Padah Kerana Hisap Gam Depan Anak
KANAK-kanak lelaki berusia dua tahun yang terperangkap dalam sarang hidu gam diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Operasi Bersepadu di Jalan Plaza Mahkota, Melaka, hari ini.
Difahamkan, kanak-kanak itu berada di sarang penghidu gam terbabit sejak setahun lalu sebelum sarang penagihan yang dijadikan tempat tinggal itu diserbu jam 10 pagi dalam Operasi Bersepadu dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama JKM dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Golongan itu menjadikan bangunan kedai tinggal sebagai tempat menginap dan penagihan.
Kanak-kanak lelaki itu ditemui tinggal bersama ibunya dan teman lelaki masing-masing berusia 32 dan 29 tahun bersama lapan lagi individu lain.
Ujian saringan air kencing yang dilakukan AADK mendapati ibu dan teman lelakinya positif dadah walaupun pada awalnya wanita itu menyatakan dia tidak mengambil barang terlarang itu.
Penolong Pegawai JKM (Unit Kanak-kanak) Melaka Tengah, Wan Nor Ahniza Hanom Ahmad berkata, sudah lama pihaknya mahu menyelamatkan ibu kanak-kanak terbabit selain turut mengaturkan perkahwinan mereka namun gagal kerana tidak mendapat kerjasama wanita beranak tiga itu.
Beliau berkata, wanita itu juga bertindak melarikan diri, namun pada November tahun lalu JKM berjaya menyelamatkan anak bongsunya sebaik selepas dilahirkan selain anak sulungnya kini berada dalam jagaan keluarganya.
“Ini anak keduanya yang berjaya kami selamatkan dan kanak-kanak itu tidak sepatutnya berada dalam persekitaran tidak sihat seperti ini.
“Kanak-kanak ini akan ditempatkan sementara di bawah jagaan JKM sebelum tindakan lanjut dilakukan mengikut Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
Wan Nor Ahniza berkata, ibu kanak-kanak itu sudah beberapa kali ditahan JKM tetapi dia bertegas enggan menyerahkan anaknya itu.
Sementara itu, Pengarah AADK Negeri Mohd Yusof Khamis berkata, turut ditahan dalam operasi itu lapan lelaki termasuk dua wanita selepas didapati positif dadah.
“Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun dipercayai positif dadah jenis methamphetamine.
“Semua yang ditahan dibawa balik ke pejabat AADK dan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.
sumber
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://aadkselangor.blogspot.com/2019/02/hisap-gam-depan-anak.html