Melayu Masih Bertoleransi
adminweb 04/02/2019
Oleh Fahmi bin Faiz
Rangka mekanisme baru kawal sosiopolitik tanah air yang tak stabil
BANGI, 29 Jamadilawal 1440H, Isnin – Tindakan segelintir pihak yang berterusan memberi tekanan kepada bangsa Melayu dan agama Islam, dikhuatiri akan mengundang kekacauan parah jika tidak dibendung.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, satu mekanisme perlu dirangka bagi mengawal keadaan sosiopolitik yang tidak stabil, bagi menjaga sensiviti orang Melayu.
“Senario pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) bukan sahaja menjerumus kepada perubahan politik, tetapi lebih merisaukan apabila hubungan sosial turut berubah dengan mendadak.
“Sejak kebelakangan ini, ada sesetengah pihak menjadi terlalu berani dan lantang mempermainkan isu agama dan bangsa tanpa rasa takut dan bersalah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Azmi berkata, keadaan itu dikhuatiri mengundang ancaman terhadap kestabilan nasional, berikutan komposisi penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
“Apabila isu agama dimainkan secara agresif tanpa had, ianya sangat bahaya. Tidak pernah terfikir sebelum ini, akan wujud rakyat Malaysia yang menghina institusi agama dan raja-raja Melayu secara terbuka,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmi mengakui orang Melayu masih bertoleransi, namun dikhuatiri had sabar beransur hilang jika penghinaan terhadap Islam dan Melayu berterusan.
“Maka, sudah tiba masanya, rakyat berbilang kaum di tanah air menzahirkan rasa hormat terhadap kaum lain khususnya orang Melayu, demi menjamin keharmonian dan keselamatan sosiobudaya di Malaysia.
“Perlu ingat. Islam selamat, Melayu selamat. Islam selamat, bangsa dan agama lain juga selamat.
“Begitu juga raja-raja, mereka adalah ketua agama Islam. Seluruh rakyat perlu menghormati prinsip itu demi keharmonian dan keselamatan tanah air,” katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/02/melayu-masih-bertoleransi.html