Mengimbangi Kuasa Barat Dan Timur Di Mesyuarat Asean
Ayman Rashdan Wong

Trump sahkan dia akan mai Malaysia pada 26 Oktober, sebelum pergi Jepun 27 Oktober dan Korea 29 Oktober.
Kalau tak cancel last minit, Trump akan jadi presiden Amerika ke-3 yang jejak kaki ke Malaysia selepas Lyndon Johnson (1966) dan Barack Obama (2014 dan 2015).
Agak luar biasa sebenarnya presiden Amerika cuma pernah lawat Malaysia 3 kali. Sikit sangat kalau banding dengan Filipina (10 kali), Indonesia (9 kali), Vietnam (9 kali), Thailand (7 kali) dan Singapura (5 kali).
Padahal Amerika dah iktiraf Malaya/Malaysia sejak 31 Ogos 1957 lagi.
Lawatan Trump kali ni pun berbeza dengan lawatan Johnson atau Obama. Diorang datang untuk tujuan lawatan negara (state visit), menghadap Agong, dan diberi istiadat penuh sebagai tetamu kehormatan negara.
Johnson siap lawat FELDA Labu Jaya, dan kampung tu dinamakan LBJ sempena nama singkatan dia (Lyndon Baines Johnson).
Obama pula datang sekali sebagai tetamu negara (2014), siap berucap kat Universiti Malaya. Sekali lagi dia datang sebagai tetamu ASEAN (2015), masa Malaysia jadi tuan rumah ASEAN.
Dan Trump kali ni datang sebagai tetamu ASEAN.
Sejak zaman Obama, tuan rumah ASEAN memang akan jemput Amerika ke sidang kemuncak ASEAN.
Apa kena-mengena Amerika yang jauh gila tu nak datang ASEAN?
Sebab boleh.
Pada tahun 2009, Amerika bawah Obama buat satu langkah luar biasa: menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama ASEAN, atau TAC (Treaty of Amity and Cooperation).
Perjanjian ni penting sebab siapa-siapa yang nak join mesyuarat diterajui ASEAN macam Sidang Kemuncak Asia Timur (East Asia Summit, EAS), kena sign perjanjian ni dulu sebagai tanda dia mahu diikat dengan "cara ASEAN" (ASEAN Way).
Lebih kurang macam "masuk kandang kambing mengembek". Lepas sign TAC ni tak boleh langsi lagi. Kau join ASEAN sebagai rakan dialog yang duduk sama tinggi, diri sama rendah dengan rakan-rakan ASEAN lain.
China sign TAC pada 2003, kemudian join Sidang Kemuncak Asia Timur bersama-sama Jepun, Korea, India, Australia dan New Zealand.
Sebelum 2009, Amerika tak ambil port pun pasal ASEAN ni.
Orang Amerika ni, jangan kata ASEAN, NATO tu ada negara apa pun majoriti diorang tak tahu.
Menteri Pertahanan (atau acah-acah Menteri Perang) Amerika sekarang, Pete Hegseth, kantoi tak kenal ASEAN tu apa. Tu level menteri tau.
Tapi Obama lain. Dia ni empat tahun duduk Jakarta. Cara dia lihat dunia pun lain.
Zaman Bush (2001–2009), dia sibuk perang kat Timur Tengah. Tapi bila Obama naik je, dia terus "Pivot to Asia".
Maksudnya, Amerika mengalih arah (pivot) strategiknya dari Timur Tengah ke Asia. 60% tumpuan diplomasi dan ketenteraan Amerika akan diberi kepada Asia.
Sebab kebangkitan China. Amerika tak boleh duduk diam biar China kuasai ASEAN.
Negara ASEAN pun mengalu-alukan kedatangan Amerika. Bukan sebab semua nak jadi barua Ziyonis, tapi sebab hanya Amerika yang mampu jadi pengimbang kepada China.
Adakah ASEAN benci China? Bukan.
China penting sebagai rakan ekonomi. Kita rilek je minum Chagee, Mixue, Luckin semua tu.
Tapi hukum kuasa: kalau satu kuasa besar tak ada pesaing, dia akan jadi "hegemon" yang dominasi satu rantau dan paksakan kehendak dia.
Dan benda ni boleh nampak dalam isu Laut China Selatan.
Sebelum 2010-an, China agak berhemah dalam isu Laut China Selatan. Dia tuntut, tapi dia bincang.
Tapi lepas 2010-an, dia makin langsi. Main langgar je sempadan yang dituntut negara ASEAN: Vietnam, Filipina, dan juga Malaysia.
