Pekerja Kilang Bertempiaran Lari Polis Siasat Pemilik Fb Edward Likes
 Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA 

 TANGKAP layar akaun Facebook Edward Likes yang menyebarkan satu klip  video mendakwa sekumpulan pekerja warga asing melarikan diri bagi  mengelak ditahan pihak berkuasa membabitkan kes Covid-19. MELAKA:  Polis menyiasat pemilik akaun Facebook, Edward Likes yang menyebarkan  satu klip video mendakwa sekumpulan pekerja warga asing di sebuah kilang  di Jasin, dekat sini melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak  berkuasa membabitkan kes Covid-19. 
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah,  Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, video tular berdurasi 28  saat itu sebaliknya adalah rakaman lama kejadian kebocoran gas ammonia,  dua tahun lalu. 
Katanya, pemilik akaun tersebut kini  sedang disiasat kerana dipercayai menimbulkan keresahan atau kegentaran  dalam kalangan masyarakat. 
“Siasatan awal polis ke kilang  berkenaan mendapati tiada sebarang kejadian seperti mana yang ditularkan  di Facebook oleh pemilik akaun Edward Likes. 
“Pengurus kilang tersebut mengesahkan  video yang tular adalah kejadian kebocoran gas ammonia yang berlaku  pada 3 September 2019,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan,  video tersebut sebenarnya memaparkan sekumpulan warga asing sedang  berlari bagi menyelamatkan diri kerana berlaku kebocoran gas ammonia di  kilang terbabit. 
“Klip itu bukanlah seperti yang  didakwa oleh pemilik akaun terbabit kononnya sekumpulan pekerja asing  cuba melarikan diri daripada ditahan polis berkaitan pandemik Covid-19. 
“Polis menasihati orang ramai supaya  tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman atau kenyataan  yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai,” ujarnya.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
Ujarnya, jika sabit kesalahan pemilik  akaun terbabit boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun, atau dengan  denda atau dengan kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE  
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/pekerja-kilang-bertempiaran-lari-polis.html