Oh Surat Mengapa Kau Layang
Dah lama saya tak dengar pasal surat layang. Dulu selalu dengar orang bercakap mengenainya dan menggunakannya, oleh orang politik terutamanya. Tetapi seperti dikatakan tadi dah lama tak kedengaran sebab tidak digunakan lagi. Tiba-tiba baru-baru ini muncul cerita surat layang.
Saya baca laporan FMT bertarikh 7 Nov ditulis wartawan Faiz Zainudin. Laporan itu memetik Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Yazid Mohd Yunus membidas penularan ‘surat layang’ dalam parti, yang mendakwa wujud pelanggaran etika termasuk membabitkan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin pada pemilihan Bersatu berakhir minggu lalu. Hamzah kita maklum menang jawatan timbalan presiden tanpa bertanding berikutan apa yang dipanggil ‘pelan damai’ anjuran Muhyiddin Yassin. Muhyiddin juga menang tanpa bertanding — jawatan presiden.
Apabila saya baca apa yang Yazid kata saya tersenyum. Dalam hati berkata pada hari ini pun masih ada surat layang? Zaman digital. Zaman media sosial. But come to think of it, zaman ini lebih senang mencipta dan mengedar surat layang, tetapi digital.
Difahamkan ‘surat layang’ yang buat Yazid naik angin diedar menerusi aplikasi WhatsApp. Diedar dengan mudah kepada ketua-ketua bahagian menerusi telefon pintar. Penghantarnya tidak boleh atau sukar dikesan walaupun nombor penghantar tertera apabila mesej diterima. Memang pintar.
Pengertian yang diberi Dewan Bahasa dan Pustaka tentang ‘surat layang’ ialah surat yang tidak diketahui penulisnya, biasanya surat yang mengecam, menyebar berita buruk, satu berita yang tidaklah semestinya betul. Izinkan saya menambah: tidak juga semestinya tidak betul.
Imbau zaman dulu-dulu. Sehingga tahun 1990-an surat layang masih digunakan khususnya oleh pemimpin parti politik terutama ketika menghadapi pilihan raya dan juga pemilihan parti. Ia digunakan untuk menyerang musuh dalam parti lawan (masa pilihan raya) dan musuh dalam parti sendiri (semasa pemilihan parti).
Kandungan surat layang memang panas dan pedas. No holds barred. Belasah sahaja. Oleh kerana si penulis tidak mendedahkan identiti dia bebas tuduh apa sahaja, kata apa sahaja tanpa bimbang implikasi terhadapnya.
Yang mencipta, menulis dan mengedar biasanya ‘askar’ parti yang merupakan penyokong tegar seseorang pemimpin. Biasanya mereka digelar ‘gurkha’, mengambil nama askar berbangsa Nepal yang berkhidmat untuk Inggeris dahulu, yang terkenal dengan keberanian juga kesetiaan. Selain ‘gurkha’ mungkin juga ditulis dan diedar oleh aktivis atau operator parti, atau golongan ‘cari makan’.
Penulisan dibuat menggunakan mesin taip. Dengan ini tidak boleh cam tulisan si penulis surat layang. Surat dimasukkan ke dalam sampul dan diposkan kepada alamat ahli parti. Proses ini selalu juga diulangi untuk memaparkan isu lain. Ertinya ada kala diterbitkan surat layang bersiri. Memang elaborate modus operandi mereka.
Berbalik kepada surat layang moden yang diperkatakan oleh Yazid. Saya tidak berhasrat mengulas kandungan surat layang yang dimaksudkan. Saya tidak tahu sama ada apa yang ditonjolkan dalam surat layang itu benar, salah atau fitnah. Bagaimanapun umum tahu Hamzah yang kata Yazid menjadi sasaran serangan mempunyai ramai musuh dalam parti.
Bersatu ada puak dan ada pasukan yang diakui pemimpinnya sendiri. Ini saya tulis untuk artikel saya di laman ini bertarikh 26 Okt lalu bertajuk ‘Ada puak, ada kem, ada regu – salah ke?’.
Bercakap mengenai surat layang zaman dahulu, Umno bolehlah dikatakan parti yang gemar menggunakan taktik ini, dalam kalangan pemimpin yang ‘berperang’ semasa menghadapi pemilihan parti. Perlu diingat zaman itu Umno cukup kuat dan ia mengemudi bahtera BN yang perkasa. Oleh itu menang jawatan dalam parti banyak manfaat serta ganjaran.
Mengapa Bersatu parti zaman ini ‘meniru’ taktik Umno dahulu kala? Oh lupa. Bersatu ada DNA Umno. Ia parti serpihan Umno. Ramai pemimpin dan ahli datang dari Umno. Lalu tidaklah mengejutkan mereka terbawa-bawa dengan amalan Umno dulu. Saya tidak tahu sama ada taktik surat layang masih digunakan Umno sekarang.
Bersatu pasti tahu apabila berlaku ‘perang’ dalam Umno, umpamanya pada 1987, ia begitu sengit sehingga terjadi perpecahan.
Diakui Bersatu tidak sampai ke situ. Namun setakat ini 10 bahagian Bersatu digantung. Ramai pemimpin dan ahli keluar parti. Kesimpulannya krisis dalaman sudah tercetus. Teringat kata-kata orang kuat Bersatu, Saifuddin Abdullah, yang saya petik untuk artikel saya 26 Okt lalu.
Kata beliau, “jika ada team atau kem sekali pun ia tidaklah sampai perpecahan. Kita bertanding sesama kita seperti adik-beradik sahaja”.
Tetapi takkan beliau tidak tahu adik-beradik pun ada bergaduh bermati-matian. Bermusuh sampai bila-bila. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/11/oh-surat-mengapa-kau-layang.html