Najib Irwan Dipanggil Hadir Di Sprm Esok
Hariz Mohd         
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua  setiausaha perbendaharaan Tan Sri Irwan Siregar Abdullah dipanggil hadir  di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok, kata  sumber.
Sumber yang rapat dengan penyiasatan SPRM ke atas skandal 1MDB memberitahu Malaysiakini bahawa Najib dan Irwan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung  urusan 1MDB dan firma pelaburan Abu Dhabi iaitu International Petroleum  Investment Company (IPIC).
"Mereka (Najib dan Irwan) dipanggil hadir di ibu pejabat SPRM pukul 2 petang esok. Ia berhubung IPIC," kata sumber itu.
Jika  Najib hadir esok, ia merupakan kali ketiga dalam bulan ini bekas  presiden Umno itu disoal siasat SPRM berhubung urusan 1MDB dengan IPIC.
Dalam  kes melibatkan SRC International dan 1MDB sebelum ini, SPRM menahan  Najib semalaman sebelum mendakwa beliau di mahkamah keesokan harinya.
Awal  hari ini, sumber yang rapat dengan penyiasatan itu mengesahkan kepada  Malaysiakini bahawa Najib akan berdepan enam pertuduhan Khamis ini  susulan siasatan ke atas kes berkenaan.
Malaysiakini mendapati  bahawa siasatan kes itu diteruskan dengan maklumat yang diperoleh  daripada seseorang individu yang terlibat dalam urusan berkenaan.
Sumber  memberitahu bahawa individu berkenaan, yang mempunyai gelaran 'datuk',  dilantik oleh Najib beberapa tahun lalu sebagai orang tengah antara dua  1MDB dan IPIC.
Terdahulu, News Straits Times (NST) melaporkan Najib dijangka berdepan sekurang-kurangnya empat pertuduhan minggu ini berhubung urusan 1MDB dengan IPIC.
Laporan itu menyatakan bahawa pendakwa akan mengaitkan peranan Najib dalam pengurusan hutang antara dua syarikat itu tahun lalu.
Sumber  memberitahu NST bahawa penyiasat SPRM meneliti bagaimana pentadbiran  lama menyelesaikan hutang dengan duit cukai, dan cuba mengenal pasti  pihak yang meluluskan bayaran berkenaan yang dikatakan dilakukan "tanpa  kelulusan kabinet".
Penyelesaian hutang dicapai tahun lalu oleh  Kementerian Kewangan untuk membayar AS$1.2 bilion (RM5.04 bilion) kepada  IPIC berhubung tuntutan AS$6.5 bilion yang dibuat syarikat Abu Dhabi  berkenaan. Najib merupakan menteri kewangan ketika itu.
Pada  sesi parlimen awal hari ini, Najib menggesa kerajaan untuk menuntut  AS$3.5 bilion daripada IPIC ketika sendiri dijangka akan didakwa  berhubung urusan dengan firma Abu Dhabi itu.
Bekas perdana menteri  itu berkata di Dewan Rakyat bahawa kerajaan ketika di bawah  pentadbirannya menandatangani perjanjian dengan IPIC pada 2015, dengan  Malaysia menerima AS$1 bilion daripada firma pelaburan berkenaan  sementara IPIC pula "bersetuju memulangkan AS$3.5 bilion."
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/10/najib-irwan-dipanggil-hadir-di-sprm-esok.html