Naratif Semua Salah Bn Tak Boleh Tambah Keyakinan Pelabur
Wartawan MalaysiaGazette
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berucap pada ceramah sepentas BN sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Mambau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata apa yang berlaku terhadap ekonomi negara hari ini tidak lagi boleh dilihat dari sudut pandangan politik seperti kedudukan ringgit, pasaran saham serta keyakinan pelabur.
Menurutnya keadaan berkenaan memerlukan tindakan kritikal daripada pihak kerajaan dan naratif “ini semua salah BN” mungkin boleh memenangi undi tetapi ianya bukan perkara yang hendak didengari oleh pelabur,
Sudah tiba masa kerajaan tetapkan hala tuju yang jelas terhadap masa depan negara, katanya.
“Selepas memberikan gelaran sore loser serta world’s worst major stock market kepada Malaysia,
Bloomberg sekali lagi telah mengeluarkan laporan tentang kedudukan kewangan dan ekonomi Malaysia. Laporan kali ini adalah tentang bagaimana pelabur luar negara telah berasa bosan dan semakin hilang kepercayaan kepada pasaran pelaburan Malaysia.
“Sememangnya apa yang dinyatakan Bloomberg ini ada asasnya. Pasaran saham Malaysia berterusan mencatatkan aliran keluar dana untuk tempoh setahun yang lalu, ringgit Malaysia juga dalam trend menurun, jumlah defisit dan hutang negara masih terus meningkat.
“Kenyataan “BN turun, ringgit naik” masih belum menjadi realiti, tetapi sebaliknya pula yang berlaku,” katanya menerusi catatan di facebook hari ini.
Tambah Khairy lagi bagi tempoh Januari 2019 sehingga ke hari ini, jumlah aliran keluar bersih dana pelaburan asing sudah melebihi RM2.5 bilion dan jika sebelum PRU-14, indeks Bursa Malaysia berada pada paras 1,846 mata, kini ianya telah menurun kepada hanya 1,599 mata, pada tahun 2019 ini sahaja, indeks Bursa Malaysia telah menurun sebanyak 5%.
“Dan seringkali juga alasan yang sama terus digunakan kerajaan dalam memberikan justifikasi kepada perkara ini; pertamanya adalah kerana faktor global dan keduanya iaitu yang paling popular “ini semua salah kerajaan terdahulu”.
“Memang diakui faktor luaran seperti perang dagang antara Amerika Syarikat dan China turut memberi kesan kepada keadaan ekonomi dan kewangan negara. Tetapi untuk menyatakan perang dagang semata-mata sebagai punca kejatuhan ringgit adalah tidak betul.
“Menyalahkan Presiden Trump seperti mana yang dilakukan Perdana Menteri baru-baru ini juga kurang tepat,” ujarnya.
Ujarnya lagi sebagai contoh, melihatkan prestasi ringgit berbanding matawang utama negara ASEAN yang lain, ringgit telah susut sebanyak 5.25 peratus pada hari ini jika dibandingkan pada Mei 2018.
Tambahnya angka itu jauh lebih buruk buruk jika dibandingkan dengan Rupiah Indonesia (-3.18%) dan Dollar Singapura (-2.35%). Malahan matawang Baht Thailand dan Peso Filipina pada hari ini adalah lebih tinggi berbanding Mei tahun lalu.
“Apa yang terjadi pada hari ini bukanlah kerana kejutan pasaran yang bersifat sementara, sebaliknya telah berlarutan selama satu tahun. Kerajaan hari ini dilihat gagal menyediakan penampan yang kukuh untuk mengembalikan kepercayaan kepada pelabur,” tegasnya.
Tegasnya lagi pelan jangka masa panjang ekonomi untuk negara juga masih lagi samar fan kedua-dua ini sekaligus menyebabkan pelabur tidak melihat masa depan yang menarik untuk membuat pelaburan di Malaysia.- MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/naratif-semua-salah-bn-tak-boleh-tambah.html