Pakej Rangsangan Ekonomi Sumbang 3 7 Hingga 4 Kdnk Tahun Ini Kata Tengku Zafrul
 Bernama

Menteri  Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pakej Kita Prihatin  merupakan hasil langkah proaktif kerajaan terhadap pelbagai sesi libat  urus, turun padang dan konsultasi.KUALA LUMPUR: Pakej rangsangan ekonomi, termasuk Kerangka Inisiatif  Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin)  bernilai RM10 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin  Yassin pada Rabu lepas, dijangka memberi impak positif ke atas  pertumbuhan ekonomi negara bagi suku ke-4 2020.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pakej yang  diumumkan kerajaan iaitu Prihatin, Prihatin PKS+, Penjana dan Kita  Prihatin yang kesemuanya berjumlah RM305 bilion, dijangka menyumbang  sebanyak 3.7% hingga 4.0% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi  2020.
Menurutnya, ini sekali gus akan meletakkan negara dalam kedudukan  lebih baik bagi mencatat pemulihan ekonomi menjelang tahun 2021.
“Pertumbuhan positif ini dijangka dicapai hasil daripada peruntukan  RM10 bilion yang akan diberikan secara terus kepada rakyat dan  perniagaan.
“Kerajaan juga menyasarkan kesan berganda antara bantuan di bawah  Kita Prihatin dengan pakej rangsangan lain yang masih dilaksanakan,”  kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Pada Rabu lepas, perdana menteri mengumumkan pakej rangsangan  tambahan meliputi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang berjumlah RM7  bilion, Program Subsidi Upah 2.0 sebanyak RM2.4 bilion dan Geran Khas  Tambahan bernilai RM600 juta.
Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata Bantuan Prihatin Nasional  2.0 bukan sahaja mampu meringankan beban aliran tunai tetapi dapat  membolehkan individu dan keluarga membeli barangan keperluan harian  termasuk barangan promosi di bawah inisiatif Penjana seperti kempen  belian barangan Malaysia.
“Pada masa yang sama, bantuan Program Subsidi Upah 2.0 dan Geran Khas  Prihatin akan membantu menjamin kelangsungan perniagaan dan pekerjaan  yang turut memastikan aktiviti ekonomi dapat dijalankan, manakala  produktiviti ditingkatkan.
“Berdasarkan indikator pemulihan ekonomi yang dicatatkan baru-baru  ini seperti penurunan kadar pengangguran, peningkatan Indeks Pengeluaran  Perindustrian, Indeks Pelopor dan juga sektor runcit dan rekreasi,  kerajaan yakin Kita Prihatin akan mengekalkan momentum pemulihan,”  katanya.
Menurut Tengku Zafrul, walaupun perbelanjaan kerajaan dijangka  meningkat berikutan pakej rangsangan tambahan tersebut, namun  matlamatnya tetap konsisten untuk mengutamakan kesejahteraan kehidupan  rakyat, kelangsungan perniagaan dan pengekalan pekerjaan.
Malah, pada masa sama, kerajaan komited dalam memastikan disiplin  fiskal dan Kementerian Kewangan turut memantau pelbagai indikator  ekonomi di tahap domestik dan global dalam memastikan negara kekal di  landasan pemulihan ekonomi yang tepat dan kukuh.
Jelas beliau, pakej Kita Prihatin misalnya merupakan hasil proaktif  kerajaan terhadap pelbagai sesi libat urus, turun padang dan konsultasi  #JelajahBelanjawan2021 Kementerian Kewangan.
“Kerajaan mengambil maklum cabaran yang masih dihadapi oleh rakyat,  perniagaan dan pihak berkepentingan yang amat terkesan dengan pandemik  Covid-19 dalam merangka pakej Kita Prihatin ini.
“Soalan lazim juga telah dimuat naik ke laman sesawang Kementerian Kewangan mulai hari ini (25 Sept 2020).
“Bagi mendapatkan maklumat mengenai permohonan, kelayakan dan  sebagainya, orang ramai boleh terus mengakses laman sesawang  https://www.treasury.gov.my/index.php/kitaprihatin2020/,” katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata Kementerian Kewangan menerusi Unit  Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional  (Laksana) akan terus memantau pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan  menambah baik langkah sedia.
“Selanjutnya, langkah untuk memperkasakan semula ekonomi akan turut  diperkenalkan ketika (pembentangan) Belanjawan 2021 pada 6 November  ini,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/pakej-rangsangan-ekonomi-sumbang-37.html