Norish Karman Mengaku Dm Adik Allahyarham Benjy
Pelakon Norish Karman mengesahkan dia adalah individu yang menghantar mesej (DM) di Instagram adik Allahyarham Khaeryll Benjamin Ibrahim, 43, atau Benjy iaitu Elza Irdalynna, semalam.
Norish atau nama sebenarnya Nor'Ashikin Karman berkata, dia berhak mendapatkan kepastian berkenaan perkara itu.
Malah, Norish seperti dilaporkan dalam sebuah portal berita mengakui tidak kisah sekiranya adik arwah iaitu Elza Irdalynna bertindak mengabaikan soalannya sekiranya berasakan ia tidak masuk akal.
"Saya akui beremosi dan ayat-ayat dalam mesej itu agak kasar tetapi saya percaya soalan itu logik dan bukan soalan yang tidak masuk akal. Mesej itu melalui DM (mesej langsung) bukan secara umum.
"Ia bukan untuk ditularkan, hanya bertanya saja. Paling penting untuk saya tekankan soalan saya kepada adik arwah Benjy adalah secara peribadi. Saya tak tanya dia depan orang satu dunia.
"Abaikan saja soalan itu kalau rasa mengarut dan tak masuk akal. Tiada siapa perlu tahu mengenai soalan tersebut, " katanya.
Terdahulu Elza dan seorang lagi adik arwah iaitu Inessa Irdayanty menerusi Instagramnya memuat naik mesej daripada seorang pelakon wanita yang menuduh mereka mengabaikan kebajikan abangnya.
Malah dia mempertikaikan Norish yang masuk campur kerana dia bukanlah individu yang rapat dengan mereka sekeluarga.
Norish pula mendakwa mengetahui mengenai kesusahan Benjy di penjara menerusi artikel di sebuah akhbar tempatan.
"Akhbar tempatan ini melaporkan pakaian arwah sudah dua tahun tidak berganti. Mereka juga menulis arwah terpaksa meminjam wang daripada banduan lain dan rakan artis yang memberitahu pernah meminjamkan wang kepada arwah.
"Itu buat terlintas di fikiran saya, adakah arwah Benjy tidak mempunyai ahli keluarga untuk memastikan kebajikannya terjaga?" soalnya.
Norish turut memaklumkan menerima pelbagai kecaman daripada netizen gara-gara perkongsian Elza di laman sosial.
"Sekalipun soalan yang ditanya benar atau tidak, beranikan diri untuk menjawab secara DM, bukan kongsi secara umum di dalam instagram menagih simpati followers sendiri.
"Sebaliknya jika tidak benar, mengapa takut untuk membalas? Berani kerana benar takut kerana salah. Saya tak pasti tujuan dia menyebarkan soalan saya terbabit," katanya.
Bagi menjernihkan keadaan, Norish memohon maaf sekiranya mesejnya dihantar pada masa yang tidak sesuai.
"Mungkin ada kekhilafan daripada pihak saya sendiri. Tonasi ayat saya dalam soalan ini agak kasar.
"Mungkin soalan yang saya ajukan tidak kena pada masanya iaitu di saat mereka masih meratapi pemergian ahli keluarga, " katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2021/07/norish-karman-mengaku-dm-adik.html