Negara Ke Fasa 2 Jika Purata Kes Bawah 4 000 7 Hari Berturut
BH ONLINE

 Warga  emas Ooi Kooi Choo, 81, menerima suntikan vaksin Sinovac di Pusat  Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) di Hospital Pantai Pulau  Pinang, Bayan Baru, Georgetown. - Foto NSTP/ Mikail Ong KUALA  LUMPUR: Purata kes COVID-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4,000 kes  sehari selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara beralih  ke fasa kedua mengikut Pelan Pemulihan Negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata selain itu  kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) juga perlu mencapai paras 75  peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi yang telah divaksin.
"Hari ini, Alhamdulillah, vaksinasi sudah melebihi 10 peratus iaitu  11 peratus, dan dengan adanya pendekatan nilai ambang ini, kita boleh  bergerak ke fasa dua, tiga dan empat," katanya dalam program Ruang  Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.
Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa adalah strategi  peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 bagi mengembalikan  penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun ini. 
Ia bersandarkan tiga indikator iaitu keadaan penularan COVID-19 dalam  komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem  kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di ICU dan indikator  ketiga adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan  lengkap menerima dua dos suntikan vaksin. 
Dr Adham berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0  merupakan kaedah intervensi untuk mencapai sasaran pelan berkenaan.
"Kita ada satu unjuran model SEIR  (Susceptible-Exposed-Infectious-Removed), dan dalam Pelan Pemulihan  Negara kita lihat kepada nilai RT (kadar kebolehjangkitan). Kalau  sebelum ini nilai RT masih pada 1.2, mengikut unjuran SEIR kita mungkin  akan ada 13,000 kes (COVID-19)… tetapi disebabkan PKP 3.0, kita dapat  intervensi sehingga unjuran SEIR di bawah 1 iaitu 0.9.
"Ini memerlukan tekad kuat iaitu memerangi COVID-19 dengan tindakan  kesihatan awam, vaksinasi dan solidariti rakyat kerana kita bukan sahaja  berdepan dengan virus seperti dulu tetapi ada juga varian baharu,"  katanya.
Sementara itu, Dr Adham berkata kerajaan mempunyai pelan untuk  membolehkan golongan berumur 12 tahun ke atas mengambil vaksin namun  perlu memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan  diselesaikan  terlebih dahulu.
"Pihak pengeluar vaksin Pfizer telah kemukakan yang boleh beri vaksin  kepada umur 12 tahun ke atas... kita kena ada data daripada Pfizer yang  meyakinkan, dan keduanya, kita perlu dahulukan mereka yang mengambil  peperiksaan iaitu tingkatan lima dan enam. Itu hanya berlaku selepas  kita selesaikan program imunisasi kebangsaan," katanya. – BERNAMA  
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/negara-ke-fasa-2-jika-purata-kes-bawah.html