Memberi Kepada Pasangan Kita Bererti Memberi Kepada Diri Kita Sendiri
Memberi kepada pasangan kita bererti memberi kepada diri kita sendiri. Bukankah perkahwinan itu menyatukan dua hati? ~ Shortnote ceramah Ust Pahrol Mohd Juoi
Ya, apabila suami isteri saling memberi, keserasian dan keharmonian akan bersemi. Akhirnya, terciptalah apa yang dikatakan dua hati satu rasa dalam berumah tangga.
Percayalah, dalam hidup ini memberi akan lebih menggembirakan kita berbanding menerima. Asalkan kita memberi tu disertai dengan kasih sayang. Tanpa kasih sayang kita akan sukar memberi.
Sebab itu Rasulullah SAW dan para sahabatnya adalah individu yang sangat banyak memberi. Itu semua kerana sifat kasih-sayang mereka yang sangat tinggi kesan daripada iman yang begitu mendalam kepada Allah SWT dan hari akhirat
Rasululah SAW dan para sahabatnya dapat menikmati syurga rumah tangga kerana mereka sentiasa berusaha menciptanya dengan sikap memberi.
Mereka yakin kepada Allah yang Maha Pemberi – al-Wahhab.
Beriman kepada al-Wahhab adalah dengan percaya bahawa Allah memberi kepada kita untuk kita memberi kepada makhluk-Nya yang lain
Sebab itu mereka menjadikan rumah tangga sebagai medan memberi kasih sayang, perlindungan, kemesraan, cinta dan segala-galanya kepada semua ahli keluarganya
Rasululah SAW bersabda:
“Yang terbaik dalam kalangan kamu adalah orang yang paling baik pergaulannya dengan ahli keluarganya.”
Justeru, beringat-ingatlah jika kita kurang memberi kepada ahli keluarga – itu petanda kurangnya kasih sayang
Dan kurangnya kasih sayang petanda lemahnya iman. Orang yang lemah iman sentiasa mementingkan dirinya sendiri.
Walaupun pada zahirnya dia kelihatan mencintai pasangannya tetapi hakikatnya dia mencintai kesenangan dirinya sendiri.
Dia tidak ikhlas memberi kerana Allah SWT. Tetapi, dia memberi hanya untuk lebih banyak menerima.
Oleh itu, dia akan berhenti apabila tidak mendapat balasan atau ganjaran yang setimpal mengikut apa yang telah “dikorbankannya”. Akhirnya, dia sentiasa fokus kepada haknya bukan peranannya.
Ini satu kesalahan besar dalam berumah tangga justeru bijak pandai telah menyatakan
“Kita hidup dengan apa yang kita terima, tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita berikan.”
Mereka berkata lagi:
“Kita membina rumah dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina rumah tangga dengan apa yang kita berikan!”
Berikanlah kasih sayang setulusnya. Janganlah memberi dengan motif menuntut balasan kerana apabila tidak mendapat balasan, kita mula merungut, menyesal dan sampai ke satu tahap memberhentikan belaian yang pernah diberikan.
Hubungan kasih sayang sesama suami isteri bukanlah hubungan perniagaan, yang keuntungannya ditagih daripada modal yang diberikan
Jangan dikira segala-galanya dalam bentuk angka kerana kasih sayang bukan barang niaga tetapi ia adalah pemberian ikhlas untuk mendapat sesuatu yang lebih berharga daripada Allah SWT.
Mereka memberi kerana benar-benar ingin melaksanakan tanggungjawab dan amanah daripada Allah SWT. Adakah pemberian mereka dibalas, itu soal kedua.
Maksudnya, suami dan isteri yang beriman akan mempraktikkan apa yang dikatakan unconditional love – Cinta tanpa alasan dan balasan. Itulah praktik cinta orang beriman!
Ertinya, hanya orang-orang yang percaya kepada Allah SWT dan beriman kepada-Nya sahaja yang dapat mempraktikkan unconditional love dengan penuh keikhlasan.
Orang beriman berbuat apa saja hanya semata-mata kerana Allah SWT, bukan mengharapkan balasan manusia sekalipun daripada pasangan hidup mereka.
Semoga bermanfaat~
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.annursyuhadah.com/2019/02/memberi-kepada-pasangan-kita-bererti.html