Menulis Untuk Menggerakkan Minda Imbauan Sejarah Mula Menulis Di Blog
Imbau balik sejarah saya mula menulis blog.
Sebelum kenal aktiviti blogging dulu, masa lapang saya di habiskan dengan aktiviti membaca sahaja. Menulis artikel adalah satu perkara yang tak pernah terlintas dalam fikiran.
Kali terakhir menulis sebuah artikel panjang adalah ketika peperiksaan SPM dahulu. Itupun sebab wajib buat karangan.
Sejak habis SPM, terus tinggalkan aktiviti mengarang. Lama kelamaan, saya percaya yang menulis hanya untuk wartawan dan orang seni. Saya mula percaya yang saya tak pandai menulis.
Satu hari, saya minum dengan kawan yang ada blog. Dia ajar cara nak buka blog percuma. Balik rumah, saya terus buka blog pertama dan mula menulis apa-apa saja yang terlintas di kepala.
Sejak itu saya terus mengarang dan mengarang di blog sehingga aktiviti itu jadi semacam satu ketagihan. Satu hari tak menulis terasa macam ada sesuatu yang tak kena. Kepala otak sentiasa ligat memikirkan idea untuk menulis.
Merasakan nikmat hasil daripada aktiviti blogging ni, maka banyaklah blog yang saya buat. Blog umum, blog politik, blog hobi, blog perniagaan, blog satira dan lain-lain lagi.
Masa banyak dihabiskan dengan aktiviti kembara, membaca dan kemudiannya kongsikan apa saja pengalaman menarik di blog. Begitulah berterusan dalam tempoh masa yang lama.
Akhirnya saya mula rasakan yang cara penggunaan masa untuk aktiviti blogging iniagak kusut dan membuang masa. Syok sendiri layan hobi saja. Sedangkan hasil atau faedah yang dapat tidak setara mana. Dapatlah sikit duit iklan dan program affiliate, tapi tak berbaloi dengan kelekaan masa yang dicurahkan.
Nasib baik tersedar.
Saya mula fikir untuk meringkaskan aktiviti blogging. Tapi dalam masa yang sama masih mahu menulis.
Tak boleh tinggalkan terus kegiatan menulis ni sebab ia memberikan kebaikan kepada minda. Dapat melatih saya berfikir secara teratur, tanam disiplin untuk buat penyampaian yang tersusun.
Keupayaan itu dapat melancarkan saya mengeluarkan apa saja idea yang berlegar di dalam kepala. Banyak kegunaannya dalam semua aktiviti kehidupan dan cari makan saya.
Kenapa banyak blogAsalnya saya buka berbagai blog dengan topik tumpuan berbeza atas sebab disiplin berblog itu sendiri.
Setiap blog yang baik perlu ada niche. Tak boleh main campur aduk macam rojak. Tujuannya adalah untuk menarik peminat terhadap tajuk atau niche yang dihidangkan.
Untuk makluman anda, itu adalah salah satu dari cabang bisnes. Ia termasuk dalam konsep bisnes mengumpulkan audien yang berkongsi minat dan kecenderungan sama. Mereka mula masuk ke blog anda dan baca sekali, dan kemudiannya akan datang semula sehinggalah menjadi pengikut tetap anda.
Bayangkan contohnya jika anda fokus kepada blog jam tangan. Semua yang masuk adalah mereka yang sangat suka pada koleksi jam tangan. Anda sentiasa buat kemas kini dan laporkan maklumat yang menarik.
Pengikut anda mula menjadi ramai, tak payah ramai sangat pun. Ada dalam seribu atau 2 ribu dah mencukupi. Audien yang begitu sangat berharga kepada para peniaga jam tangan koleksi. Anda mudah mendapat peluang untuk iklan samada secara terus atau dari google.
Itulah sebab utama saya perlu buat blog berdasarkan topik berbeza.
Disebabkan saya bukannya nak jadi blogger profesional, hanya luang masa lapang saja, maka perlu diringkaskan semula untuk bebaskan semua masa yang terperangkap dek aktiviti blogging tersebut.
Saya mahu pastikan aktiviti blogging dan blog yang ditulis itu, dengan masa yang diluangkan, benar-benar memberikan pulangan yang berfaedah dan berbaloi kepada diri sendiri.
Blog paling hebat pernah saya rasa, pembaca mencecah sehingga 30 ke 50 ribu sehari adalah blog politik. Tapi itu niche yang paling awal saya hentikan.
Politik bukanlah minat saya. Tidak ada apa-apa sumbangan besar yang boleh dibuat. Lebih lagi saya bukan ahli kepada mana-mana parti politik.
Kalaupun saya ahli sesebuah parti, jika kritik pimpinan atau parti dalam blog, 100% pasti tak mereka tak kan bacapun tulisan saya.
Kalau untuk mempengaruhi penyokong atas pagar bagi menyokong parti pilihan, saya rasa banyak lagi blog lain yang khas berdedikasi untuk buat perkara itu. Jadi rumusannya saya perlu hentikan buang masa tulis pasal politik. Biar orang politik buat kerja itu.
2 blog yang tinggalBerikut adalah 2 blog sahaja yang masih tinggal untuk saya layan bila ada masa terluang.
1. Blog Hidup RingkasBlog ni memang banyak kegunaannya untuk perniagaan saya sendiri dan untuk aktiviti training dan coaching yang saya jalankan. Saya tumpukan kepada konsep keusahawanan dan perkara yang berkaitan dengannya.
Setiap idea, pembacaan dan maklumat baru akan saya himpun dan tuliskan di sini bila ada kesempatan.
Blog ini banyak membantu cara saya berfikir sekarang dan mencorakkan semula kehidupan setiap kali ia mula jadi kusut dan hilang hala tujunya.
Asalnya saya guna wordpress untuk ambil faedah yang banyak ada pada hosting tersebut. Tapi bila dah buat keputusan untuk jadikan hobi saja, bukan lagi bisnes, maka saya pakai blogger, yang percuma saja sekarang.
2. Blog Jasduit
Blog ini sudah lama saya aktifkan dan sudah beribu-ribu artikel yang dibuat sejak tahun 2008 lagi.Ada juga sumber pendapatan datang melalui blog ini dengan iklan adsense dan sedkit kerjasama program affiliate. Sebab itu ia diteruskan.
Jasduit jadi ruang untuk saya tulis apa saja. Termasuklah politik, minat, kesihatan dan apa sajalah.Kalau anda nak layan pemikiran dan pembacaan santai, boleh ikuti blog www.jasduit.com ini.
Pengalaman hasil dari aktiviti blogging ini saya rasa rasa tidak rugi. banyak faedah yang saya dapat darinya. Tapi perlulah berada dalam kawapan agar tidak terleka.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.hidupringkas.com/2022/12/terjebak-dengan-aktiviti-blogging.html