Menteri Wajar Tolak Jawatan Lain Demi Kredibiliti Kata Penganalisis
  Bernama

Awang  Azman Awang Pawi berkata PH tidak perlu terikut-ikut amalan kerajaan  terdahulu di mana menteri boleh memegang pelbagai jawatan.KUALA LUMPUR: Seorang menteri kabinet wajar menolak sebarang jawatan  lain yang ditawarkan kepada mereka agar dapat memberi fokus kepada  bidang tugas mereka yang lebih kompleks dan mencabar.
 Ini bagi menjaga kredibiliti dan imej mereka selain memastikan mereka  dapat fokus kepada tugas berat yang dipertanggungjawabkan kepada  mereka.
 Pensyarah kanan Universiti Malaya Prof Madya Awang Azman Awang Pawi  berkata pendirian untuk tidak memegang jawatan selain dari tugas hakiki  seorang menteri harus ditanam di dalam kepimpinan kerajaan baharu.
 “Fokuslah kepada tugas hakiki mereka sebagai menteri dan  tidak perlu terima jawatan dalam sebarang organisasi lain khususnya yang  memerlukan komitmen tinggi.
    “Sudah tentulah (jika ada) menteri yang ditawarkan secara rasmi untuk  memegang jawatan selain daripada tugas hakiki, tidak salah jika mereka  menolak dan memberi peluang kepada individu lain yang lebih layak,”  katanya kepada Bernama.
 Awang Azman berkata demikian sebagai mengulas kewajaran bagi seorang  menteri untuk aktif memegang jawatan selain daripada portfolio mereka  dalam kabinet.
 Antara yang menjadi isu ialah apabila Menteri Pendidikan Maszlee  Malik menerima jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  (UIAM), sesuatu yang dilihat bertentangan dengan manifesto Pakatan  Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14, selain mempunyai konflik  kepentingan dengan jawatan menteri itu sendiri.
 Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga  presiden PPBM menasihati Maszlee agar melepaskan jawatan presiden UIAM  itu dengan segera.
 Maszlee turut berkata beliau menghormati keputusan Perdana Menteri,  Tun Dr Mahathir Mohamad, Kabinet dan seruan Muhyiddin berhubung isu  jawatan itu.
 Mengulas lanjut, Awang Azman berkata PH tidak perlu terikut-ikut dan  berbuat perkara sama di mana seorang menteri boleh memegang pelbagai  jawatan seperti yang dipraktikkan sekian lama oleh kerajaan terdahulu.
 “Amalan sedemikian perlu dibanteras segera agar tidak menimbulkan  persepsi dalam kalangan rakyat serta bagi mengelak timbulnya konflik  kepentingan apabila memegang jawatan selain daripada menteri.
 “Barisan menteri yang baharu sekarang tidak harus sibuk dengan hal  lain selain kementerian mereka. Mereka perlu memberi tumpuan sepenuhnya  terhadap bidang tugas mereka tambahan mereka masih baharu dan soal ini  juga selari dengan manifesto PH,” tambahnya.
 Contohnya, dalam isu Maszlee, fungsi beliau terhadap tugas hakiki  sebagai menteri dilihat mungkin sudah terjejas akibat kesibukan serta  komitmen memegang jawatan lain sehingga menyebabkan krisis kepercayaan  dalam kalangan rakyat.
 “Menteri pendidikan tugasnya sangat mencabar. Ia bukan sekadar fokus  isu kasut atau yang berkaitan sekolah. Fungsinya lebih lagi khususnya  untuk pembangunan modal insan yang bukan sahaja di peringkat sekolah  tetapi merangkumi lebih 20 buah universiti awam dan swasta di negara  ini,” jelasnya.
 Sementara itu, anggota Institut Integriti Malaysia Dr Tan Seng Giaw  berkata sebagai anggota pimpinan kerajaan adalah lebih baik jika seorang  menteri tidak memegang jawatan lain atas dasar integriti kepada  tanggungjawab hakiki mereka.
 “Sebaiknya elakkan dan tidak perlu pegang jawatan sampingan,  lebih-lebih lagi jika jawatan itu ada kena mengena dengan portfolio  dalam kementerian. Sebagai menteri perlulah tunjukkan integriti dan  nilai murni dalam menjalankan tugas,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/11/menteri-wajar-tolak-jawatan-lain-demi.html