Pas Jangan Sibuk Sibuk Di Prn Melaka
Sama seperti di Sabah, Pas juga tidak pernah menang sebarang kerusi di Melaka.
Lantaran tiada kerusi dimenangi di Sabah itulah menyebabkan Pas sedia beralah dan tidak menyertai PRN negeri itu yang diadakan pada tahun lalu.
Ia adalah sebagai jalan tengah berikutan UMNO dan Bersatu saling berebut kerusi yang sama untuk ditandingi.
Pendirian tidak bertanding itu bertujuan memudahkan UMNO dan Bersatu mencari jalan penyelesaian berhubung pembahagian kerusi.
Dengan tidak bertanding itu dan sebagai sebahagian daripada kerajaan PN, Pas ketika itu menyokong calon kedua-dua parti yang bertelagah iaitu UMNO dan Bersatu dalam PRN Sabah.
Menjelang PRN Melaka 20 November depan, dilema Pas boleh dikata hampir sama dengan di Sabah.
Di Melaka, UMNO memenangi 13 kerusi pada PRU14 lalu daripada 18 kerusi yang ditandinginya.
Bersatu memenangi dua kerusi daripada enam yang ditandinginya.
Pas tidak memenangi sebarang kerusi, meskipun mereka bertanding di 24 kerusi.
Masalah di Melaka adalah sama seperti di Sabah di mana UMNO dan Bersatu berebut kerusi atau kawasan yang sama.
UMNO bukan saja mahu mengekalkan kemenangan di 13 kerusi yang telah dimenanginya pada PRU14 itu, bahkan juga mahu kekal bertanding di 18 kerusi sebagaimana pilihanraya sebelum ini.
Berikutan Bersatu mahu menambah kerusi yang ingin ditandinginya, manakala Pas pula merasakan inilah peluangnya untuk menerobos menang kerusi buat kali pertama di Melaka melalui kerjasama tiga parti Melayu itu, maka itulah mereka mengharapkan ada kesepakatan dengan UMNO sambil berharap parti tersebut sedia melepaskan sebahagian kerusinya.
Sebagaimana Pas tidak mungkin melepaskan mana-mana kerusinya di Kelantan dan Terengganu kepada UMNO atau Bersatu, UMNO juga secara normalnya adalah begitu dan tidak mungkin mereka sedia melepaskan walau satu kerusinya di Melaka, baik kepada Pas atau Bersatu.
Tetapi, jika benar kerjasama ingin diwujudkan, Bersatu dan Pas tidak harus meminta lebih daripada kekuatan mereka yang sepatutnya.
Walaupun daripada 18 kerusi yang ditandingi UMNO pada PRU14, hanya 13 yang dimenanginya, tetapi lima kawasan yang kalah itu memang kerusi tradisi UMNO, kecuali Paya Rumput dan Teluk Mas yang pertama kali dimenangi Bersatu.
Maka, daripada lima kerusi itu dan dua daripadanya sudah menjadi milik Bersatu, jika mahu bekerjasama, tiga selebihnya harus diserahkan semula kepada UMNO atau dalam erti kata lain, UMNO mesti diserahkan 16 kerusi untuk mereka tandingi daripada 28 kerusi dalam DUN Melaka.
Bagi Bersatu, dua kerusi iaitu Paya Rumput dan Teluk Mas sudah memadai untuk mereka tandingi.
Jangan minta lebih-lebih jika betul-betul ingin bekerjasama dengan UMNO.
Pas pula, oleh kerana tiada kerusi dalam tangannya sekarang, parti itu jangan sibuk-sibuk mahu bertanding dalam PRN Melaka kali ini.
Sedarlah diri dan tengoklah cermin banyak kali untuk melihat wajah diri sendiri.
Kalau dalam PRN Sabah, mereka boleh tidak meletakkan calon, mengapa tidak di Melaka?
Jika Pas mahu bertanding juga, eloklah mereka memilih bertanding untuk berlawan semua kerusi yang ditandingi DAP di negeri itu.
Pada PRU14 lalu, DAP bertanding 8 kerusi dan mereka menang semua kerusi yang ditandingi.
Bukankah Pas selalu kata DAP adalah musuh mereka dan musuh Islam, jadi lawan dan kalahkanlah parti tersebut?
Buat apa menjerit bermusuh dengan DAP tapi tidak berani berlawan dengan mereka?
Cehhhh…..(ShahbudinHusin 24/10/2021)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/10/pas-jangan-sibuk-sibuk-di-prn-melaka.html