akan melibatkan sebanyak 22,000 cawangan serta 191 bahagian UMNO di seluruh negara termasuk bahagian yang digantung.
Setakat ini dua bahagian yang digantung, iaitu UMNO Bahagian Arau di Perlis pada awal tahun ini dan UMNO Bahagian Tanah Merah, Kelantan pada 2020.
Bagi memastikan pemilihan tidak terganggu di kedua-dua bahagian tersebut, UMNO telah melantik pentadbir bahagian yang akan mengendalikannya.
Untuk rekod, Wanita UMNO dari negeri ini yang pernah bertanding dan menang jawatan MT parti itu adalah bekas menteri dan bekas Ahli Parlimen Paya Besar, Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman pada pemilihan sesi 2000 hingga 2003.
Mengulas lanjut, Shahaniza berkata, berdasarkan pengalaman politiknya bermula dari Puteri UMNO sehingga menjawat jawatan Ketua UMNO Bahagian Maran, beliau yakin mampu memberikan nafas dan idea-idea baharu kepada parti tersebut jika menang jawatan berkenaan.
Beliau berkata, dalam karier politiknya, pemimpin wanita yang menjadi idolanya sehingga kini Allahyarhamah Tan Sri Aishah Ghani.
“Kata-kata Allahyarhamah yang menjadi inspirasi dan pegangan saya sehingga kini adalah ‘Untuk wanita bangkit dalam politik, dia mesti diterima oleh lelaki’,” katanya.
Memegang kata-kata itu Shahaniza berkata, beliau membina karier politiknya bersama UMNO bermula pada usia 18 tahun sehinggalah memperoleh pencapaian yang tidak disangka-sangka iaitu menjadi wanita pertama menang jawatan Ketua UMNO Bahagian di Maran. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2023/01/pemilihan-umno-shahaniza-tawar-diri.html