Panas Ahli Parlimen Kerajaan Dakwa Akan Halang Cadangan Timbalan Menteri Pas
September 10, 2021 Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak senada dengan pemimpin Pas yang berhasrat membentangkan Rang Undang-undang (RUU) yang akan menghalang kebebasan beragama di negara ini.
Dalam gambar tular Roadmap Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah peringkat Persekutuan itu mencadangkan empat akta baharu iaitu RUU Wakaf, RUU Mufti, RUU Mahkamah Syariah dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.
Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, sekiranya gambar tular itu sahih, RUU yang dicadangkan ini tidak pernah dibincangkan di Kabinet.
Roadmap Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah yang tular dalam media sosial.
“Setakat ini, RUU yang dicadangkan berkaitan agama Islam yang disebut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary tidak pernah dibawa ke Kabinet, sama ada untuk perbincangan atau persetujuan.
“Kemungkinan perkara ini masih di peringkat awal dan perbincangan dalaman di Bahagian Hal Ehwal Agama.
“Namun, sekiranya ia dibangkitkan, saya yakin rakan-rakan dalam kerajaan seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS), MCA, MIC dan parti politik lain pasti akan menentang kerana undang-undang ini akan memberi kesan atau menjejaskan kebebasan beragama bagi masyarakat bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maximus, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) ini berkata, PBS akan kekal teguh bersama rakyat bagi mempertahankan kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bagaimanapun katanya, beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghormati kebebasan yang diamalkan sejak penubuhan Persekutuan Malaysia. Apatah lagi, ia selari dengan visi Perdana Menteri untuk membina Keluarga Malaysia.
“Kami (PBS) akan tetap berdiri teguh bersama rakyat untuk memperjuangkan dan mempertahankan kebebasan beragama seperti yang kita nikmati selama ini, kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
“PBS memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama di Sabah, bahawa kami akan sentiasa setia dan kekal pada perjuangan dan matlamat politik, termasuk mempertahankan hak kebebasan beragama,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/09/panas-ahli-parlimen-kerajaan-dakwa-akan.html