Nak Ke Mana Hujung Minggu Ini Tanya Dg Pada Pengguna Jalan Raya Bersesak Di Sjr
FMT Reporters
Barisan panjang kenderaan di plaza tol Gombak menghala ke pantai timur pagi ini. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai agar kekal duduk di rumah, setelah gambar-gambar menunjukkan ramai yang cuba merentas daerah dan negeri tersebar di media sosial hari ini.
Sebilangan besar kenderaan dilihat dalam gambar bersesak di sekatan jalan raya (SJR) plaza tol Gombak dan Sungai Besi.
“Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini?” tanya Noor Hisham di Facebook, merujuk kepada gambar-gambar berkenaan.
“Pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan.
“Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha kita untuk membendung penularan jangkitan virus Covid-19.”
Beliau memberi amaran bahawa peningkatan kes yang tidak terkawal akan menyebabkan sistem kesihatan negara “lumpuh”.
“Jika lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal tetapi katil ICU sudah penuh semuanya,” kata beliau.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, tiada gunanya cuba merentas sempadan negeri untuk pulang ke kampung halaman sebelum “lockdown” dikuatkuasakan pada 1 Jun.
Nak lari ke mana? Kampung? Kenapa nak lari? ‘Lockdown’ satu negara, ke mana saja mereka pergi, akan dikenakan sekatan.”
Katanya, polis akan berada di mana-mana sahaja, jadi tiada gunanya orang ramai cuba mengelak polis dengan bergerak ke tempat lain.
Ketua Polis Gombak Arifai Tarawe berkata, beliau tidak percaya gambar-gambar yang tular tersebut menunjukkan orang ramai cuba mengelak “lockdown”.
“Saya berada di situ dari 9.30 pagi hingga 1.30 petang hari ini. Kebanyakan pemandu ada surat daripada majikan atau polis.
“Hanya 14 kenderaan diarahkan berpatah balik dalam tempoh empat jam tersebut,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/nak-ke-mana-hujung-minggu-ini-tanya-dg.html