Meski Pengumuman Rasmi Pengampunan Najib Tidak Lagi Membawa Kejutan Tapi Ia Serlah Kebijaksanaan Agong
Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah
Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya iaitu Bahagian Hal Ehwal
Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi
berhubung pengampunan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Dalam kenyataan media itu, diumumkan secara
rasmi bahawa hukuman penjara 12 tahun yang diterima Najib dikurangkan kepada 6
tahun., manakala denda RM210 juta pula diturunkan kepada RM50 juta.
Dengan itu, tarikh pembebasan Najib yang baru
sekarang disahkan ialah pada 24 Ogos 2028.
Tetapi, jika denda RM50 juta yang telah
dikurangkan itu gagal dibayar, hukuman penjaranya ditambah selama setahun lagi
dan menjadikan tarikh pembebasannya dianjakkan kepada 23 Ogos 2029.
Kenyataan media itu dikeluarkan hanya beberapa
jam setelah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum solat Jumaat tengahari tadi
membayangkan pengumuman rasmi mengenai pengampunan Najib akan diumumkan hari
ini.
Walaupun kenyataan media oleh urusetia Lembaga
Pengampunan ini akhirnya menjawab segala teka-teki mengenai pengampunan yang
diterima Najib, namun ia tidak lagi memberi apa-apa kejutan atau suspen kepada
orang ramai.
Ini kerana Media Singapura, Channel News Asia
atau CNA lebih dulu iaitu tiga hari lalu, telah membocorkan keputusan Lembaga
Pengampunan itu.
Meski CNA hanya menyebut hukuman penjara Najib
dikurangkan sebanyak separuh daripada 12 tahun yang diterimanya, sementara
denda RM210 juta pula diturunkan kepada jumlah yang tidak ditentukan,
setidak-tidaknya apa yang mereka laporkan itu 99 peratus tepat.
Bagaimanapun di waktu yang sama, dalam banyak Grup
Whatsapp, pengurangan jumlah denda kepada RM50 juta itu telah menjadi sebaran
yang meluas sejak beberapa hari lalu.
Dengan itu, tiada siapa lagi yang terkejut,
suspen atau menangis dengan berita rasmi mengenai pengampunan Najib oleh
Urusetia Lembaga Pengampunan pada petang ini.
Ia semacam soalan periksa yang telah bocor
jawapannya.
Dengan keputusan Lembaga Pengampunan itu,
harapan dan kepercayaan sesetengah pihak bahawa Najib akan dibebaskan serta
boleh kembali aktif dalam politik secara serta merta selepas ini, ternyata
tidak menjadi kenyataan.
Najib kini hanya dikurangkan hukuman dan
denda, tetapi perlu terus berada di Penjara Kajang untuk menghabiskan tempoh
hukumannya.
Di sebalik barangkali masih ada pihak yang
tidak puas hati dengan keputusan tersebut, tetapi jika diteliti dengan
mendalam, inilah keputusan paling bijaksana yang diserlahkan oleh Al-Sultan
Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam tugas terakhir baginda
selaku Yang Dipertuan Agong ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan
itu.
Memutuskan bahawa Najib tidak diberi
pengampunan penuh, sebaliknya hanya dikurangkan tempoh penjara dan jumlah denda
yang diterimanya, adalah bukti jelas baginda mempunyai kebijaksanaan yang luar
biasa yang tentunya keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor
semasa.
Antara faktor semasa yang tentunya diambil
kira ialah kerana Najib baru saja kira-kira setahun lima bulan menjalani
hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan terhadapnya.
Najib mula dihantar ke Penjara Kajang ialah pada
23 Ogos 2022.
Berdasarkan amalan atau konvensyen sebelum
ini, pengampunan penuh hanya menjadi pertimbangan setelah seseorang itu
menjalani sekurang-kurangnya satu pertiga atau separuh daripada hukuman penjara
yang diterima.
Dalam erti kata lain, adalah tidak kena dengan
masa dan tidak sesuai untuk memberi pengampunan penuh kepada Najib di ketika
hanya baru setahun lima bukan menjalani hukuman penjara, meski beliau merupakan
bekas Perdana Menteri.
Ini sekali lagi membuktikan Lembaga
Pengampunan yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah bersikap amat adil,
teliti dan mengambil pertimbangan paling munasabah dalam membuat keputusannya
iaitu tidak membezakan pengampunan antara rakyat biasa dengan orang yang ada
nama.
Selain itu, Najib juga masih berdepan beberapa
kes lain lagi yang sedang dihadapinya di mahkamah berkaitan skandal 1MDB.
Tentunya tidak cantik kelihatannya, malah
mungkin dipersoalkan, jika beliau diberi pengampunan penuh dalam kesalahan
berkaitan SRC International, anak syarikat 1MDB, tetapi kemudian perlu terus
pergi ke mahkamah untuk menghadapi perbicaraan lain berhubung induk 1MDB itu
sendiri.
Bagaimana jika dalam kes-kes lain yang sedang
dihadapi perbicaraan itu, Najib nanti didapati bersalah juga akhirnya, sama
seperti kes SRC International?
Takkan dua tiga kali beliau hendak diberi
pengampunan?
Dengan itu, keputusan Lembaga Pengampunan
terkait Najib iaitu hanya mengurangkan hukuman penjara dan denda hendaklah
diterima dengan hati serta dada yang terbuka oleh semua, khususnya kaum
keluarga dan penyokong-penyokong tegar Bossku yang harapan mereka nampaknya
belum lagi kesampaian.
Maka, jangan ada yang marah-marah atau cuba
menuding jari kepada sesiapa dengan keputusan ini. – ShahbudinHusin
02/02/2024.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/02/meski-pengumuman-rasmi-pengampunan.html