Pas Yakin Pertikaian 15 Kerusi Umno Bersatu Dapat Diselesai
PETALING JAYA: Pertikaian berterusan soal pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum (PRU) di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika ini hanya membabitkan 15 kerusi Parlimen, sementara yang lain sudah dirundingkan dengan baik.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata sebahagian besar kerusi itu adalah yang sebelum ini dimenangi Barisan Nasional (BN) dalam PRU lalu, namun Ahli Parlimennya melompat menyertai BERSATU.
Setakat ini, katanya, kira-kira 60 peratus agihan kerusi berjaya diselesaikan menerusi rundingan bersama di antara BN dan Perikatan Nasional (PN) termasuk PAS.
“Dalam PN tiada masalah, cuma kalau ada yang dalam BN berkaitan kerusi-kerusi lompat, itu yang dipertikaikan. Takkan kerana 15 kerusi ini sahaja kita mahu korbankan 160 kerusi yang lain.
“Saya rasa akan ada jalan keluar. Kalau nak berebut juga, maka bertanding tiga penjuru di 15 kerusi itu sudahlah,” katanya ditemui media ketika mengadakan kunjungan ke Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Dr Syed Hussian Syed Junid; Pengarah Eksekutif Kumpulan MPB, Rafiq Razali dan pengurusan kanan MPB.
Antara 15 kerusi itu ialah Parlimen Jeli, Tanah Merah, Larut, Mersing, Hulu Terengganu, Masjid Tanah, Beluran, Bagan Serai, Tasek Gelugor dan Bukit Gantang yang turut diidamkan BERSATU.
Muhammad Sanusi berkata, bagi pihak PAS, pertikaian kerusi membabitkan parti itu dengan UMNO atau BN tidak berlaku dan parti itu kini bersiap sedia untuk turun berkempen pada PRU akan datang.
“Di pihak PAS berjalan dengan baik. Kita mesyuarat menyusun rancangan, semua berjalan baik. Pembahagian kerusi dengan parti yang berpakat untuk PRU ke-15 sedang berjalan dan kita melepasi 60 peratus. Tinggal lagi sikit membabitkan rakan-rakan kita dengan rakan-rakan kita yang lain,” katanya.
The post PAS yakin pertikaian 15 kerusi UMNO, BERSATU dapat diselesai appeared first on MYKMU.NET.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2021/02/23/pas-yakin-pertikaian-15-kerusi-umno-bersatu-dapat-diselesai/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=pas-yakin-pertikaian-15-kerusi-umno-bersatu-dapat-diselesai