Pak Wan Mulakan Cabaran Kayuhan Basikal Selama 15 Hari
Pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood atau lebih dikenali dengan Pak Wan, 73, hari ini memulakan kayuhannya bagi mencipta rekod peribadi kelimanya dalan Malaysia Books of Records (MBOR) menurut Bernama.
Kayuhan solo ini adalah kali ke 18 selepas beliau mula berkayuh sejak 5 tahun lepas. Kali ini agak berbeza dan benar-benar mencabar keupayaannya kerana akan menamatkan kayuhan sejauh kira-kira 2,200 kilometer (km) mengelilingi Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand dalam tempoh 15 hari.
“Sebelum ini, Pak Wan akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan bagi menamatkan kayuhan pada jarak yang sama, tetapi untuk mencipta rekod MBOR kelima ini Pak Wan akan buat kayuhan dalam tempoh lebih singkat iaitu selama 15 hari sahaja,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kayuhan itu di perkarangan pejabat Utusan Malaysia Biro Kelantan di sini, hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Azran Fitri Abd Rahim dan Ketua Biro Bernama Kelantan Zabidi Ishar.
Beliau berkata kayuhannya akan bermula di Kota Bharu ke Pengkalan Kubor, Tumpat sebelum ke Tak Bai, Thailand yang kemudiannya ke Padang Besar, Perlis dan seterusnya mengelilingi seluruh Semenanjung Malaysia dan dijangka menamatkan kayuhan dan tiba di Kelantan pada 10 Julai depan.
Mengulas mengenai persiapannya dalam mendepani cabaran kayuhan terbaharunya itu, Pak Wan berkata beliau menjalani latihan setiap hari dengan jarak antara 130km hingga 150km sehari.
“Sepanjang latihan itu saya hanya akan berhenti selepas membuat kayuhan melebihi 50km. Maknanya saya hanya berhenti selama tiga kali pada setiap 150km kayuhan. Ia bagi memastikan saya dapat melakukan kayuhan dengan jarak yang lebih panjang tanpa perlu berhenti berkali-kali,” katanya.
Beliau berkata bagi mencapai sasaran terbaharunya itu, Pak Wan akan membuat kayuhan dengan jarak 100km hingga 150km sehari dan akan memulakan seawal pukul 6.30 pagi.
Dalam pada itu, katanya kayuhan solonya kali kelima itu juga didedikasikan kepada Kemudi yang selama ini memberi sokongan kuat kepada beliau dalam sukan berbasikal sejak kali pertama mencipta MBOR pada 2014.
Katanya sebagai menghargai Kemudi, beliau akan menyebarkan risalah berkaitan kepentingan berita benar kepada masyarakat sepanjang misi kayuhannya.
Pak Wan mencipta nama dalam MBOR selepas menamatkan kayuhan berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200km pada 28 Feb 2014.
Beliau sekali lagi mencipta nama pada Januari 2015 apabila menamatkan misi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah Malaysia sejauh 5,319 km.
Sementara itu, dalam misi kayuhan kali ketiganya, Pak Wan disertai jurugambar sambilan Bernama Kelantan, Shahuri Awang, 33, sejauh 3,000km mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand selama 43 hari sebelum meraih MBOR kali keempat pada tahun lepas dengan mengelilingi negara ini secara solo.
Dalam pada itu, Azran Fitri berkata Kemudi amat berbesar hati atas kesediaan Pak Wan untuk membawa mesej kepentingan berita benar dan berkredibiliti kepada masyarakat dan mendoakan Pak Wan berjaya merealisasikan impiannya untuk mencipta satu lagi rekod MBOR peribadinya.
— BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/06/22/pak-wan-mulakan-cabaran-kayuhan-basikal-selama-15-hari/