Pelajar Perempuan 17 Tahun Ditangkap Khalwat Bersama Dua Lelaki
Reza A Hamid
MELAKA – Pelajar perempuan Tingkatan Lima bersama teman sekolahnya dan seorang lelaki adalah antara tiga pasangan yang dicekup penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam serbuan di sebuah hotel bajet, di sini, awal pagi tadi.
Malah, ketiga-tiga mereka juga sanggup menempuhi hujan dengan berkonvoi motosikal sejauh lebih 100 kilometer selama hampir dua jam dari Seremban ke Kuala Pilah sebelum tiba di Melaka hanya untuk bermalam di hotel bajet berkenaan.
Pasangan berusia 17 tahun bersama rakan lelaki berusia 19 tahun itu dicekup dalam operasi khas sempena cuti umum sambutan tahun baharu di hotel bajet di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal pada jam 1.10 pagi tadi.
Ketika membuka pintu bilik, pelajar perempuan terbabit yang hanya mengenakan baju kelawar mendakwa lelaki berusia 17 tahun adalah rakan sekolahnya di Seremban manakala seorang lagi lelaki kenalan rakan lelakinya.
Dia kemudian memberi alasan terpaksa menginap di hotel berkenaan selepas cuaca hujan menyebabkan mereka tiada tempat berteduh dan terpaksa berkongsi bilik kerana tidak mempunyai wang untuk menempah bilik berasingan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah berkata, dalam operasi bermula jam 12.15 tengah malam sehingga 3 pagi itu, kesemua empat lelaki dan tiga perempuan yang ditahan berusia antara 17 dan 25 tahun.
“Operasi membabitkan seramai 18 pegawai penguatkuasa agama
JAIM telah melakukan serbuan di beberapa buah hotel bajet.
“Pemeriksaan di premis-premis tersebut telah membawa kepada penahanan tiga pasangan termasuk dua remaja berusia 17 tahun dan lelaki berusia 19 tahun selepas mereka gagal menunjukkan dokumen sah sebagai suami isteri,” katanya pada sidang media selepas operasi pagi tadi.
Operasi turut disertai Pengarah JAIM, Datuk Che Shukri Che Mat
Mengulas lanjut Akmal berkata, turut ditahan dalam serbuan itu adalah seorang wanita warga Indonesia berusia 25 tahun bersama pasangannya selain satu lagi pasangan berusia 23 tahun yang mendakwa sudah bertunang.
“Kesemua mereka yang ditahan kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk disiasat mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman atau berkurung (khalwat) sebelum dibebaskan dengan jaminan,” katanya. – MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/pelajar-perempuan-17-tahun-ditangkap.html