Norma Baharu Belanja Sambut Aidilfitri
Oleh Kurniawati Kamarudin
KUALA LUMPUR, 18 MEI: Berbaki kurang seminggu, umat Islam seluruh dunia akan menyambut kedatangan 1 Syawal yang dijangka diraikan hujung minggu ini, pada 24 Mei.
Kebiasaanya, inilah waktu paling sibuk bagi masyarakat Islam di Malaysia untuk membuat segala persiapan akhir menjelang Aidilfitri.
Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di ibu negara antara lokasi wajib yang dikunjungi untuk berbelanja, membeli segala persiapan Aidilfitri sama ada pakaian, kuih-muih, biskut raya mahupun perhiasan rumah.
Bagaimanapun, senario tahun ini ternyata berbeza. Lokasi tumpuan di Kuala Lumpur agak lengang walaupun ada premis yang menjual barangan persiapan hari raya beroperasi semenjak kelonggaran diberikan kerajaan melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu.
Menariknya, normal baharu dalam masyarakat membolehkan rakyat Malaysia berjimat ketika menyambut perayaan. Apa yang lebih penting, senario sebegini turut mengubah corak perbelanjaan dan penggunaan individu isi rumah berikutan penularan pandemik Covid-19.
Pensyarah kanan Fakulti Ekonomi Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Norlin Khalid berkata, berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS) baru-baru ini mendapati dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac hingga 3 Mei lalu, gaya perbelanjaan rata-rata individu isi rumah telah berubah secara keseluruhannya dengan tumpuan kepada hanya barangan perlu dan penting.
Bercakap kepada Bernama, Norlin berkata perbelanjaan barang makanan dan minuman yang meliputi bahan mentah masakan meningkat sebanyak 27 peratus kepada purata RM924 per individu isi rumah berbanding RM726, sebelum penguatkuasaan PKP.
Perbelanjaan untuk bahan tahan lama seperti pakaian dan peralatan rumah pula menurun dengan drastik masing-masing kepada 95 peratus dan 58 peratus.
Sementara itu, perbelanjaan pengangkutan awam dan persendirian turut menyaksikan penurunan drastik sebanyak 89 peratus iaitu dari RM553 per individu isi rumah kepada RM61 berbanding sebelum PKP.
Keadaan ini, menurut beliau, bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan PKP menyebabkan ramai memilih duduk di rumah dan bekerja dari rumah, ditambah pula sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah.
Norma baharu berbelanja
Malah, kesan pandemik Covid-19 menyebabkan individu isi rumah banyak berbelanja bagi pembelian barangan kesihatan seperti pelitup muka serta produk sanitasi pencegah kuman.
Ketiadaan bazar Ramadan, bufet Ramadan di hotel-hotel dan restoran menyebabkan kebanyakan umat Islam memilih untuk memasak sendiri juadah berbuka puasa di rumah.
Meskipun, ketika tempoh PKP dan PKPB menyaksikan semakin banyak wujudnya khidmat penghantaran makanan seperti e-bazar yang semakin popular dalam kalangan pengguna kini, namun isi rumah didapati tetap mengutamakan pembelian barangan makanan perlu sahaja.
Suasana lengang dua buah gerai pakaian yang menjual tudung sempena sambutan Aidilfitri walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan ketika tinjauan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman pada 12 Mei 2020. Foto BERNAMA“Jika dahulu orang ramai banyak berbelanja membeli juadah berbuka di bazar-bazar Ramadan sehingga ada yang berbelanja secara berlebih-lebihan sehingga berlakunya pembaziran makanan. Kini situasi itu tidak berlaku,” katanya.
Memandangkan sambutan hari raya kali ini akan berlangsung dalam keterbatasan PKPB ditambah pula larangan pergerakan rentas negeri yang tidak membenarkan umat Islam pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, ia sekali gus akan memberi kesan positif terhadap corak perbelanjaan isi rumah.
“Sudah tentu dengan sambutan norma baharu ini, ada yang dapat menjimatkan wang kerana tidak perlu membuat perbelanjaan persiapan yang biasanya sangat tinggi pada musim perayaan seperti membeli baju raya, memberi duit raya, penyediaan masakan dan kuih raya untuk tetamu mahupun membeli perabot baharu serta barangan menghias rumah,” katanya.
Justeru, katanya pengguna harus bijak menggunakan duit lebihan yang ada untuk keperluan yang lebih penting berbanding persiapan bermusim bagi menyambut Aidilfitri.
“Dalam situasi Covid-19 kini yang belum diketahui penamatnya, amatlah penting individu isi rumah membuat perancangan simpanan kecemasan untuk masa hadapan,” katanya menambah krisis Covid-19 tidak diketahui berapa lama ia akan berlanjutan dan sejauhmana ekonomi boleh bertahan.
Rancang kewangan dengan baik
Menurut Norlin langkah Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan moratorium automatik selama enam bulan bagi semua pembayaran semula pinjaman, berupaya untuk meningkatkan kecairan bagi peminjam individu isi rumah.
Orang ramai mematuhi jarak selamat satu meter ketika membeli barangan keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal Covid-19 di Pasaraya Harian Bhuiyen, Bandar Tun Razak, Cheras pada 24 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINIApabila adanya simpanan atau lebihan pendapatan boleh guna, individu isi rumah dapat membuat perancangan kewangan semula agar dapat mengurangkan beban hutang, katanya.
“Dengan menyelesaikan hutang-hutang yang mempunyai kadar faedah yang secara relatifnya lebih tinggi seperti hutang kad kredit dan hutang peribadi….individu dapat mengurangkan komitmen hutang bulanan yang perlu dibayar selepas berakhirnya moratorium nanti,” katanya.
Bukan itu sahaja, kecairan wang tersebut boleh dijadikan modal untuk perniagaan, pelaburan atau membeli eset yang dapat memberikan jangkaan pulangan masa depan yang lebih tinggi.
Keadaan ini sangat bersesuaian rentetan penurunan Kadar Dasar Semalam (OPR) terendah dalam tempoh 10 tahun oleh BNM iaitu ke paras 2 peratus baru-baru, sekali gus menggambarkan kos pinjaman kini semakin berkurang, katanya.
Sambil menasihatkan pengguna agar bijak menguruskan kewangan agar mempunyai simpanan kecemasan, Norlin berkata data terkini DOS menunjukkan bahawa kadar pengangguran telah meningkat kepada 3.9 peratus pada April lalu berbanding 3.3 peratus pada Mac 2020.
“Ini jelas menunjukkan mengapa perlunya setiap individu isi rumah berbelanja mengikut keperluan dan sentiasa cakna serta bijak dalam perancangan dan pengurusan kewangan,” katanya
– BERNAMA
Free IPTV @5tr0kk +500 Channel
Tonton TV online secara percuma dari handfon atau android box anda!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ohsemput.blogspot.com/2020/05/norma-baharu-belanja-sambut-aidilfitri.html