Mp Johor Bahru Pertahan Keputusan Hadir Majlis Iftar Di Gurdwara Sikh
Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir mempertahankan kehadirannya pada majlis iftar yang diadakan di sebuah gurdwara Sikh di negeri itu, petang semalam.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Akmal menyenaraikan beberapa alasan beliau berbuat demikian dengan menyatakan bahawa ini bukan kali pertama dirinya berbuka puasa di sebuah gurdwara dan pernah diajak oleh beberapa orang kawan tahun lalu.
Satu-satunya perbezaan, katanya, adalah bahawa tahun lalu beliau berbuat demikian tanpa sebarang hebahan.
Katanya, pada mulanya, beliau berat hati menerima undangan berkenaan dan telah merujuk dengan mereka yang menghadapi situasi yang sama. Pada masa yang sama, beliau turut meminta kakitangannya untuk melawat dahulu gurdwara itu dan berbincang dengan penganjur.
“Seumur hidup saya sebelum ini tak pernah masuk ke kuil Sikh. Sememangnya saya rasa berat hati untuk menerima undangan tersebut kerana boleh menimbulkan pelbagai pandangan dan juga tohmahan.
“Akhirnya saya terima juga undangan tersebut dan pergi tahun lepas apabila mendapati komuniti Sikh bila makan di gurdwara (mereka) 100 peratus vegan (makanan sayur-sayuran). Mereka bukan vegan hanya bila undangan iftar, tapi vegan sepanjang masa.
“Adap mereka lagi ketat, bila masuk gurdwara, mereka perlu memakai tutup kepala (saya difahamkan antara sebab Sikh pakai turban). Cuma saya tahun lepas pakai kopiah,” katanya.
Akmal, yang juga adalah ketua Pemuda PKR (AMK), menambah bahawa beliau mendapati bahawa masyarakat Sikh telah menyediakan dewan kosong untuk umat Islam yang melawat melaksanakan solat maghrib mereka. Ruang itu terpisah dari kawasan sembahyang mereka.
“Ruang ibadat mereka pula sememangnya diasingkan di tingkat atas. Tiada campur aduk upacara mereka sebab ruang ibadat mereka di tingkat lain,” katanya.Akmal memuatnaikkan penjelasannya untuk menghadiri majlis iftar di rumah ibadat Sikh selepas mendapat kritikan di media sosial.
Sebuah akaun Facebook milik kumpulan "OpsJohor" memaparkan jemputan untuk majlis di gurdwara sahib di Johor Baharu itu, bersama kapsyen: "Marilah berbuka puasa di kuil, barulah muhibah?
“Apa dah jadi dengan Ahli Parlimen Johor Bahru ni, Sepatutnya bulan puasa ni kita mengimarahkan masjid/surau bukannya kuil ataupun tokong.
“Betul-betul rosak akidah pemimpin-pemimpin Malaysia baru ni. Biadap sungguh, Jagalah sikit kehormatan bulan Ramadan.
“Kau ni dah kenape YB Akmal Nasir? Dulu tak pergi tak pernah pergi sekolah agama ke atau kau ni memang liberal?”
Malah, kumpulan itu turut menuduh Akmal berbuat demikian demi kepentingan politiknya sendiri.
“Dah alang-alang berbuka kat sana jangan lupa buat terawikh sekali, dan Ops Johor cadangkan lepas ni cuba YB buat majlis berbuka kat kubur cina ataupun di tokong pulak, barulah nampak kelainan dan muhibahkan, confirm gempak!
“Nak berbertoleransi pun agak-agaklah, mereka pun tak pandanglah muhibah kau tu, memalukan orang islam je.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/05/mp-johor-bahru-pertahan-keputusan-hadir.html