Memperingati Penyelamat Malaysia
Menjelang PRU8 pada 1990, keyakinan Tengku Razaleigh Hamzah menumpaskan Barisan Nasional pimpinan Dr Mahathir Mohamad memuncak. Beliau waktu itu mengepalai dua gabungan politik serentak dalam usaha menumbangkan BN iaitu Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat. Beberapa hari sebelum pilihan raya, Parti Bersatu Sabah bertindak keluar daripada BN dan menyertai Gagasan Rakyat. Sesungguhnya itu tamparan hebat buat Mahathir. BN tuduh PBS menikamnya dari belakang.
Tengku Razaleigh atau Ku Li bertambah yakin kemenangan akan dimiliki. Pilihan raya semakin hampir. Satu perhimpunan besar diadakan di Kota Kinabalu. Ribuan hadir mengalu-alukan kedatangan Tengku Razaleigh. Beliau diperkenalkan di majlis itu sebagai ‘perdana menteri Malaysia yang baharu’.
Sebagai penghormatan, pihak penganjur ‘mahkotakan’ beliau dengan tengkolok kaum Kadazan yang dipanggil siagah. Namun kain yang digunakan untuk membuat siagah berkenaan dilihat pihak musuh memaparkan lambang seolah salib. Dengan cepat Ku Li dituduh ‘junjung’ salib. Gambarnya memakai siagah diedar ke seluruh pelusuk negara.
Tim Ku Li Ku menafikan ada lambang salib di siagah yang dipakai beliau. Kata mereka siagah itu memaparkan corak bunga. Sebagai tindak balas mereka pantas mengedar gambar Mahathir yang memakai siagah serupa sambil menari dengan seorang wanita Kadazan pada satu majlis keramaian tidak lama sebelumnya. Bagaimanapun tindakan mereka terlambat. Damage has been done. Imej Tengku Razaleigh tercemar sudah. Ramai yang percaya Ku Li memakai siagah memaparkan salib.
Para pemerhati politik percaya isu salib antara sebab utama Tengku Razaleigh dan gabungannya tewas pilihan raya 1990. Setuju atau tidak terpulang. Tetapi yang jelas lambang salib digunakan untuk memomok-momok orang Melayu.
Anjak ke PRU15 November tahun lalu. Dakwaan Islam terancam dilaungkan. Sekali lagi orang Melayu dimomokkan. ‘Gelombang Hijau’ memberi kemenangan kepada golongan yang mendakwa mempertahankan Islam. Menjelang enam pilihan raya negeri isu kalimah muncul lagi. Ada tuduhan kerajaan persekutuan ‘ditadbir’ bukan Melayu susulan tiada rayuan di mahkamah berhubung isu. Banyak lagi soal agama dijadikan isu politik dan dimainkan.
Kesimpulannya sentimen agama dan bangsa untuk mendapat kemenangan di peti undi. Memang agama dan bangsa mudah dieksploitasi sebagai jalan singkat mencapai kemenangan, walaupun ia boleh menjejaskan hubungan antara kaum.
Imbau kembali kata-kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ismail Rahman suatu masa dulu semasa menzahirkan kebimbangan akan polarisasi yang terjadi di negara ini:
Ads by Kiosked“Mengapa kita berjuang untuk Merdeka? Supaya pelbagai bangsa terbahagi? Tentu itu bukan caranya, betul tak? Mengapa kita bina Malaysia? Malaysia apa yang kita bina? Apa simbol yang Malaysia mesti tunjukkan?”
Berdasarkan apa yang terjadi khususnya dalam arena politik tanah air, persoalan itu masih relevan dan masih perlu kita jawab setelah sekian lama pulangnya Ismail ke rahmatullah. Ismail meninggal dunia pada tarikh hari ini 50 tahun lalu.
Semasa Ismail menghembus nafasnya yang terakhir saya berusia 18 tahun, remaja yang menitikberatkan muzik rock, berpesta, dan gadis ayu. Apa pun saya kenal Allahyarham bukan sahaja sebagai timbalan perdana menteri kedua.
Saya dilahirkan di Kampung Baru, penempatan orang Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur dan semasa berusia 13 tahun sudah diberitahu secara langsung dan tidak langsung oleh golongan dewasa di kampung ini bahawa “Tun Dr Ismail boleh diharapkan untuk mempertahan, menjaga, dan menolong kita”. Kita ertinya orang Melayu.
Ismail diangkat sebagai wira yang lebih besar daripada Razak Hussein yang juga dilihat sebagai ikon Melayu. Mereka dikagumi kerana “kemelayuan” masing-masing. Pun begitu Ismail pemimpin untuk semua. Melayu dan bukan Melayu. Lantas persoalan yang Allahyarham ajukan seperti yang dikata tadi, jelas beliau mahu keadilan untuk setiap rakyat. Malaysia yang adil dan saksama. Pada masa sama kemelayuan Ismail tidak pernah luntur.
Oleh kerana masalah kesihatan, Ismail mengundur diri daripada kerajaan pada 1967. Tetapi apabila Tragedi 13 Mei 1969 tercetus, Ismail menyahut panggilan Razak untuk membantu menangani masalah besar yang dihadapi negara.
Ads by KioskedItu one of many sacrifices yang Ismail lakukan demi negara. Kewibawaannya terserlah, begitu kata orang dewasa di Kampung Baru, di mana peristiwa berdarah bermula. Ismail berusaha keras untuk meredakan ketegangan antara orang Melayu dan Cina, dan meletakkan negara di landasan betul ke arah pemulihan.
Daripada menjadi wira orang Melayu, Ismail dilihat sebagai wira rakyat tanpa kira bangsa dan agama.
Selaku menteri dalam negeri, Ismail menganggotai Majlis Gerakan Negara atau Mageran yang dipengerusikan Razak. Mageran diberi kuasa mengambil alih secara sementara urusan pentadbiran Malaysia. Kata kuncinya ialah ‘untuk sementara’. Itu yang dipegang Ismail bahawa Mageran bukan kerajaan buat selamanya. Ismail tekad memastikan undang-undang tentera yang dicadang pihak tertentu tidak dikuatkuasa dan bekerja keras memastikan sistem demokrasi berparlimen dikembalikan.
Ketika itu masyarakat tidak ragu-ragu akan nasib dan masa depan mereka. Tiada sangsi Malaysia akan kembali ke sistem yang diamalkan sebelum rusuhan kaum 13 Mei. Mereka yakin Mageran akan melepaskan kuasa untuk mengamal semula sistem demokrasi, oleh kerana adanya Ismail.
Dalam erti kata lain, orang ramai yakin Mageran akan tepati janji kerana percayakan Ismail.
Dengan sokongan orang Melayu dan bukan Melayu, usaha mengembalikan sistem demokrasi berjaya. Tidak ada kuasa mutlak, tidak ada junta. Kuasa memilih kerajaan dipulangkan kepada rakyat. Sehingga kini kuasa rakyat jadi penentu. Oleh itu ada yang beranggapan Ismail lah yang menyelamatkan Malaysia.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Dr Ismail Abdul Rahman. Al-Fatihah. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2023/08/memperingati-penyelamat-malaysia.html