Mungkin Ada Provokasi Atm
Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
AFFENDI Buang memeriksa kawalan hormat anggota Malbatt 850-7 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Port Dickson hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI. PORT DICKSON: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan awal berhubung susulan tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dipercayai pekerja asing didera anggota keselamatan memakai pakaian tentera baru-baru ini.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian tersebut dan hasil siasatan awal kejadian tersebut mungkin berpunca disebabkan provokasi.
“Kami telah membuat siasatan awal, apa yang saya mahu nyatakan di sini, saya menyeru masyarakat, orang yang dalam melakukan kawalan kuarantin ini dapat berikan kerjasama, saya tahu anggota saya bertindak sedikit melebihi batas, saya minta maaf.
“Mereka bertugas 24 jam, bermacam-macam cabaran dan isu dihadapi, namun kita tidak mendengar sebarang aduan dan mereka dapat beri sumbangan apatah lagi ketika negara menghadapi masalah dan bencana ini.
“Mungkin terlepas satu atau dua dan ATM saya memohon maaf dan mungkin provakasi serta tindakan-tindakan luar, mungkin terkeluar perkataan seperti itu, kalau boleh semua bekerjasama ikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pembubaran dan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) Malbatt 850-7 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) dekat sini hari ini.
Semalam, tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dipercayai pekerja asing didera lelaki anggota keselamatan yang memakai pakaian tentera dalam laman sosial Facebook.
Dalam video berdurasi 19 saat itu, memaparkan seorang lelaki memakai seluar celoreng memegang alat seperti cambuk mengarahkan pekerja asing itu berguling atas tanah.
Menurut sumber, pekerja asing itu dikatakan telah melanggar perintah kuarantin yang ditetapkan pihak berkuasa. Difahamkan individu didera itu merupakan pekerja di kilang sarung tangan, Top Glove yang kini sedang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Dalam pada itu, Affendi menambah, beliau yakin anggotanya itu tidak bertindak sesuka hati dalam kejadian berkenaan.
“Saya tahu bukan mereka bertindak sesuka hati, ini masuk bulan kesembilan, banyak operasi, Op Penawar, Op Benteng, kawalan kuarantin bahagian perubatan termasuk membantu Kementerian Kesihatan di hospital-hospital, pelbagai tugasan dan cabaran,” katanya.
Sementara itu, Malbatt 850-7 diketuai Komander, Kolonel Khairul Anwar Soib dan dianggotai seramai 850 anggota terdiri dari 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat.
Ia termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang pegawai awam kewangan dari Kemenenterian Pertahanan.
Pergerakan pulang keseluruhan kontinjen Malbatt 850-7 telah dilaksanakan dalam empat peringkat bermula 2 Oktober hingga 16 November lalu dengan menaiki pesawat sewa khas Malaysia Airlines (MAS) dari Beirut, Lubnan.
Misi seterusnya telah diambil alih oleh Malbatt 850-8 mulai 14 November lalu, selama setahun. -UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/mungkin-ada-provokasi-atm.html