Menang 6 Prk Bukti Bn Masih Relevan Diterima Rakyat Kata Zahid
   Bernama

Calon  BN, Mohd Sharim Md Zain meraikan kemenangannya pada PRK Chini 
bersama  kepimpinan BN di pusat penjumlahan undi di IKBN Pekan semalam. 
(Gambar  Bernama)PEKAN: Kemenangan 6 kali dalam pilihan raya kecil (PRK), termasuk  yang terbaru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semalam membuktikan  Barisan Nasional (BN) masih relevan dan diterima rakyat.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, berkata lambang dacing (BN) tidak lagi diterima rakyat terbukti tidak benar.
“Saya yakin 6 PKR ini (selepas pilihan raya umum ke-14) jelas  memberikan suatu bukti BN bukan sahaja masih relevan, tetapi mempunyai  masa depan cerah jika parti komponen serta sokongan Muafakat Nasional  dapat membawa kejayaan pada PRU ke-15 nanti.
“Apatah lagi sekarang kita menyokong Perikatan Nasional. Kombinasi  ini juga menyumbang kejayaan (kemenangan) selain pengundi Chini sendiri  mahu kesinambungan perkhidmatan BN,” kata presiden Umno itu selepas  pengumuman rasmi keputusan PRK Chini di Institut Kemahiran Belia Negara  (IKBN) Pekan malam tadi.
BN sebelum ini memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjung Piai dan Parlimen Kimanis.
PRK DUN Chini menyaksikan calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, menang dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh 13,872 undi.
Pencabarnya, iaitu 2 calon bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin,  64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, hanya mendapat  137 undi, menyebabkan kedua-duanya hilang deposit.
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan formula calon  muda yang diketengahkan membuahkan hasil dengan majoriti besar yang  diperoleh BN.
Katanya, selain faktor calon muda, Sharim sudah dikenali segelintir  besar penduduk DUN Chini kerana aktif dalam pelbagai persatuan belia,  selain kerap membantu Adun sebelum itu, Abu Bakar Harun.
“Tapi sudah pasti kita sendiri mahu mengetengahkan calon muda untuk  menjadi pelapis kepada perjuangan parti. Selain itu, faktor pengundi  muda yang berusia antara 21 hingga 39 tahun lebih 55% di DUN Chini  menjadikan beliau calon yang tepat.”
Selain itu, Wan Rosdy juga menyifatkan kerjasama jentera BN yang  turut disokong PAS berdasarkan semangat Muafakat Nasional dan juga PPBM  atas kerjasama PN sebagai faktor utama kemenangan Sharim.
PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian Abu Bakar, 60, pada 7 Mei lalu  akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu  sejak PRU11 pada 2004.
Sokongan PAS itu boleh dilihat apabila Timbalan Yang Dipertua PAS  Kawasan Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, yang tewas kepada Abu Bakar  pada PRU14, menjadi penyokong kepada Sharim pada hari penamaan calon 20  Jun lepas.
Fadhil berkata, sokongan PAS adalah keputusan pimpinan parti itu  supaya akar umbi menyokong calon BN menerusi kerjasama dalam Muafakat  Nasional.
“Kita bagi sokongan padu dan bersatu untuk beri komitmen terhadap calon BN dan inilah hasilnya,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/menang-6-prk-bukti-bn-masih-relevan.html