Sebab China tahu negara ASEAN ni bergantung kepadanya dari segi ekonomi. Kalau dia "buli" pun, negara ni tak berani berbunyi atau putuskan hubungan.
Dan dia lebih kuat di rantau ni. Negara-negara dekat macam Jepun dan Australia pun bukan lawan China.
Jadi negara ASEAN pun memandang ke Amerika sebagai pengimbang China.
Bila China buat samseng di Laut China Selatan, Amerika akan berbunyi, kadang-kala beraksi dengan hantar kapal dia untuk show power.
Semua ni hanya berlaku bila Amerika lihat ASEAN tu penting dan beri komitmen kepadanya. Dan TAC menjadi simbol komitmen Amerika terhadap ASEAN.
Dua tahun selepas tandatangan TAC, Amerika join Sidang Kemuncak Asia Timur ASEAN buat pertama kali pada tahun 2011.
Lepas 2011, hampir setiap tahun Obama tak pernah miss ASEAN.
Lepas Obama, Trump pun join Sidang Kemuncak ASEAN tahun 2017. Tapi lepas tu dia dah malas. 2018, 2019 dan 2020 tak join.
Biden tak join 2021 sebab negara masih serabut dengan COVID. Pastu dia join 2022. Tahun 2023 dan 2024 pulak tak join, mungkin sebab tak larat.
Jadi di pihak pemimpin ASEAN, sebenarnya agak gelisah. Nampak macam Amerika kembali ke jalan lama, makin tak ambil berat pasal ASEAN.
Dan kalau benda ni berterusan, akan wujud "kekosongan kuasa" (power vacuum) yang boleh diambil kesempatan oleh China.
Lebih-lebih lagi dengan kembalinya Trump, pemimpin ASEAN risau dia hanya pentingkan Amerika, dah tak nak fikir pasal masa depan ASEAN.
Dasar perang dagang Trump pun dah buat negara ASEAN makin bergantung kepada China. Kalau dari segi diplomasi pun Amerika makin berjauhan, memang ASEAN ni boleh jadi blok China sudah.
Jadi kedatangan Trump ke ASEAN sebenarnya sangat penting: sebagai jaminan komitmen berterusan Amerika terhadap ASEAN.
Dan sebagai tuan rumah ASEAN, tak ada sebab Malaysia nak membelakangi kehendak dan kepentingan ASEAN secara keseluruhan.
Benar, Trump sebagai pemudah cara kezaliman Isiel memang sangat tak dialu-alukan, dan tak cocok dengan pendirian Malaysia yang membela keadilan Falisteen.
Tapi tanpa kehadiran Trump, ASEAN 2025 sebenarnya kurang seri, malah mungkin akan diingati sebagai titik permulaan ASEAN kehilangan relevannya.
Itulah dilema antara prinsip dan pragmatisme yang selalu dihadapi pemimpin dalam soal hubungan antarabangsa.
Dan kepentingan negara pun ada banyak dimensi. Kadang kau kena kutuk Amerika. Kadang kau kena berbaik dengan Amerika.
Bukan hipokrit. Tapi itulah hakikat politik antarabangsa.
Dan sebenarnya bukan Trump je yang dijemput. Xi (China), Putin (Rusia) pun dijemput. Manakala Modi (India), Lula (Brazil) dan Ramaphosa (Afrika Selatan) pula confirm datang.
So nampak, sebenarnya agenda ASEAN kali ni ialah untuk menghimpunkan Amerika dan BRICS sama-sama, untuk tonjolkan ASEAN sebagai penghubung antara blok di era multipolar.
Cuma Xi tak datang, dah penat kot nak kena datang banyak kali. Putin pulak tak confirm, tapi nampak gaya macam tak nak datang.
Sayang sebenarnya. Kalau tak ASEAN 2025 pasti mencipta sejarah luar biasa.
Sekarang Trump dapat semua spot light. Dan ASEAN pun terpaksa bagi dia spot light demi kepentingan lebih besar.
Jadi kesimpulannya, nak faham hubungan antarabangsa ni kena faham dulu gambaran besar (big picture) politik dunia.
Macam mana nak faham gambaran besar politik dunia?
Dapatkan dan baca buku ADIKUASA. Boleh dapatkan kat kedai buku, atau klik link kat komen. (tulis panjang-panjang ni nak promo buku je sebenarnya)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/10/mengimbangi-kuasa-barat-dan-timur-di.html